al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Kelapanbelas:

          

Hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam banyak yang aneh lagi pelik. Dalam sudut syari’at Islam umpamanya, kita dapati ada hadis yang berkata sesiapa sahaja yang akhir ucapannya adalah “La ilaha illaLlah” akan masuk syurga !! Hadis ini sudah tentu aneh jika dibandingkan dengan pelbagai syarat dan kewajipan yang telah digariskan oleh al-Qur’an untuk seseorang itu layak masuk syurga. Dari sudut sains pula, dapati hadis-hadis menyalahi penemuan ilmiah yang sah lagi terbukti seperti hadis yang berkata tidak ada penyakit yang berjangkit. Kita juga dapati ada hadis-hadis yang mensabitkan diri Rasulullah dengan perbuatan yang zalim lagi kejam seperti hadis yang mengatakan Rasulullah telah menghukum beberapa orang dengan mencungkil keluar mata mereka dan membiarkan di tengah gurun sehinggalah ajal menemui mereka.

Bagi kami, contoh-contoh di atas dan banyak lagi sebenarnya bukanlah merupakan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tetapi adalah rekaan orang-orang terkemudian lalu didustakan atas nama Rasulullah. Rekaan dan dustaan terlepas masuk ke dalam kitab-kitab hadis yang sahih lagi masyhur. Hadis-hadis seperti ini tidak meninggalkan kita apa-apa pilihan kecuali menolak keseluruhan hadis-hadis kerana ia sebenarnya hanyalah rekaan dan dustaan manusia selepas kewafatan Rasulullah.

Jawapan.

Letak kesilapan Golongan Anti Hadis di sini ialah terburu-buru membuat kesimpulan semata-mata berdasarkan ilmu pengetahuan yang sangat terbatas tanpa mahu mempelajari ilmu hadis secara mendalam terlebih dahulu, seperti mengkaji sebab kelahirannya (ashabul wurud), kaedah lafaz bahasa Arabnya, tujuan atau maksud disebaliknya dan perbandingan dengan hadis-hadis yang lain. Lebih memudahkan adalah bahawa setiap dari hadis-hadis yang didakwa “aneh dan pelik” itu telahpun dijelaskan oleh para ilmuan Islam dalam kitab-kitab syarahan hadis. Tanpa berlengah lagi marilah kita mengkaji dan menjelaskan hadis-hadis “aneh dan pelik” yang disebut di atas.[1]

Pertama: Sesiapa yang akhir ucapannya: “La ilaha illaLlah” akan masuk syurga.

Berikut adalah teks sebenar hadis yang dimaksudkan. Sabda Rasulullah sallallahu-alahi-wasallam:

Barangsiapa akhir perkataannya adalah “La ilaha illaLlah” maka dia masuk syurga.[2]

Hadis di atas sebenarnya disabdakan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di zaman awal Islam di Kota Makkah. Berkata Ibnu Syihab az-Zuhri (124H), seorang tokoh generasi tabiin: Hadis sebegini hanya pada permulaan Islam sebelum turunnya kewajipan-kewajipan dan larangan.[3] Yakni di zaman permulaan Islam di mana pada saat itu belum disyari’atkan pelbagai ibadah, kewajipan, larangan dan hukuman kecuali sekadar mentauhidkan Allah Azza waJalla dan meninggalkan segala amalan syirik yang mereka praktikkan sebelum itu. Pada waktu itu mereka yang baru memeluk Islam diugut dan dipaksa agar meninggalkan Islam dan sesiapa yang enggan – mereka diseksa hingga ke tahap dibunuh dengan kejam. Ketika sedang diugut, diseksa dan sesaat sebelum dibunuh, tiada yang diucapkan oleh mereka kecuali “La ilaha illaLlah” – Tiada Tuhan selain Allah – secara berulang-ulang sehinggalah mereka dibebaskan atau sehingga maut menemui mereka.

