Soalan: Apakah Persiapan Sebelum Berdoa?

Jawapan:

Semua Muslim boleh berdoa kepada Allah tanpa memerlukan persiapan khusus sebelum berdoa. Namun ada beberapa amalan yang jika ia dilakukan secara lazim sehingga menjadi kebiasaan seseorang, akan meningkatkan kadar kemakbulan doanya. Amalan-amalan ini dijelaskan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai berikut:

 

Pertama: Menjauhi Apa jua Yang Tidak Halal

Apabila disebut menjauhi apa jua yang tidak halal, ramai yang faham ia bermaksud menjauhi makanan yang tidak halal sembelihannya. Ini kefahaman yang bagus namun hendaklah tuntutan halal dalam Islam tidak dibataskan kepada aspek sembelihan sahaja. Sebaliknya hendaklah diluaskan kepada sumber perolehan juga, seperti dari manakah sumber wang ringgit yang digunakan bagi membeli makanan, minuman dan pakaian. Apakah ia pendapatan yang halal lagi bersih, atau berlaku kesamaran, penipuan dan penindasan?

Halal dan haram sangat memberi pengaruh kepada kadar kemakbulan doa berdasarkan hadis berikut daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh[1] bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ

فَقَالَ ((يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ )).

وَقَالَ ((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ )).

Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya, “Wahai para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal shalih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Dan firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah makanan yang baik-baik daripada apa yang kami rezekikan kepada kalian.”

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ! يَا رَبِّ!

وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

(Abu Hurairah melanjutkan) Kemudian (Rasulullah) menyebut tentang seorang yang jauh perjalanan sehingga rambutnya kusut lagi berdebu. Orang itu mengangkat kedua tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!” Padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan daging tubuhnya tumbuh daripada yang haram. Justeru bagaimana mungkin dia mengharapkan doanya dimakbulkan?[2]

Dalam hadis di atas, Rasulullah menerangkan tentang seorang yang bermusafir jauh, namun doanya tidak dimakbulkan. Padahal musafir merupakan salah satu suasana di mana doa akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala berdasarkan hadis berikut,

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ.

Tiga suasana di mana doa adalah mustajab tanpa keraguan padanya, (1) doa orang yang dizalimi, (2) doa orang yang bermusafir dan (3) doa ibu dan bapa ke atas anaknya.[3]

Perhatikan juga bahawa orang yang berdoa itu rambutnya kusut sementara orang seperti ini pernah disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai,

رُبَّ أَشْعَثَ مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ.

Betapa ramai orang yang rambutnya kusut sehingga dihalau dari pintu-pintu (kerana di pandang hina oleh masyarakat) padahal jika dia bersumpah (atau berdoa), pasti Allah akan memenuhinya.[4]

Orang itu juga telah mengangkat kedua tangannya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, satu perbuatan yang disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai,

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ.

Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Maha Mulia. Allah malu apabila seseorang itu menadah kedua tangannya berdoa kepada-Nya lalu menurunkan kedua tangannya dalam keadaan kosong lagi tidak diperkenankan.[5]

Orang itu juga kelihatan bersungguh-sungguh dalam berdoa apabila dia menyeru “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!” sementara kesungguhan seperti ini amatlah penting dalam berdoa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita,

لَا يَقُلْ أَحَدُكُمْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ ارْزُقْنِي إِنْ شِئْتَ وَليَعْزِمْ مَسْأَلَتَهُ إِنَّهُ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ لَا مُكْرِهُ لَهُ.

Janganlah salah seorang kalian berdoa dengan berkata, “Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu, rahmatilah aku jika Engkau mahu, rezekikanlah aku jika Engkau mahu”, sebaliknya hendaklah dia bersungguh-sungguh meminta doanya. Sesungguhnya Allah melakukan apa yang Dia kehendaki, tidak ada paksaan bagi-Nya.[6]

Orang itu juga seperti dalam kesulitan dan kesusahan, dua keadaan yang jika seseorang itu berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan menghilangkannya. Firman Allah 'Azza wa Jalla,

أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ.

Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati (Nya). [al-Naml 27:62]

Maka kenapakah doa itu tidak dimakbulkan? Sebabnya, makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan daging tubuhnya tumbuh daripada yang haram.

Pada zaman kini, halal dan haram tidak terhad kepada makanan, minuman dan pakaian. Ia turut meliputi pelbagai lain seperti barangan berjenama mahal yang tiruan, program cetak rompak yang digunakan dalam komputer, tayangan filem (movie) DVD dan Blu-Ray disc yang cetak rompak dan lagu-lagu MP3 yang didengar atau dimuat turun ke dalam telefon tanpa lesen. Ini kerana benda-benda tiruan dan cetak rompak itu merupakan penipuan dan perampasan hakcipta (copyright infringement) yang haram hukumnya dalam Islam.

Oleh itu bagi meningkatkan kadar kemakbulan doa, hendaklah dibersihkan dan dijauhkan apa jua yang tidak halal atau yang diragui kehalalannya, dalam semua aspek kehidupan.

 

Kedua: Memberi Nasihat Dan Teguran

Agar doa lebih tinggi harapan dimakbulkan, hendaklah membiasakan diri memberi nasihat ke arah kebaikan dan menegur daripada kejahatan orang-orang di sekeliling. Ini disebut sebagai amar ma’aruf (menganjur yang baik) dan nahi mungkar (melarang yang mungkar). Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda,

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلاَ يُسْتَجَابُ لَكُمْ.

Demi diriku yang berada di Tangan-Nya, hendaklah kalian menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran, atau nyaris Allah akan mengirimkan azab-Nya ke atas kalian. Kemudian kalian berdoa (agar dihindarkan dari azab itu) akan tetapi ia tidak dimakbulkan kepada kalian.[7]

Apabila orang-orang yang baik mengabaikan usaha memberi nasihat dan teguran, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan menurunkan azabnya yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang berbuat kemungkaran tetapi turut meliputi mereka (orang-orang yang baik).  Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan,

إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ.

Sesungguhnya apabila manusia melihat kezaliman lalu mereka tidak mencegahnya, dikhuatiri, Allah akan meratakan azab-Nya ke atas mereka semua (kerana membiarkan) kezaliman tersebut.[8]

Azab Allah tidak terhad kepada gempa bumi dan tsunami, tetapi dalam pelbagai rupa dan bentuk. Ia boleh datang sebagai keadaan ekonomi negara yang semakin merudum sementara harga barang asasi semakin naik. Ketika itu apabila seseorang berdoa agar Allah melapangkan rezekinya, Allah tidak memakbulkan doanya. Azab juga boleh dalam rupa suasana rumahtangga yang tidak harmoni sehingga ke ambang perceraian, lalu apabila berdoa agar Allah melimpahkan sakinah (ketenangan), mawaddah (saling menyayangi) dan rahmah (rahmat), Allah tidak memakbulkan doanya.

Sebelum memberi nasihat dan teguran, hendak seseorang itu melengkapkan dirinya dengan ilmu agama yang sahih. Ini kerana ada sebahagian yang mahu melakukan nasihat dan teguran, tetapi mereka menasihati yang salah dan menegur yang betul. Contohnya ada yang mahu memberi nasihat dan teguran dengan memanjangkan (forward) pesanan-pesanan agama yang diperolehinya dari media sosial. Namun apa yang sebenarnya dipanjangkan adalah hadis-hadis palsu, kisah-kisah dongeng, petua-petua khurafat dan hukam-hakam yang hanya memberatkan umat.

 

Ketiga: Memperkemaskan Ibadah

Maksud memperkemaskan ibadah ialah memperbaiki kualiti dan kuantiti ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Inilah maksud yang dapat ditangkap daripada ayat surah al-Fatihah yang lazim kita baca,

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.

Kepada Engkau sahajalah aku beribadah dan kepada Engkau sahajalah aku meminta pertolongan.

Jika diperhatikan tertib ayat di atas, ibadah mendahului meminta pertolongan, yakni berdoa. Lebih tinggi kualiti dan kuantiti ibadah seseorang, lebih tinggi kadar kemakbulan doanya di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Pengaruh ibadah kepada kadar kemakbulan doa dapat juga diperhatikan dalam ayat berikut,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ.

Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan Allah dengan bersabar dan (mendirikan) solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. [al-Baqarah 2:153][9]

Sebahagian umat Islam, ada yang ibadahnya kepada Allah sekadar yang wajib sahaja, atau dalam ertikata lain dalam kuantiti yang minima. Selain itu, kualiti ibadah yang wajib itu pula sangat rendah seperti solat pada akhir waktu, terburu-buru dan pada kadar kekhusyukan yang amat rendah. Ibadah puasa pula hanya pada bulan Ramadhan, dengan puasa yang masih dicemari dengan perkataan kotor, dusta dan sia-sia (lagha). Sepanjang tahun tidak ada ibadah sunat yang dilakukannya kecuali Solat Hari Raya Aidil Fitri dan Solat Hari Raya Aidil Adha. Orang seperti ini apabila dia berdoa, apakah kadar kemakbulan doanya?

