Malaikat bukan sahaja makhluk yang taat kepada Allah serta berterusan beribadah kepada-Nya, tetapi juga memberi perhatian kepada beberapa urusan orang-orang yang beriman. Dalam ruangan ini, saya akan menerangkan beberapa perhatian khusus malaikat kepada kita, moga dengan itu kita lebih bermotivasi melakukan apa yang disertai bersamanya para malaikat.

Mendoakan Apa Yang Kita Doakan

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Doa seseorang untuk saudara (seagama)nya yang tidak hadir bersamanya adalah mustajab. (Ini kerana) di sisi kepalanya terdapat malaikat yang mengaminkan doanya. Setiap kali dia mendoakan kebaikan saudaranya, malaikat itu akan berucap: “Amin dan untukmu kebaikan yang serupa.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 2886/2895]

berdoa

Dalam hadis di atas dapat kita pelajari bahawa malaikat memberi perhatian kepada apa yang kita doakan dari dua aspek. Pertama, malaikat itu mengaminkan doa tersebut. Kedua, malaikat itu mendoakan hal yang serupa atau semisal untuk kita. Oleh itu hadis ini memberi motivasi kepada kita untuk memperbanyakkan doa kepada ibubapa, ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan umat Islam seluruhnya. Apa jua kebaikan yang kita doakan, malaikat akan mendoakan hal yang sama kepada kita. Hadis ini juga membetulkan sikap sebahagian kita yang hanya mementingkan diri sendiri dengan hanya mendoakan kebaikan untuk diri sendiri.

 

Mendoakan Keampuan Kepada Kita

Malaikat tidak saja mendoakan kebaikan kepada kita, tetapi juga mendoakan agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Ini dapat kita pelajari daripada ayat berikut:

Kepunyaan-Nyalah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Hampir saja langit itu pecah dari sebelah atasnya (kerana kebesaran Allah) dan malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya dan memohonkan ampun bagi orang-orang yang ada di bumi. Ingatlah, bahwa sesungguhnya Allah Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [al-Syura 42:05]

Dalam ayat di atas, para malaikat tidak hanya sibuk bertasbih, tetapi mereka juga …memohonkan ampun bagi orang-orang yang ada di bumi. Marilah kita mencontohi sikap mulia ini dengan sering memohon ampun kepada Allah untuk ibubapa, ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan umat Islam seluruhnya.

 

Malaikat Berselawat Kepada Kita

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan paus di lautan, mereka benar-benar berselawat ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2609/2685]

Selawat Allah bererti pengurniaan rahmatnya kepada manusia sementara selawat para malaikat bererti mendoakan kebaikan dan keampunan kepada manusia. Merujuk kepada hadis di atas, para malaikat berselawat – yakni mendoakan kebaikan dan keampunan – kepada orang-orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia lain. Mengajarkan kebaikan tidak semestinya bekerjaya sebagai guru, pensyarah dan ustazah, tetapi merangkumi semua usaha menyampaikan ilmu yang bermanfaat, sama ada sedikit atau banyak. Pun begitu, hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa ilmu yang akan disampaikan itu adalah sahih dan betul, bukan sekadar cerita-cerita dan petua-petua yang masyur tersebar.

Dalam hadis-hadis lain turut diterangkan bahawa para malakat berselawat kepada orang yang makan sahur di bulan Ramadhan, orang yang berselawat ke atas Rasulullah dan menziarahi orang sakit.

 

Melaporkan Amal-Amal Soleh Kepada Allah

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Para malaikat malam dan malaikat siang silih berganti mendatangi kalian, mereka berkumpul saat solat Subuh dan solat Asar. Kemudian malaikat yang menjaga kalian naik ke atas sehingga Allah bertanya kepada mereka – padahal Allah lebih mengetahui keadaan mereka (para hamba-Nya): “Dalam keadaan apakah kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku?” “Para malaikat menjawab: “Kami tinggalkan mereka dalam keadaan sedang mendirikan solat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan solat.” [Shahih al-Bukhari, no: 522/555]

Para malaikat mendatangi kita dua kali dalam sehari, mereka memiliki syif siang dan malam. Mereka bertukar syif pada saat masuknya waktu solat Subuh dan solat Asar. Malaikat syif siang bertugas dari waktu Subuh hingga Asar sementara malaikat syif malam bertugas dari waktu Asar hingga Subuh keesokan hari. Apabila bertukar syif, malaikat yang bertugas sebelum itu akan membawa naik ke langit laporan amal-amal kita kepada Allah.

Laporan apakah yang kita ingini dibawa oleh malaikat kepada Allah? Apakah laporan bahawa kita asyik menonton filem Korea di internet, mengaib kawan-kawan, bersembang kosong di gerai dan membaca novel cinta? Atau laporan kita solat pada awal waktu, membaca al-Qur’an dua mukasurat, membantu kawan yang kehilangan beg dan gotong-royong membersihkan rumah jagaan orang tua?

 

Menyampaikan Salam

Di antara orang yang diberi perhatian oleh malaikat ialah mereka yang berselawat dan memberikan salam kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Malaikat-malaikat ini akan menyampaikan salam tersebut kepada baginda di Alam Barzakh. Perhatikan hadis berikut: Sesungguhnya Allah memiliki malaikat di bumi yang senantiasa berkeliling untuk menyampaikan kepadaku salam daripada umatku. [Musnad Ahmad, no: 3484/3666 dengan sanad yang sahih]

Oleh itu marilah kita memperbanyakkan selawat dan salam kepada baginda, ia akan disampaikan terus kepada baginda oleh para malaikat. Namun perlu diingat, selawat dan salam adalah sau bentuk ibadah dan doa, maka lakukanlah ia dengan penuh kekhusyukan dan pengamatan. Konsert-konsert “Malaysia Berselawat” bukanlah ibadah, ia sekadar hiburan bagi orang-orang yang jahil.

Demikian beberapa amalan dan perbuatan kita yang diberi perhatian khusus oleh para malaikat. Moga dengan pengatahuan bahawa para malaikat turut hadir akan memberi kita motivasi untuk meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti amal-amal soleh kepada Allah.