Terhadap umat Islam inilah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah “La ilaha illaLlah” maka dia masuk syurga dan memang benar bagi mereka adalah ganjaran syurga kerana menegakkan ketauhidan Allah Azza waJalla sehingga ke akhir hayat mereka. Senada dengan hadis ini adalah firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam ayat berikut yang juga diturunkan di Kota Makkah:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atasnya, maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli Syurga, tetap kekal mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. [al-Ahqaf 46:13-14]

Adapun kedudukan hadis ini pada masa kini, maka berkata para ilmuan bahawa ia tetap sah diperlakukan. Sesiapa sahaja yang mentauhidkan Allah Subhanahu waTa’ala secara yakin dan benar sehingga ke akhir hayatnya, syurgalah balasannya. Seandainya ada dosa-dosa besar, maka mereka akan diazab setimpal dengan kadar dosa masing-masing dan akhirnya tetap akan dimasukkan ke dalam syurga Allah Tabaraka waTa’ala.[4]

Kedua: Tidak ada penyakit berjangkit.

Sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Tidak boleh menjangkitkan penyakit, dan tidak boleh mengundi nasib, dan tidak boleh mempercayai Hama[5], dan tidak boleh mempercayai (kecelakaan) bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa.[6]

Perkataan Laa ‘Udwa ( لا عدوى ) biasanya diterjemahkan sebagai tiada penyakit berjangkit atau tidak ada penyakit berjangkit. Akan tetapi dalam kaedah bahasa Arab, perkataan Laa tersebut boleh memiliki dua erti, yang pertama sebagai menunjukkan satu “peniadaan” (nafyun) dan yang kedua sebagai menunjukkan satu “larangan” (nahyun). Kaedah bahasa Arab ini boleh juga kita lihat dalam ayat al-Qur’an berikut:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat Haji. [al-Baqarah 2:197]

Firman Allah Subhanahu waTa’ala di atas bukanlah bermaksud satu peniadaan seperti tidak ada persetubuhan, tidak ada kemaksiatan dan tidak ada pertengkaran kerana tiga perkara ini memang sentiasa wujud dan tidak boleh dihapuskan begitu sahaja. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah larangan, iaitu jangan bersetubuh, jangan bermaksiat dan jangan bertengkar.

Perhatikan pula sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadis berikut:

Tidak boleh membuat mudarat dan tidak boleh memudaratkan.[7] Sekali lagi perkataan Laa tidak bermaksud peniadaan kerana unsur mudarat memang sentiasa wujud. Yang dimaksudkan adalah larangan iaitu jangan melakukan sesuatu yang memudaratkan diri sendiri dan jangan pula melakukan sesuatu yang memudaratkan orang lain.

Kembali kepada hadis asal di atas, yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah tidak boleh membiarkan penyakit menjangkit, membiak, menjalar, menular dan merebak.[8] Hadis tersebut tidak bererti bahawa penyakit berjangkit tidak wujud. Bukankah di penghujung hadis sedia terdapat petunjuk bahawa wujudnya penyakit yang berjangkit, iaitu apabila Rasulullah menyuruh kita menjauhkan diri dari penyakit Kusta ? Perhatikan juga hadis-hadis di bawah ini sebagai penyokong kepada keterangan penulis di atas, bahawa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah adalah jangan membiarkan sesuatu penyakit itu menjangkit, merebak dan menular.

Janganlah orang yang sakit mengunjungi orang yang sihat.[9]

Apabila kamu mendengar satu wabak penyakit berjangkit di sesuatu daerah maka janganlah memasuki ia (daerah tersebut). Dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak penyakit berjangkit maka janganlah kamu keluar darinya.[10]

Ketiga: Kezaliman hukuman Rasulullah.

Dakwaan kezaliman ini merujuk kepada keterangan Anas bin Malik radiallahu-anhu dalam hadis berikut:

Bahawa datang beberapa orang yang sakit (kepada Rasulullah) dan mereka berkata: Wahai Rasulullah, berilah kami tempat berlindung dan makanan. Setelah itu mereka menjadi sihat semula, lalu mereka kata pula: Cuaca Madinah kurang sesuai untuk kami.

Maka Rasulullah menghantar al-Harra[11] bersama beberapa unta betina kepunyaan baginda dan berkata: Minumlah susu (dan air kencingnya).[12] Kemudian setelah menjadi sihat semula, mereka membunuh pengembala Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan menghalau unta-unta tersebut.

