Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2302/2380]

Hadis ini dimulakan dengan kenyataan Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Ini amatlah benar kerana para pakar perubatan telah menyatakan bahawa sumber utama kebanyakan penyakit manusia seperti sakit jantung, angin ahmar (stroke), kencing manis dan kanser ialah makanan dan minuman. Hadis ini bukanlah melarang kita daripada makan dan minum, tetapi memberi kesedaran terhadap dua perkara.

healthyfood

Kualiti Makanan dan Minuman

Hadis ini memberikan kesedaran bahawa apa yang diisi dalam perut kita sebenarnya adalah satu keburukan. Melainkan, apa yang diisi itu ialah makanan dan minuman yang baik kualitinya, maka ia tidaklah menjadi satu keburukan.

Marilah kita mengambil contoh minyak masak. Kebanyakan  - malah hampir semua – restoran dan gerai yang menjual makanan menggunakan minyak masak yang berkualiti rendah. Minyak itu pula seterusnya adalah dari jenis kitar semula. Bererti minyak masak yang telah digunakan berulangkali, dihantar ke kilang untuk ditapis, lalu digunakan semula berulangkali. Struktur kimia dalam minyak masak tersebut telah berubah menjadi sesuatu yang membahayakan kesihatan.

Keadaan menjadi lebih dahsyat dengan makanan bergoreng. Rahsia menjadikan ayam goreng, pisang goreng dan pelbagai lagi gorengan, rangup dan tahan sentiasa rangup ialah memasukkan plastik ke dalam minyak yang panas sebelum menggoreng. Ya, plastik yang digunakan untuk membungkus minyak kitar semula, dimasukkan ke dalam kuali bersama-sama minyak yang panas. Ini adalah resepi rahsia hampir semua restoran dan gerai yang menjual makanan bergoreng.

Dua perenggan di atas bukanlah tuduhan kosong semata-mata. Sesiapa yang membuat sedikit siasatan pasti akan menemui kebenarannya. Bahkan jika siasatan dilanjutkan kepada pelbagai lagi cara penyediaan makanan dan minuman, akan ditemui pelbagai lagi penemuan yang memeranjatkan. Sangat memeranjatkan sehingga tidak lagi berselera untuk makan di restoran mahupun gerai.

Oleh itu makanan dan minuman terbaik ialah apa yang disediakan sendiri di rumah. Kita mengetahui apa yang kita sediakan, bahan-bahan yang digunakan dan bagaimana ia dimasak. Inilah sebenarnya makanan yang berkualiti yang patut menjadi pillihan semua yang ingin mengikuti pesanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis di atas.

 

Kuantiti Makanan dan Minuman

Makanan dan minuman yang berkualiti, jika diambil dalam jumlah yang banyak akan tetap memberi mudarat kepada kesihatan. Ia akan berubah daripada satu kebaikan kepada satu keburukan yang diisi dalam perut kita.

Oleh itu, makanan dan minuman yang berkualiti hendaklah tetap diambil dalam kuantiti yang terkawal, yakni sekadar beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Jika hendak dilebihkan, maka penuhilah perut pada kadar sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan. Ini adalah kadar yang optimum.

Sekali sekala, tidak mengapa jika seseorang itu makan atau minum melebihi kadar sepertiga perutnya. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan para sahabat makan sehingga kenyang dan Rasulullah mengizinkannya. Antaranya ialah hadis Shahih al-Bukhari, no: 4962/5381 di mana Rasulullah mendoakan makanan yang disediakan oleh Umm Sulaim bertambah sehingga dapat dimakan oleh 80 orang. Baginda mengizinkan mereka makan sehingga kenyang. Ini menunjukkan bahawa makan dan minum sepertiga perut ialah jumlah maksimum yang terbaik (optimum), namun tidak mengapa jika sekali sekala melebihi jumlah tersebut. Akan tetapi pastikan ia benar-benar sekali sekala.

 

Saiz Sepertiga Perut

Para ilmuan menyatakan, purata isipadu perut manusia apabila kosong ialah 500ml. Apabila berisi makanan dan minuman, ia mengembang kepada 1500ml. Maksimum ia boleh mengembang kepada 2000ml. Orang yang berbadan kecil akan memiliki isipadu perut yang lebih rendah sementara orang yang berbadan besar akan memiliki isipadu perut yang lebih tinggi. Dikatakan perut manusia boleh mengembang sehingga 4000ml!

Jika diambil isipadu purata 1500ml, maka ia seperti saiz botol air mineral yang besar. Maka untuk menyukat kadar makanan sepertiga perut, ambil sebuah botol air mineral 1500ml. Kemudian bayangkan ia terbahagi kepada tiga bahagian, sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga udara. Kaedah ini dapat membantu kita membuat jangkaan kasar jumlah makanan dan minuman yang patut kita ambil.

Bulan Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita melatih diri mengamalkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam  yang mulia ini tentang makanan dan minuman. Ayuh sama-sama kita sediakan makanan dan minuman berkualiti di rumah, kemudian mengambilnya dalam kuantiti “…beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya).” Jika setiap tahun kita mengunjungi bazar Ramadhan untuk juadah berbuka, tahun ini kita lakukan perbezaan dengan tidak lagi ke sana. Jika selera diri sendiri atau rakan-rakan mengajak ke bazar Ramadhan, maka ingatilah pesanan Rasulullah: Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya.