Article Index



Kembali Ke Mekah.
“Orang-orang Quraish bertanya kepadaku tentang perjalanan Isra’ku, mereka bertanya beberapa hal berkenaan Bait al-Maqdis (Masjid al-Aqsa). Maka aku merasa kesulitan yang belum pernah aku alami sebelumnya (kerana tidak ingat secara tepat ciri-ciri Bait al-Maqdis). Lalu Allah mengangkat bagiku (binaan Bait al-Maqdis) sehingga aku dapat melihatnya. Mereka (orang-orang Quraish) tidak bertanya kepadaku sesuatu (berkenaan Bait al-Maqdis) melainkan aku dapat menerangkannya.” [Shahih Muslim, hadis no: 172]

kabah-at-night1.jpgDemikian pengakuan Rasulullah sekembalinya dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Apabila diceritakan pengalaman beliau ketika Isra’ dan Mi’raj, ramai di kalangan orang kafir Kota Mekah yang meragui dan mengingkarinya. Lalu salah seorang di antara mereka yang pernah sampai ke Bait al-Maqdis dan melihat Masjid al-Aqsa ingin menguji sejauh mana kebenaran cerita Rasulullah. Dia bertanya secara terperinci akan ciri-ciri binaan Bait al-Maqdis.

Oleh kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku agak cepat kepada Rasulullah, baginda mengalami kesukaran untuk mengingati secara tepat ciri-ciri binaan Biat al-Maqdis dan Masjid al-Aqsa. Kesukaran ini segera dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana yang diterangkan oleh baginda dalam hadis di atas.

Dalam rangka kita memperjuangkan agama Islam, sama ada menyebarkannya atau membelanya, kadangkala kita akan menemui cabaran dan kesukaran. Janganlah berputus asa, tetapkanlah keyakinan bahawa Allah akan membantu kita dengan cara-cara yang tidak disangka-sangkakan. Allah berjanji: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” [Muhammad 47:07] Tentu saja janji ini dengan syarat kita telah melakukan segala usaha dan persiapan yang patut kerana Allah juga telah mensyaratkan: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” [al-Ra’d 13:11]

Demikian beberapa rahsia yang sempat saya singkap dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Tentu saja terdapat banyak rahsia lain yang dapat disingkap oleh sesiapa sahaja yang mahu menelusuri hadis-hadis berkenaan peristiwa tersebut. Hanya saja perlu diperhatikan satu syarat yang penting, iaitu pastikan hadis-hadis tersebut berdarjat sahih atau hasan. Ini kerana dalam bab ini terdapat banyak hadis yang lemah dan yang lebih parah kelemahannya.