Soalan: 

Saya merupakan pelajar IPT, masalah saya adalah mudah mengantuk di dalam kelas terutama pada sebelah petang. Adakah cadangan atau nasihat untuk mengelakkannya, khususnya di bulan puasa?

Nazriah Nasir, Pahang.

 

Jawapan:

Cara terbaik untuk segar dan cergas sepanjang hari ialah mencukupkan tidur pada malam hari. Ini bererti tidur awal, lebih kurang 10 atau 11 malam. Ramai yang tidur lewat atas alasan hendak belajar, padahal kelewatan tidur hanya merugikan mereka pada keesokan harinya kerana tidak dapat berada dalam keadaan segar dan cergas. Perkara ini berulang-ulang sehingga setiap hari mereka tidak berada dalam keadaan yang optima. Tidur lewat juga menyebabkan seseorang itu amat jarang qiamulail dan kerap lewat mendirikan solat Subuh.

Pilihan lain ialah tidur atau rehat sebentar pada siang hari, baik sebelum atau selepas azan Zohor. Ini adalah sunnah Rasulullah sebagaimana sabda baginda: Tidurlah pada siang hari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari. [Riwayat Abu Nu’aim, Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 1647]