Bandingkan pula dengan orang yang solatnya selalu di awal waktu dan berjemaah di masjid. Selain itu dia melengkapi solat fardhu dengan solat-solat sunat qabliyah dan ba’diyah ditambah dengan solat sunat pada akhir malam ketika orang ramai tidur nyenyak. Ibadah puasa pada bulan Ramadhan ditambah dengan puasa-puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, 3 hari pada pertengahan bulan (Puasa Ayyamul Bidh) atau selang sehari (Puasa Nabi Daud). Waktu lapangnya pula diisi dengan membaca al-Qur’an serta tafsirnya, mempelajari hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berzikir dengan zikir-zikir yang diajar oleh baginda. Orang seperti ini apabila dia berdoa, apakah kadar kemakbulan doanya?

Ibadah-ibadah sunat memiliki pengaruh yang penting dalam kadar kemakbulan doa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ.

Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang terhadapnya.

وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ.

Dan tidaklah hamba-Ku menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai melainkan apa yang telah aku fardhukan ke atasnya.

وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ.

Dan tidaklah hamba-Ku berterusan menghampirkan diri kepada-Ku melalui ibadah-ibadah sunat melainkan aku akan mencintainya.

فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ.

Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang dia jadikan untuk mendengar, pandangannya yang dia jadikan untuk memandang, tangannya yang dia jadikan untuk memukul, dan kakinya yang dia jadikan untuk berjalan. Jika dia meminta daripada-Ku nescaya Aku berikan dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungkan.

وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ.

Dan tidaklah Aku prihatin terhadap sesuatu yang Aku sendiri adalah pembuatnya, melainkan keprihatinan-Ku terhadap jiwa seorang mukmin yang membenci kematian sementara Aku juga membenci berbuat buruk terhadapnya.[10]

Dalam hadis qudsi di atas, Allah menerangkan betapa dia mencintai ibadah-ibadah wajib dan ia merupakan cara terbaik bagi seorang hamba mendekatkan diri kepada-Nya. Seterusnya apabila seorang hamba itu melazimi ibadah-ibadah sunat, Allah akan mencintainya. Apabila Allah sudah mencintai seorang hamba, Allah akan membimbing pendengaran, penglihatan, perbuatan dan perjalanannya ke arah kebaikan serta menjauhi kemungkaran.

Termasuk buah cinta Allah kepada seorang hamba adalah apabila hamba itu berdoa, Allah akan memakbulkannya.

Termasuk dalam usaha memperkemaskan ibadah kepada Allah 'Azza wa Jalla adalah menyemak dan memastikan ia bersih daripada sebarang bentuk bid’ah. Ini kerana bid’ah adalah amalan yang hanya “nampak baik” di sisi pengamalnya sementara di sisi Allah ia tidak memiliki apa-apa nilai. Dikatakan sedemikian kerana amalan-amalan bid’ah, sedikit atau banyak, adalah tertolak. Bererti ia tidak diterima sebagai satu ibadah, tidak diberikan ganjaran dan dalam konteks berdoa, tidak memiliki pengaruh mempertingkatkan kadar kemakbulan doa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini,

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

Sesiapa yang mencipta dalam urusan kami ini (agama Islam) apa yang tidak berasal daripadanya, maka ia tertolak.[11]

Pada ketika yang lain baginda mengingatkan,

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

Sesiapa yang beramal dengan amalan yang tidak berasal daripada urusan kami (agama Islam) maka ia tertolak.[12]

 

Keempat: Berlumba-Lumba Membuat Kebaikan

Dalam al-Qur’an surah al-Anbiya’, Allah Subhanahu wa Ta'ala menceritakan bagaimana Dia mengabulkan doa para Nabi dan Rasul. Apakah rahsia di sebalik pengabulan itu? Apakah disebabkan mereka berpangkat Nabi dan Rasul lalu serta merta Allah mengabulkan doa mereka? Allah menjelaskan sebab pemakbulan doa-doa para Nabi dan Rasul itu dengan firman-Nya,

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ.

Sesungguhnya mereka (para Nabi dan Rasul) sentiasa berlumba-lumba membuat kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta cemas; dan mereka pula sentiasa khusyuk kepada Kami. [al-Anbiya’ 21:90]

Apakah contoh berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dalam kehidupan harian?

  • Apabila nampak orang membawa beban yang berat, segera menawarkan diri untuk turut membawanya.
  • Apabila nampak orang menghadapi masalah kenderaan, segera menawarkan diri bagi membantu.
  • Apabila mendapat berita bencana alam menimpa sesebuah daerah, segera memberi sumbangan kewangan atau menjadi sukarelawan kerja menyelamat.
  • Apabila rakan kerja cuti sakit dan ada pelanggan mencarinya bagi sesuatu urusan, segera menawarkan diri bagi mewakili rakan kerja itu.

Orang yang melazimi sikap berlumba-lumba membuat kebaikan, sikapnya itu akan meningkatkan kadar kemakbulan doanya.

 

Kelima: Memperbanyakkan Doa Pada Waktu Senang

Kebiasaan sebahagian orang ialah berdoa kepada Allah apabila menghadapi sesuatu masalah. Apabila masalah sudah hilang atau apabila tiada masalah, mereka tidak lagi berdoa kepada Allah.

Sebenarnya salah satu rahsia meningkatkan kadar kemakbulan doa ialah memperbanyakan doa pada waktu senang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan rahsia ini,

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكَرْبِ فَلْيُكْثِرْ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ.

Sesiapa suka Allah mengabulkan doanya ketika susah dan sedih, maka hendaklah diperbanyakkan doa pada saat senang.[13]

Doa termasuk dalam kategori zikir kerana apabila seseorang itu berdoa, dia mengingati Allah, berulang-ulang menyebut nama Allah, berbaik sangka kepada Allah, bergantung kepada Allah, berserah kepada Allah dan mengharapkan kurniaan serta pertolongan-Nya. Justeru banyak berzikir kepada Allah ketika senang termasuk rahsia kemakbulan doa. Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan,

ثَلَاثَةٌ لَا يَرُدُّ اللهُ دُعَاءَهُمُ، الذَّاكِرُ اللهَ كَثِيرًا، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَالْإِمَامُ الْمُقْسِطُ.

Tiga golongan yang Allah tidak menolak doa mereka, (1) orang yang banyak berzikir kepada Allah, (2) doa orang yang dizalimi dan (3) pemimpin yang adil.[14]

Inilah rahsia yang menyelamatkan Nabi Yunus ‘alahis salam setelah beliau ditelan oleh seekor ikan yang besar,

فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ. لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ. فَنَبَذْنَاهُ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ سَقِيمٌ. وَأَنْبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِنْ يَقْطِينٍ.

Maka kalaulah dia (Nabi Yunus) bukan daripada orang-orang yang sentiasa bertasbih kepada Allah, tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar (sehingga dia kembali sihat). [al-Shaffat 37:143-146]

Sebenarnya sikap berdoa hanya apabila susah atau menghadapi masalah telah beberapa kali dikritik dalam al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنْبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَائِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَنْ لَمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَسَّهُ.

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, berdoalah dia kepada Kami (dalam semua keadaan sama ada) baring, duduk ataupun berdiri. Sebaik sahaja Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia meneruskan kehidupan seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami agar dihapuskan kesusahan yang menimpanya. [Yunus 10:12]

وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْإِنْسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَى بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ.

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (daripada Allah) dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia berdoa secara panjang lebar. [Fussilat 41:51]

Lebih buruk apabila seseorang itu berdoa kepada Allah tentang masalah yang dihadapinya. Apabila Allah menghapuskan masalah itu, dia tidak lagi berdoa. Bahkan dia membuat cerita konon masalah itu hilang atas kepintaran dirinya sendiri. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

فَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ.

Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami dia berkata: “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.” [al-Zumar 39:49]

Demikianlah lima persiapan awal yang perlu dilazimi oleh seseorang bagi meningkatkan kadar kemakbulan doanya. Ringkasnya, lima persiapan awal itu ialah:

  1. Menjauhi perkara yang tidak halal sumbernya
  2. Memberi nasihat dan teguran
  3. Memperkemaskan ibadah
  4. Berlumba-lumba membuat kebaikan
  5. Memperbanyakan doa dan zikir pada waktu senang

Diulangi bahawa lima persiapan awal ini hendaklah menjadi kelaziman atau kebiasaan dalam kehidupan seseorang. Janganlah apabila masalah muncul secara tiba-tiba, barulah dia berhenti menonton DVD cetak rompak, melaksanakan solat sunat, berbuat baik dengan mengirim duit ke kampung dan berdoa. Semua itu yang dilakukan pada minit-minit terakhir dibimbangi kurang memberi pengaruh positif kepada doanya.

Jika dapat dibuat satu perumpamaan, maka doa adalah umpama sebilah pedang yang tajam. Pedang yang tajam tidak akan berkesan terhadap musuh jika orang yang memegangnya tidak memiliki kecergasan fizikal, ketajaman mental dan kehandalan menggunakannya. Demikianlah, kadar kemakbulan doa sangat bergantung kepada ciri-ciri orang yang berdoa sebagaimana kadar keberkesanan pedang yang tajam sangat bergantung kepada ciri-ciri orang yang memegangnya.

 

Notakaki: 

[1]         Bermaksud “Allah reda ke atasnya”. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ.

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di kalangan orang-orang Muhajirin dan Anshar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah. [al-Taubah 9:100]

[2]              Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1686/1015 (Kitab al-Zakat, Bab diterimanya sedekah daripada sumber yang baik…).

[3]              Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau mendiamkan darjatnya. Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 1828/1905 (Kitab al-Birr wa al-Silah ‘an Rasulullah, Bab berkenaan panggilan ibu dan bapa). Hadis ini dinilai hasan li ghairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 2107.

[4]        Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4754/2622 (Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab keutamaan orang lemah).

[5]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3479/3556 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan doa Nabi).

[6]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 6923/7477 (Kitab al-Tauhid, Bab kehendak dan keinginan).

[7]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis ini hasan.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 2095/2169 (Kitab al-Fitan ‘an Rasulullah, Bab berkenaan amar ma’ruf dan nahi mungkar).

[8]         Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis ini sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 2094/2168 (Kitab al-Fitan ‘an Rasulullah, Bab berkenaan diturunkan azab apabila tidak diubah kemungkaran).

[9]              Firman Allah, Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Kebersamaan Allah (Ma’iyatullah) dengan makhluk-Nya terbahagi kepada dua jenis.

Pertama: Kebersamaan secara umum yang meliputi semua makhluk, seperti kebersamaan dari aspek pengawasan-Nya, pengetahuan-Nya, penglihatan-Nya dan pendengaran-Nya. Contohnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ.

Dia-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar darinya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik kepadanya.

Dan Dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. [al-Hadid 57:04]

Kedua: Kebersamaan secara khusus yang ditujukan kepada makhluk-Nya yang tertentu. Contohnya kebersamaan dari aspek pertolongan kepada Rasulullah dan Abu Bakar ketika mereka berhijrah dari Mekah ke Madinah secara rahsia lalu bersembunyi di dalam gua,

...فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا.

…maka demi sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (Rasulullah dan Abu Bakar) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan perasaan tenang tenteram ke atasnya dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. [al-Taubah 9:40]

Contoh lain, kebersamaan dalam aspek memberi hidayah kepada orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya seperti mana ayat berikut,

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ.

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sungguh Kami akan memberi hidayah ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. [al-Ankabut 29:69]

Contoh lain, kebersamaan dalam aspek memberi pertolongan kepada orang-orang yang sabar, sebagaimana ayat 153 surah al-Baqarah di atas.

Apa yang penting, kebersamaan Allah tidak bererti Allah berada di mana-mana. Allah di langit, bersemayam di atas Arasy mengikut cara yang layak baginya. Sila rujuk semula ayat ke empat surah al-Hadid. Apabila Allah menyebut kebersamaan-Nya, ia merujuk kepada sifat-Nya dan perbuatan-Nya seperti pengetahuan, penglihatan, pengawasan dan pertolongan.

[10]            Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 6021/6502 (Kitab al-Riqaq, Bab merendah diri).

[11]            Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3242/1718 (Kitab al-Aqdhiyah, Bab bantahan ke atas hukum-hakam yang batil dan urusan agama yang baru dicipta).

[12]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3243/1718 (Kitab al-Aqdhiyah, Bab bantahan ke atas hukum-hakam yang batil dan urusan agama yang baru dicipta).

[13]             Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3304/3382 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan doa seorang muslim adalah mustajab).

[14]            Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, hadis no.: 6973 dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 1211.