Kafirkah Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum Allah?

=======================================================

Judul buku : Kafirkah Orang Yang Berhukum Dengan Selain Hukum Allah?
Judul asal : Al-Hukmu Bighoiri Ma AnzalaLlah Wa Ushulut Takfir
Penulis : Dr. Kholid bin Ali bin Muhammad Al-Anbary
Penerbit : Pustaka As-Sunnah
Pengedar : Pustaka Indonesia, No 12, Wisma Yakin,
Jalan Masjid India, 50100 KL

======================================================

Sebenarnya tiada siapapun yang mengaku beriman dengan
Allah dan RasulNya akan menafikan wajibnya berhukum
dengan apa yang telah disyariatkan. Apa yang
disyariatkan sebagaimana yang dijelaskan di dalam
Al-Quran dan Al-Sunnah adalah wahyu yang disampaikan
dari Pembuat Syariat yang sesuai untuk setiap masa dan
tempat. Menafikan dengan lisan, niat dan perbuatan
bahawa Allah Maha Pencipta bukanlah yang berhak dalam
menguruskan hukum-hakam untuk manusia, tetapi
manusialah yang lebih berhak lagi arif dalam
menentukan hukum-hakam adalah satu kekafiran yang
nyata.

Pada zaman ini yang ramai dari kalangan para pemimpin
masyarakat Islam yang tidak mampu melaksanakan
hukum-hukum Allah dan mengunggulkan sistem-sistem
buatan manusia, maka ini adalah berupa satu kezaliman
yang mungkin lahir dari sifat-sifat munafiq terhadap
ajaran Rasulullah SAW. Allah SWT lebih mengetahui akan
isi hati mereka, dan kepada Allah sahaja kita
kembalikan urusan ini.

Dalam usaha gerakan-gerakan Islam dewasa ini
menegakkan usaha 'amar ma'aruf nahi mungkar' terhadap
pemimpin-pemimpin yang tidak mahu melaksanakan syariat
Islam, wujud pula satu kegelinciran baru di kalangan
gerakan-gerakan ini yang secara melulu menjatuhi
hukuman kafir ke atas saudara-saudara seagama. Ini
amat menyedihkan kerana dalam keadaan gerakan-gerakan
Islam ini kecil, ditindas dan tidak mendapat tempat,
terdapat pula sebahagian yang membawa satu budaya yang
tersasar jauh dari 'amar ma'aruf nahi mungkar'
mengikut garis panduan Islam. Ini amat mengelirukan
golongan awam dan juga mengundang kepada perpecahan
umat.

AlhamdulilLah buku "Kafirkah Orang Yang berhukum
Dengan Selain Hukum Allah?" memberikan kupasan ilmiah
yang sungguh bermanfaat dalam rangka memahami posisi
golongan salaf dan para imam-imam terdahulu di dalam
menafsirkan surah Al-Maidah ayat 44 - iaitu ayat yang
sering dijadikan hujah takfir.

Perlu diperingatkan bahawa buku ini tidak membahaskan
kewajiban berhukum dengan syariat Allah SWT, kerana
ini sudah disepakati kewajibannya, yang dibahaskan
adalah adakah kafir dengan kekafiran yang mutlak
mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah SWT.

Sebagai pendahuluan buku ini menjelaskan sebab dan
sejarah di sebalik turunnya ayat 44 surah Al-Maidah
(asbabun nuzul-nya). Ianya diturunkan bila Rasulullah
SAW berdialog dengan kaum Yahudi yang menukarkan
hukuman bagi penzina dari hukuman rejam kepada hukuman
menghitamkan muka. Apabila diminta dibukakan kitab
Taurat mereka, mereka melindungi ayat rejam dengan
tangan mereka dari dilihat oleh Rasulullah SAW.

Dalam mengambil petunjuk ayat 44 surah Al-Maidah ini,
ramai yang berpendapat bahawa tafsir ayat ini masih
diperselisihkan dan sudah wujud khilaf (berbagai
perbezaan pendapat) di antara para mufassirin. Ini
sebenarnya cumalah andaian-andaian yang tidak
dilandaskan kepada ilmu yang benar. Ini dihuraikan
dengan baik oleh Dr. Kholid Al-Anbary melalui kupasan
dari Imam Al-Qurthubi (Al-Jami' Li-Ahkamil Quran),
Imam At-Thabari (Tafsir At-Thabari), Imam Ibnu Katsir
(Tafsir Quran Al-Adzim) dan para ilmuwan yang
seangkatan dengan mereka. Para imam ini pula tidaklah
berhujah dengan nafsu dan akal mereka semata-mata
tetapi menyandarkan hujah mereka kembali kepada
pendapat para sahabat dan tabi'in seperti Ibnu Abbas,
Umar, Ali bin Abi Thalib, Atha', Thowus dan selainnya.

Para sahabat sebenarnya sudah terlebih dahulu melalui
berbagai zaman fitnah. Seharusnyalah mereka dijadikan
sebaik-baik rujukan dalam memahami sikap dan
pendekatan mereka mengenai sesuatu ayat. Ini kerana
hampirnya mereka dengan Rasulullah SAW dan saat
turunnya wahyu.

Juga dimuatkan di dalam buku ini antara lainnya adalah
hujah-hujah ilmuwan besar ilmu Islam seperti Sheikhul
Islam Ibnu Taymiyah (Majmu' Fatawa, Minhajus Sunnah),
Ibnu Qayyim Al-Jauzia (Madarijus Salikin), Imam Ibnu
Hazm (Al-Ihkam), Imam As-Syatibi (Al-I'tishom,
Al-Muwafaqat), Imam Az-Zahabi, Imam Ibnu Hajar (Fathul
Baari), Imam Nawawi (Syarh Sahih Muslim)
dan banyak lagi termasuk Sheikh Bin Baz dan Sheikh
Nasiruddin Al-Abani.

Sungguh banyak himpunan ilmu yang dimuatkan di dalam
buku ini bukan hanya setakat masalah mengkafirkan
mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Buku
ini juga menghuraikan pembahagian kafir itu sendiri
berserta kategori serta tahap-tahapnya.

Saya amat mencadangkan buku ini terutama bagi mereka
yang inginkan jawapan yang sahih lagi tepat bagi
teka-teki besar masalah takfir yang melanda umat Islam
ketika ini. Ingin ditambah juga, kerana tema utama
buku ini adalah membahas tafsir sepotong ayat
dari surah Al-Maidah (ayat 44) maka ianya secara tidak
langsung memberikan satu kefahaman yang mantap akan
kepentingan disiplin ilmu tafsir. Adalah amat penting
untuk mengembalikan tafsiran Al-Quran kepada petunjuk
para sahabat dan golongan salaf agar kita terhindar
dari kesesatan yang pernah melanda firqah-firqah ghulu
(extreme), sesat dan jahil sepanjang sejarah Islam.

Saya sudahi dengan kata-kata penulis yang dinukilkan
penulis dalam buku ini "...tidak ada selepas kebenaran
melainkan kesesatan". Semoga buku ini menjadi buruan
para pencinta ilmu.

ABU ADAM