hajj.jpgMajalah Nur: Faktor yang menyebabkan kapten tergerak untuk menunaikan haji (mention ketika itu usia berapa dan tahun bila)?

Hafiz Firdaus: Alhamdulillah, saya dan isteri menunaikan haji pada tahun 1996. Ketika itu umur saya 25 tahun. Terdapat beberapa faktor, antara yang utama ialah amal ibadah jangan ditangguhkan. Jika kita mengangguhkannya, Allah juga menangguhkan rahmat dan ganjarannya kepada kita.


Majalah Nur: Apakah persediaan mental kapten sebelum ke sana?

Hafiz Firdaus: Tak banyak. Lebih kepada keseronokan dan semangat positif. Lebih penting ialah persediaan ilmu. Untuk ini saya dan isteri berjumpa Ustaz Safwan Fathy di Shah Alam dan meminta beliau memberi kursus haji khas kepada kami berdua sahaja selama dua hari. Alhamdulillah, cara ini jauh lebih efisyen dan berkesan berbanding kursus haji yang berminggu-minggu itu.

 

Majalah Nur: Selama ini kita dengar kebanyakan yang menunaikan haji adalah kalangan mereka yang sudah berusia, bagaimana kapten menyesuaikan diri dengan mereka ketika di mekah?

Hafiz Firdaus: Alhamdulillah, ada manfaatnya kerana kami berdua yang masih muda ketika itu dapat mendengar pengalaman serta nasihat mereka.

 

Majalah Nur: Apakah kelebihan mengerjakan haji ketika masih muda?

Hafiz Firdaus: Ketika usia muda, kita berada dalam keadaan fizikal dan kesihatan yang baik untuk melakukan semua aktiviti haji. Terus terang saya katakan ibadah haji agak mencabar kepada fizikal dan kesihatan seseorang.

Selain itu ketika usia muda, minda kita lebih cepat untuk menangkap dan memahami ilmu. Ilmu haji agak banyak dari rukun-rukunnya, syarat-syarat wajib, sunat sehinggalah kepada adab-adab ziarah. Maka dalam suasana umur muda, minda muda, ibadah haji tidak terasa susah mahupun rumit.

Kelebihan yang lain, apabila berada di tanah suci kita dapat membantu mereka yang sudah agak uzur. Kita yang muda dapat membantu mereka seperti memimpin ketika tawaf dan sa’e, melindungi mereka ketika melontar di jamrah, mengangkat beg sehinggalah kepada mengambil air zam-zam untuk mereka minum. Maka selain pahala haji, dapat juga pahala membantu orang, insya-Allah.

Tidak ketinggalan, haji pada umur muda dapat melahirkan keinsafan dalam diri sendiri. Sambil melihat kehebatan syiar-syiar agama di sana, sambil mengenang inilah tapak Rasulullah saw memula dan mengakhirkan dakwahnya, lahir perasan insaf akan betapa kurangnya diri sendiri dari sudut agama. Maka haji pada umur muda dapat menjadi penggerak untuk kita berubah diri dari kurang baik kepada baik, dari baik kepada lebih baik.

 

Majalah Nur: Kebanyakan orang sekarang takut atau rasa tidak bersedia untuk bergelar haji ketika masih muda kerana bimbang tidak dapat membawa tittle haji dengan baik. Apa pendapat anda mengenai hal ini dan apakah cabaran-cabaran untuk menyesuaikan penampilan dengan title berkenaan?

Hafiz Firdaus: Pertama sekali, Islam tidak menuntut kita bergelar, memakai atau membawa title haji. Gelaran Haji fulan atau Hajjah fulanah adalah kebiasaan masyarakat. Malah jika dikaji lebih mendalam, gelaran seperti itu boleh membawa kepada perasan riyak, iaitu kesukaan agar orang lain mengetahui tentang amal ibadat yang dilakukannya. Riyak termasuk dalam kategori syirik. Maka apabila melaksanakan ibadah haji pada apa jua umur, tidak digalakkan “memasang” gelaran haji dan hajjah.

Selain itu, melaksanakan haji tidak bererti menyempurnakan diri sendiri. Sebagai manusia tentu saja kita akan tersilap, terlanjur dan tersungkur. Maka sikap yang betul ialah akui kelemahan dan berusaha untuk memperbaikinya. Sikap ini dilaksanakan sama ada sebelum atau selepas melaksanakan haji.

Jangan sangka orang yang melaksanakan haji pada umur 60 tahun tidak akan berbuat silap dari sudut agama pada umur 61 tahun!

 

Majalah Nur: Sudah berapa kali ke sana dan adakah anda mempunyai target tertentu?

Hafiz Firdaus: Haji hanya wajib sekali seumur hidup. Jika kita miliki kemampuan kewangan dan fizikal yang lebih, maka gunakanlah ia untuk membantu umat Islam. Apabila melaksanakan haji, kita mendapat pahala haji itu sahaja. Sebaliknya apabila kita membantu umat Islam, kita mendapat pahala dari semua orang yang kita bantu. Pahala itu pula berterusan sekalipun selepas kita meninggal dunia.

 

Majalah Nur: Ceritakan mengenai pengalaman yang paling berharga dan tidak akan dilupakan sepanjang berada di Tanah Suci?

Hafiz Firdaus: Pengalaman paling berharga ialah suasana berinteraksi dengan orang ramai, iaitu mereka yang sekumpulan dengan saya. Di antara mereka ada yang baik, beradab dan menjadi contoh teladan.

Namun yang tidak dapat saya lupakan ialah sebahagian lain yang amat kurang adab. Sekalipun mereka tidak lepas solat lima waktu berjamaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tetapi akhlak mereka diwarnai dengan sifat yang buruk. Selama 40 hari di sana, mereka menghabiskan masa dengan menceritakan kehebatan diri sendiri, mengumpat orang lain, berebut makanan, enggan beratur menaiki bas, enggan memberikan warga emas tempat duduk ketika di masjid atau dalam bas, mencela suasana yang tidak selesa, membeli belah secara boros dan macam-macam lain. Saya tidak lupa kepada sebahagian ini dan sejak saat itu saya berazam untuk tidak menjadi seperti mereka.

 

Majalah Nur: Apakah nasihat anda kepada mereka yang masih enggan ke Tanah Suci walaupun mempunyai kemampuan?

Hafiz Firdaus: Dalam surah Ali Imran, ayat 133, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

Maka apa jua amalan yang dapat kita segerakan, maka segerakanlah ia. Atau lebih baik jika kita berusaha untuk menyegerakannya. Jika kita sengaja melengahkannya, akhirnya diri kita jua yang rugi. Rugi dunia dan akhirat.