Lalu Rasulullah mengantar beberapa orang untuk mengejar mereka dan setelah berjaya ditangkap, baginda memerintahkan agar tangan dan kaki mereka dipotong dan mata mereka dicucuk dengan besi panas.

Aku (Anas bin Malik) melihat mereka menjilat tanah dengan lidah (kerana dahaga) sehinggalah mereka mati.[13]

Sekali imbas kelihatan hukuman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di atas adalah kejam lagi zalim. Akan tetapi bertenanglah kerana hukum tersebut sebenarnya adalah Qishash atau timbal balik dari apa yang mereka lakukan ke atas unta-unta dan pengembala Rasulullah yang bernama al-Harra. A’isyah radiallahu-anha menerangkan bahawa unta-unta tersebut telah diseksa terlebih dahulu sebelum dihalau.[14] Mereka kemudian memotong tangan dan kaki pengembala Rasulullah[15] dan menyucuk matanya dengan besi panas.[16] Setelah itu semua mereka murtad dari Islam dan mula memerangi umat Islam lainnya.[17]

Maka atas kekejaman mereka inilah Rasulullah sallallahu-alahii-wasallam menghukum mereka dan hukuman yang dijatuhkan adalah serupa dengan tindakan mereka sendiri.[18]

Demikian penjelasan bagi tiga hadis yang dikatakan aneh dan pelik, yang pertama dijelaskan dari sudut sejarah kelahirannya (asbabul wurud), yang kedua dari sudut kaedah bahasa Arab dan yang ketiga dari sudut himpunan dan kajian lain-lain riwayat yang rapat berkaitan. Tiga kaedah ini jugalah yang harus ditempohi oleh sesiapa yang ingin mencari penjelasan bagi mana-mana hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang pada awalnya kelihatan aneh dan pelik. Janganlah terburu-buru membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis seperti ini adalah semata-mata rekaan dan dustaan orang-orang selepas kewafatan Rasulullah kerana ini tidak lain hanya membuktikan kejahilan diri sendiri sahaja.

 

Hujah 19: Ada hadis yang mengkhabarkan berita ghaib dan ini sudah tentu adalah satu dusta kerana tiada yang mengetahui hal ghaib kecuali Allah.

 



[1]               Dalam memberikan penjelasan-penjelasan bagi hadis-hadis ini, penulis sedia ketahui terdapat beberapa pendapat dan tafsiran bagi setiapnya. Di sini penulis hanya kemukakan satu pendapat yang mengikut ukuran penulis adalah paling baik. Ini tidaklah bermaksud penulis menolak pendapat-pendapat serta tafsiran yang lain.

[2]               Sahih: Hadis dari Muadz bin Jabal radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Bazzar, ath-Thabarani (Mu’jam al-Kabir), al-Baihaqi (Syu’aib al-Iman) dan al-Hakim, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 8965 dan dipersetujui sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii-us-Sagheir – no: 6479.  Lihat juga Sunan Abu Daud – no: 2987  (Kitab Jenazah, Bab Talqin) dan an-Nawawi – Kitab al-Adzkar, ms 373.

[3]               -----: Dikeluarkan oleh Muhammad bin Isa at-Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, jld 4, ms 449 tanpa isnad. Saya berkata isnad atsar ini telah diisyaratkan kedaifan atau ketidak pastiannya memandangkan at-Tirmizi telah mendahuluinya dengan kata-kata: Dan sesungguhnya diriwayatkan dari az-Zuhri.... Qadi Iyadh dalam Ikmal al-Mu’lim bi-Fawa’idi Muslim (juga dikenali sebagai Syarah Sahih Muslim lil Qadi Iyadh), jld 1, ms 254 berkata bahawa ini adalah juga merupakan pendapat majoriti generasi salaf (yakni mereka yang hidup sebelum tahun 300H), di antaranya ialah Sa’id ibnu Musayab (94H), namun Qadi Iyadh juga tidak mengemukakan isnadnya. Oleh itu status riwayat ini penulis biarkan terbuka sehingga dapat ditemui isnadnya. Perbandingkan juga dengan Syarah Sahih Muslim an-Nawawi, jld 1, ms 63 dan seterusnya.

