Soalan: Apakah Doa Yang Sesuai Dibaca Ketika Senang? Saya Tidak Tahu Apa Yang Patut Diminta Kepada Allah Ketika Senang.

Jawapan:

Doa ketika senang amat penting kerana ia merupakan salah satu faktor doa akan dimakbulkan ketika susah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكَرْبِ فَلْيُكْثِرْ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ.

Sesiapa suka Allah mengabulkan doanya ketika susah dan sedih, maka hendaklah diperbanyakkan doa pada saat senang.[1]

Selain itu doa adalah ibadah kepada Allah sehingga sesiapa yang berdoa, baik ketika senang atau susah, baik doa itu dimakbulkan atau belum, akan membuahkan pahala untuknya.

Ketika senang, apabila seseorang itu tidak ada sesuatu yang khusus untuk diminta, maka dianjurkan dia berdoa dengan doa-doa umum yang terdapat dalam al-Qur’an. Antara yang terbaik adalah doa yang paling kerap dibaca oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu,

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka. [al-Baqarah 2:201]

Anas bin Malik radhiallahu 'anh, yang merupakan pembantu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya,

أَيُّ دَعْوَةٍ كَانَ يَدْعُو بِهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثَرَ؟

Apakah doa yang paling kerap dibaca oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam?

أَكْثَرُ دَعْوَةٍ يَدْعُو بِهَا يَقُولُ اللَّهُمَّ ((آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ))

(Anas menjawab) doa yang paling kerap dibaca ialah “Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka.”

قَالَ وَكَانَ أَنَسٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدَعْوَةٍ دَعَا بِهَا فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدُعَاءٍ دَعَا بِهَا فِيهِ

Perawi hadis berkata, “Biasanya Anas apabila dia hendak berdoa, dia berdoa dengan doa tersebut. Jika dia berdoa dengan doa yang lain, dia membaca juga doa tersebut.”[2]

Selain itu amatlah baik untuk berdoa agar Allah mengampunkan dosa-dosa sendiri, ibu dan bapa dan umat Islam seluruhnya. Berdoalah sebagaimana Nabi Ibrahim ‘alaihis salam berdoa,

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ.

Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal. [Ibrahim 14:41]

Jika sedang dalam keadaan senang, maka bersyukurlah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala atas segala nikmat yang dikurniakan oleh-Nya dengan membaca doa berikut daripada al-Qur’an,

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal shalih yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” [al-Ahqaf 46:15]

Pada masa kini terdapat banyak pandangan, pemikiran dan aliran yang menyimpang daripada ajaran Islam yang tulen. Seseorang itu boleh saja terpengaruh atau terikut-ikut dengan penyimpangan ini, baik ketika senang mahupun susah. Maka sangat dianjurkan melazimi doa berikut,

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ.

Wahai tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau memberi hidayah kepada kami. Dan kurniakanlah kepada kami daripada sisi-Mu rahmat, sesungguhnya Engkau, Engkau-lah yang Maha Pemberi (kurniaan). [Ali Imran 3:08]

Disyorkan membaca doa berikut agar dipermudahkan urusan harian. Ia adalah doa yang dibaca oleh sekumpulan pemuda yang melarikan diri demi menjaga iman mereka, lalu bersembunyi di dalam gua,

رَبَّنَا آَتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا.

Wahai tuhan kami, kurniakanlah kepada kami daripada sisi Engkau rahmat dan himpunkanlah urusan kami di atas (petunjuk-Mu) yang lurus. [al-Kahf 18:10]

Agar dilapangkan rezeki, disyorkan doa berikut yang dibaca oleh Nabi ‘Isa álaihis salam,

اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا وَآَخِرِنَا وَآَيَةً مِنْكَ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ.

Ya Allah, wahai tuhan kami, turunkanlah kepada kami hidangan makanan dari langit yang dapat kami jadikan Hari Raya bagi kami, iaitu bagi orang-orang yang bersama kami sekarang dan yang akan datang, dan sebagai tanda kekuasaan Engkau; Dan rezekikanlah kami (kerana) Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki. [al-Maidah 5:114]

Tidak ketinggalan ialah doa untuk kebahagiaan sekeluarga,

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا.

Wahai tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan anak-anak yang menenangkan hati dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa. [Furqan 25:74]

Hairan dengan sikap sebahagian umat Islam yang suka dengki mendengki, hasut menghasut, aib mengaib dan musuh memusuhi? Maka biasakan membaca doa berikut,

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ.

Wahai tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami kedengkian dan permusuhan sesama orang-orang yang beriman; Wahai tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penyantun lagi Maha Penyayang. [Hasyr 59:10]

Digalakkan juga membaca doa berikut daripada Nabi Ibrahim ‘alaihis salam, agar Allah menambahkan ilmu dan hikmah serta menjadikan sahabat-sahabat daripada kalangan orang-orang soleh,

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ.

Wahai tuhan-ku, kurniakanlah kepadaku ilmu dan hikmah serta hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh. [al-Syu’ara 26:83]

Demikianlah beberapa doa umum yang elok dibaca daripada al-Qur’an. Selain itu terdapat juga doa-doa umum daripada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang elok dibaca.

Antaranya, apa yang diriwayatkan oleh Shar bin Husyab bahawa dia bertanya kepada Ummu Salamah radhiallahu 'anha (isteri Rasulullah), “Wahai ibu orang-orang beriman, apakah doa yang paling banyak dibaca oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila baginda di sisi kamu?” Maka Ummu Salamah menjawab, “Baginda paling banyak membaca doa

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ.

Wahai (Allah yang) membalik-balikkan hanti, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

قَالَتْ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَكْثَرَ دُعَاءَكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ؟

قَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلَّا وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.

Ummu Salamah berkata, aku bertanya, “Wahai Rasulullah, kenapa kamu banyak berdoa Wahai (Allah yang) membalik-balikkan hanti, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu?”

Rasulullah menjawab, “Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya tidaklah seorang pun daripada anak cucu Adam melainkan hatinya di antara dua jari daripada jari-jemari Allah. Maka sesiapa yang Allah kehendaki, Dia tegakkan (atas kebenaran) dan sesiapa yang Allah kehendaki, Dia palingkan (daripada kebenaran).[3]

Antaranya, doa perlindungan daripada syirik riya’ dan sum’ah[4] yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu 'anh. Ma’qil bin Yasar radhiallahu 'anh menceritakan,

انْطَلَقْتُ مَعَ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ:

Aku bergegas bersama Abu Bakar radhiallahu 'anh kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, lalu baginda bersabda,

يَا أَبَا بَكْرٍ، لَلشِّرْكُ فِيكُمْ أَخْفَى مِنْ دَبِيبِ النَّمْلِ!

“Wahai Abu Bakar, sungguh perbuatan syirik di kalangan kalian lebih samar-samar berbanding semut yang merayap!”[5]

فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: وَهَلِ الشِّرْكُ إِلَّا مَنْ جَعَلَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ؟

Lalu Abu Bakar berkata, “Bukankah syirik itu tidak lain adalah orang yang menjadikan bersama Allah tuhan yang lain?”

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَلشِّرْكُ أَخْفَى مِنْ دَبِيبِ النَّمْلِ، أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى شَيْءٍ إِذَا قُلْتَهُ ذَهَبَ عَنْكَ قَلِيلُهُ وَكَثِيرُهُ؟ قَالَ: قُلِ:

Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, sungguh perbuatan syirik lebih samar-samar berbanding semut yang merayap. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang jika dibaca akan menjauhkan daripada kamu syirik yang sedikit mahupun banyak?” Baginda melanjutkan, berdoalah,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لَا أَعْلَمُ.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada mensyirikkan Engkau sementara aku mengetahuinya dan aku memohon ampun kepada Engkau daripada apa yang aku tidak ketahui.[6]

Antaranya, doa yang diajarkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada orang yang baru memeluk Islam,

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي.

Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, hidayahkanlah aku dan rezekikanlah aku.[7]

Antaranya, doa perlindungan yang lazim baginda baca,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْأَرْبَعِ، مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دُعَاءٍ لَا يُسْمَعُ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada empat perkara, daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada jiwa yang tidak berasa puas dan daripada doa yang tidak didengar.”[8]

Antaranya, doa ringkas yang lazim Rasullullah baca,

اللهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى، وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى.

Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada Engkau hidayah dan taqwa, kejauhan daripada maksiat dan kekayaan (hati).[9]

Atau doa yang sederhana daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

اللهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي، وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي،

وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي، وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ، وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ.

Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang padanya menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang padanya tempat kembaliku, jadikanlah hayat ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap perkara kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kerehatan bagiku daripada setiap keburukan.[10]

Antaranya, doa yang lebih panjang daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا يَحُولُ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعَاصِيكَ وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ جَنَّتَكَ وَمِنْ الْيَقِينِ مَا تُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مُصِيبَاتِ الدُّنْيَا.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami sebahagian daripada sifat takut kepada Engkau, apa yang dapat menghalangi kami daripada bermaksiat kepada Engkau. Dan (sebahagian daripada sifat) taat kepada Engkau, apa yang dengannya dapat menyampaikan kami kepada syurga Engkau, Dan (sebahagian daripada sifat) yakin (kepada Rahmat Engkau), apa yang dengannya dapat meringankan ke atas kami musibah di dunia (ini).

وَمَتِّعْنَا بِأَسْمَاعِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُوَّتِنَا مَا أَحْيَيْتَنَا وَاجْعَلْهُ الْوَارِثَ مِنَّا.

Berilah kebahagiaan kepada kami melalui pendengaran kami, penglihatan kami dan kekuatan kami selama kehidupan kami dan jadikanlah semua itu warisan daripada kami (kepada generasi seterusnya).

وَاجْعَلْ ثَأْرَنَا عَلَى مَنْ ظَلَمَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى مَنْ عَادَانَا وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا.

Jadikanlah pembalasan ke atas orang-orang yang menzalimi kami, tolonglah kami ke atas orang-orang yang memusuhi kami dan janganlah Engkau menjadikan musibah kami (sesuatu yang memberi pengaruh buruk) dalam agama kami.

وَلَا تَجْعَلْ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لَا يَرْحَمُنَا.

Janganlah Engkau jadikan urusan dunia sebagai objektif terbesar kami, janganlah (menjadikan urusan dunia sebagai) kemuncak ilmu pengetahuan kami dan janganlah Engkau (jadikan para penguasa) di atas kami daripada kalangan orang yang tidak menyayangi kami.[11]

Antaranya, berdoa meminta syurga Firdaus seperti “Ya Allah, kurniakanlah kepada diriku dan ahli keluargaku syurga Firdaus di Akhirat kelak, serta jadikanlah kehidupan kami di dunia ini sebagai orang yang layak mendapat syurga Firdaus.” Ini sebagaimana pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ.

Sesungguhnya di syurga ada seratus darjat yang Allah sediakan untuk para mujahid di jalan Allah, di mana jarak di antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi.

فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ.

Oleh itu apabila kalian meminta kepada Allah, maka mintalah surga Firdaus kerana ia adalah syurga yang paling utama dan paling tinggi.[12]

Terdapat banyak lagi doa-doa yang dibaca dan diajarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jemput mengkaji dan mengamalkannya dalam buku-buku yang khusus menghimpunkan doa-doa dan zikir-zikir Rasulullah. Pastikan bagi setiap doa dan zikir diberikan rujukan hadis secara ilmiah.

Selain itu berdoa tidak semestinya untuk diri sendiri. Sangat dianjurkan berdoa untuk orang lain, baik yang dikenali atau tidak, khasnya apabila mendapat berita sesuatu musibah yang menimpa mereka. Mendoakan keselamatan, kesihatan, kemudahan dan kebaikan orang lain akan memberi manfaat kepada diri sendiri juga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

دَعْوَةُ الْمَرْءِ مُسْتَجَابَةٌ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ يُؤَمِّنُ عَلَى دُعَائِهِ كُلَّمَا دَعَا لَهُ بِخَيْرٍ قَالَ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلِهِ.

Doa seseorang untuk saudara (seagama)nya yang tidak hadir bersamanya adalah mustajab. (Ini kerana) di sisi kepala orang yang berdoa terdapat malaikat yang mengaminkan doanya. Setiap kali dia mendoakan kebaikan saudaranya, malaikat itu akan berdoa, “Amin dan bagimu yang semisal.”[13] 

Termasuk dalam rangka berdoa ketika senang adalah melazimkan berdoa di celah-celah perbicaraan dan persembangan. Baik sesama ahli keluarga, rakan pejabat atau sesiapa lain. Biasakan mencelah dengan doa-doa ringkas pada ketika yang sesuai, seperti “Moga Allah mengampuni kita”, “Moga Allah memelihara kamu”, “Moga Allah merahmati kita” dan “Semoga Allah permudahkan urusan kamu”.

Ini merupakan salah satu sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Sebagai contoh ketika sedang berbincang untuk membeli unta Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh, Rasulullah bertanya dan berdoa,

أَتَبِيعُنِيهِ بِكَذَا وَكَذَا؟ وَاللهُ يَغْفِرُ لَكَ.

Apakah kamu mahu menjualnya dengan sekian-sekian harga? Semoga Allah mengampunkan bagi kamu.[14]

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي عَلَى قَلِيبٍ عَلَيْهَا دَلْوٌ، فَنَزَعْتُ مِنْهَا مَا شَاءَ اللهُ. ثُمَّ أَخَذَهَا ابْنُ أَبِي قُحَافَةَ فَنَزَعَ بِهَا ذَنُوبًا أَوْ ذَنُوبَيْنِ وَفِي نَزْعِهِ، وَاللهُ يَغْفِرُ لَهُ ضَعْفٌ.

Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi berada di tepi sebuah perigi yang ada timbanya. Lalu aku menimba daripadanya sekadar apa yang Allah kehendaki. Kemudian (Abu Bakar) ibn Quhaifah menimba daripadanya satu atau dua timba dengan susah payah, semoga Allah mengampunkan baginya.

ثُمَّ اسْتَحَالَتْ غَرْبًا، فَأَخَذَهَا ابْنُ الْخَطَّابِ. فَلَمْ أَرَ عَبْقَرِيًّا مِنَ النَّاسِ يَنْزِعُ نَزْعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، حَتَّى ضَرَبَ النَّاسُ بِعَطَنٍ.

Kemudian timba itu berubah menjadi besar lalu diambil oleh (‘Umar) bin al-Khaththab. Aku tidak pernah melihat sesiapa di kalangan manusia yang lebih hebat menimba air sebagaimana ‘Umar bin al-Khaththab menimba air, sehingga orang ramai berkerumun di situ (untuk minum air).[15]

 

Notakaki:

[1]              Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3304/3382 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan doa seorang muslim adalah mustajab).

[2]              Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4855/2690 (Kitab al-Zikr, wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar, Bab keutamaan berdoa dengan “Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia…”

[3]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, no.: 3444/3522 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah).

[4]              Riya’ adalah apabila seseorang itu melakukan amal soleh atau meninggalkan kemungkaran dengan niat dia diperhatikan orang lalu diberikan puji-pujian. Sum’ah adalah apabila seseorang itu melakukan amal soleh atau meninggalkan kemungkaran dengan niat dia disebut-sebut orang lalu diberikan puji-pujian.

[5]              Maksudnya, semut yang merayap tidak meninggalkan jejak kaki berbanding haiwan lain, sehingga ia tidak dapat dikesan. Demikianlah, syirik yang berlaku kerana gerak hati seperti riya’ dan sum’ah, ia tidak dapat dikesan berbanding syirik yang melibatkan gerak fizikal seperti menyembah patung atau memakai tangkal.

[6]              Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, hadis no.: 554/716. Lihat juga penjelasan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Dhu’afa wa al-Maudhu’ah, hadis no.: 3755.

[7]              Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4863/2697 (Kitab al-Zikr, wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar, Bab keutamaan tahlil, tasbih dan doa).

[8]              Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1324/1548 (Kitab al-Sholat, Bab tentang doa perlindungan).

[9]              Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4898/2721 (Kitab al-Zikr wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar, Bab berlindung daripada keburukan apa yang telah diamalkan dan daripada keburukan apa yang belum diamalkan).

[10]            Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4897/2720 (Kitab al-Zikr wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar, Bab berlindung daripada keburukan apa yang telah diamalkan dan daripada keburukan apa yang belum diamalkan).

[11]            Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3424/3502. (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab menghitung tasbih dengan tangan).

Ia juga dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3809

[12]            Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 2581/2790 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab darjat orang yang berperang di jalan Allah).

[13]             Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 2886/2895 (Kitab al-Manasik, Bab keutamaan doa orang yang pergi haji).

[14]            Sahih: Sebahagian daripada hadis panjang yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 2667/715 (Kitab al-Ridha’, Bab disukai menikah wanita dara).

[15]            Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4405/2392 (Kitab Fadha’il al-Shohabah, Bab antara keutamaan ‘Umar bin al-Khaththab).