Soalan:

Saya ingin bertanya kemusykilan berkenaan hukum anak berumur 8 tahun yang masih tidur bersama ibubapa. Ada yang kata kena asingkan tempat tidur apabila habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Haizi Razak, Terengganu.

 

Jawapan:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun, dan apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya, dan pisahkanlah mereka dalam tempat tidurnya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 418/495]

Berdasarkan hadis di atas, batas umur agar anak-anak tidur di bilik yang berasingan dari ibubapa mereka ialah 10 tahun. Ini kerana pada umur tersebut, anak-anak sudah mula mengenali aurat ibubapa mereka dan menyedari apabila ibubapa bercumbuan serta melakukan jimak (seks). Hendaklah juga dipisahkan antara anak lelaki dan anak perempuan.

Adalah lebih baik jika usaha pemisahan ini dilakukan lebih awal (umur 8-9 tahun) supaya ia dapat dilakukan secara bertahap-tahap. Jika anak yang sudah tidur sebilik dengan ibubapa mereka selama 10 tahun dipisahkan secara tiba-tiba, ia mungkin memberikan kesan psikologi yang negatif kepada mereka.