[4]               at-Tirmizi – Sunan Tirmizi, jld 4, ms 449.

[5]               Hama berasal dari satu adat Jahiliyah yang mempercayai ruh seseorang yang mati dibunuh akan keluar dari kuburnya dalam bentuk jelmaan manusia atau burung dan ia akan mencela tuannya yang mati terbunuh itu. Demikian terang Mahmoud Matraji dalam Sahih Muslim yang beliau terjemahkan, jld 3B, ms 465.

[6]               Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari sahaja dengan lafaz di atas. Lihat Sahih Bukhari – no: 5707. (Kitab at-Tibb, Bab (Penyakit) Kusta). Hadis seumpama juga diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Umar dan Anas bin Malik radiallahu-anhuma dan dikeluarkan oleh Malik, Ahmad, Bukhari, Muslim dan ramai lagi.

[7]               Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ahmad, ad-Daruquthni, Ibnu Majah dan lain-lain, dinukil dan dinilai hasan oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 9899 manakala dinilai sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Irwa’-ul-Ghaleel – no: 896.

[8]                 Abdullah bin Ali an-Najdy al-Qushaimy – Memahami Hadits-hadits Musykil, ms 101-107. Dalam bab ini terdapat beberapa pendapat lain sebagaimana yang telah dihimpunkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath-ul-Bari, jld 11, ms 407-411. Lihat juga al-‘Aini: Umdat al-Qari, jld 14, ms 749-752,as-Suyuti: at-Tausih, jld 8, ms 3552-3554, al-Qari – Mirqatul Mafatih Syarah Misykat al-Masabih, jld 8, ms 341 dan seterusnya dan kitab-kitab syarah yang lain.

[9]               Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Bukhari dan Abu Daud, lihat Sahih Bukhari – no: 5771 & 5774. (Kitab at-Tibb, Bab Tidak boleh menjangkitkan penyakit).

[10]             Sahih: Hadis dari Abdurrahman bin ‘Auf dan Sa’ad radiallahu-anhuma, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Uwanah, Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari – no: 5728 & 5729. (Kitab at-Tibb, Bab Apa yang diperkatakan tentang wabak penyakit).

[11]             Beliau juga dikenali sebagai Yasar an-Nubi yang berasal dari selatan Mesir. Beliau adalah adalah salah seorang budak kerja Rsulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang mengembala unta-unta tersebut. Demikian terang Jala Abualrub dalam kitab Za’ad-ul-Ma’ad yang diterjemahnya, jld 1, ms 179.

[12]             Dalam beberapa riwayat lain disebut dengan tambahan “dan air kencingnya”. Lihat Sahih Bukhari – no: 5686. (Kitab at-Tibb, Bab Mengubati dengan air kencing unta).

[13]             Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza-beza tetapi dengan maksud yang sama. Lihat Sahih Bukhari – no: 5685. (Kitab at-Tibb, Bab Mengubati dengan susu unta).

[14]             Sahih: Dikeluarkan oleh an-Nasai dan dinilai sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Sunan an-Nasai – no: 4048. (Kitab tentang darah yang diharamkan, Bab beberapa perbezaan Thalhah bin Musharif.......).

[15]             ----- : Disebut oleh Ibnu Ishaq dan dinukil oleh Ibnu Qayyim dalam Hasyiyah Ibnu Qayyim Syarah Sunan Abu Daud,  jld 12, ms 18.

[16]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dan an-Nasai, lihat Sahih Muslim – no: 1671-7. (Kitab Perjanjian, Hukuman Pembunuh, al-Qishash dan Diat, Bab Hukum pembunah dan orang murtad).

[17]             Sahih: Dikeluarkan oleh an-Nasai dari Anas bin Malik dan dinilai sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Sunan an-Nasai – no: 4042. (Kitab tentang darah yang diharamkan, Bab Beberapa perbezaan nukilan khabar Humaid dari Anas).

[18]             Lebih lanjut lihat Ibnu Hajar al-Asqalani – Fath-ul-Bari, jld 11, ms 286-288; al-Aini – Umdat al-Qari, jld 14, ms 674-676 dan lain-lain kitab syarah.

 

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian