Soalan: Apakah Keutamaan Doa Ketika Hujan?

Jawapan:

Terdapat beberapa riwayat yang menerangkan bahawa saat dimakbulkan doa adalah apabila hujan sedang turun. Semua riwayat tersebut beserta jalan-jalan periwayatannya memiliki kelemahan namun ia saling menyokong antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke darjat hasan. Salah satu daripadanya adalah,

اطْلُبُوا اسْتِجَابَةَ الدُّعَاءِ عِنْدَ الْتِقَاءِ الْجُيُوشِ، وَإِقَامَةِ الصَّلَاةِ، ونُزُولِ الْغَيْثِ.

Carilah saat-saat dimakbulkan doa ketika bertembung dua pasukan (muslim dan kafir), ketika didirikan solat dan ketika turunnya hujan.[1]

Dalam sebuah riwayat lain,

ثِنْتَانِ مَا تُرَدَّانِ الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ المَطَرِ.

Dua suasana doa tidak ditolak, ketika azan dilaungkan dan di bawah hujan.[2]

Oleh itu dianjurkan berdoa ketika hujan sedang turun.

 

Notakaki:

[1]  Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan wa al-Atsar, hadis no.: 7236  (Kitab al-Istisqa’, Bab mencari saat dimakbulkan doa ketika hujan turun). Berkata al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 1469 bahawa sanadnya mursal tetapi dapat diangkat ke darjat hasan. Lihat juga penjelasan Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, notakaki bagi hadis no.: 2540 (Kitab al-Jihad, Bab doa ketika bertemu musuh).

[2] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no.: 2534 dan beliau mensahihkannya, dipersetujui sahih oleh al-Dzahabi. al-Sayuthi menghimpunkannya dalam al-Jami’ al-Shogheir dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shogheir, hadis no.: 3078.