Article Index

Hafiz Firdaus bin Abdullah lahir di Kuala Lumpur pada tahun 1971 dan mendapat pendidikan rendah dan menengah di St. John's Institution, Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Pada tahun 1989 beliau menyertai Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) sebagai seorang juruterbang.

Sejak awal beliau memiliki minat yang besar dalam ilmu-ilmu agama. Kerjayanya sebagai juruterbang memberi banyak kelebihan (advantage) bagi beliau untuk memahami agama dari perspektif yang lebih luas. Pada waktu yang sama beliau juga dapat menimba ilmu daripada pelbagai tokoh dan sumber di serata dunia.

Berpegang kepada konsep "Bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan", Hafiz Firdaus mula menulis sejak tahun 1999. Manhaj beliau ialah mengkaji sesuatu topik daripada sumber khazanah ilmu tokoh-tokoh terdahulu lalu menyusun dan menyampaikannya dalam bentuk yang mudah lagi relevan dengan isu-isu terkini.

Alhamdulillah sambutan yang baik daripada para pembaca menjadi pendorong kepada beliau untuk terus menulis topik-topik yang lebih penting dan besar. Sehingga kini Hafiz Firdaus telah menulis belasan buah buku bersama Penerbitan Jahabersa dengan sambutan yang luas di Malaysia dan negara-negara jiran.

Dipetik Dari Millenia Muslim Mei 2006


HAFIZ FIRDAUS - JURUTERBANG DI LANDASAN AGAMA
oleh : Maizura Mohd Ederis

Sesat! Gila Isim! Ini antara tuduhan yang pernah dilemparkan kepadanya. Malah ada yang menulis surat aduan kepada Jakim. Bagi sesetengah orang, kehadirannya di platform agama hanya untuk mengganggu ‘wilayah’ para agamawan. Pun, semua itu tidak dipedulikannya. Atas niat ingin mengubah pemikiran umat Islam di Malaysia, Hafiz Firdaus Abdullah tetap menulis dan menyampaikan ceramah agama. Membawa tagline ‘bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan’, beliau kini menghasilkan 24 judul buku, menyunting 17 judul oleh pengarang lain dan memberi ceramah setiap bulan.

Siapakah Hafiz Firdaus Abdullah? Dia bukan lah seorang agamawan, jauh sekali untuk memiliki ijazah panjang berjela dalam bidang keagamaan. Dia seorang pilot, berusia 35 tahun dan sangat rajin membaca. Sebelum ini, saya mengenalinya hanya melalui laman web www.al-firdaus.com yang mengupas isu-isu agama. Hanya pada Mac lalu saya sempat berkunjung ke rumahnya di Shah Alam, Selangor.

“Ini lah perpustakaan saya,” katanya mempelawa saya masuk ke sebuah bilik seluas dua bilik tidur utama rumah teres. Deretan buku yang disusun kemas memenuhi segenap ruang dinding - dari lantai ke siling! Kira-kira 70 peratus daripada koleksi buku dalam perpustakaan itu adalah hadis dan diantaranya termasuk dalam kategori ‘rare’ atau ‘endangered spesies’ seperti Musnat alBazzar, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan Sunan Said Bin Mansur.

Sebaik duduk di kerusi, saya terus bertanya tentang konsep yang agak asing bagi masyarakat Malaysia - bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan. Apa benar orang Malaysia kurang bijak kerana lebih memandang kepada ‘orang’ yang berkata, bukan ‘apa’ yang diperkatakan? “Orang Malaysia memang bijak. Sebagai contoh, golongan profesional seperti doktor tidak memandang nama penulis sesebuah buku tetapi fakta dan maklumat yang terdapat dalam buku itu. Hanya dalam bidang agama, mereka lihat kepada ’siapa’ yang menulis, bukan ‘apa’ yang ditulis. Dalam urusan dunia, orang kita boleh membuat analisa dan mengkaji sesuatu fakta. Tapi dalam urusan akhirat, mereka tidak mahu mengkaji, sebaliknya jadi pak turut sahaja.”

Kenyataannya memang benar kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat mempelajari ilmu agama daripada mereka yang bergelar ustaz dan ustazah sahaja. Kredibiliti ustaz dan ustazah pula dinilai berdasarkan berapa banyak ijazah yang ada, berapa besar serban yang dipakai, sejauh mana populariti dan setinggi mana jawatan dalam institusi keagamaan.