al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Percanggahan : 1 2 3 4 5 6 7

 
 

Percanggahan Kedua:

Azan merupakan sesuatu yang dipelopori oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang tidak berasal dari al-Qur’an. Setiap hari umat Islam melaungkan azan bagi menandakan masuknya waktu solat dan kalimah azan tersebut mengandungi seruan bahawa Muhammad adalah seorang Rasul Allah. Tindakan ini jelas bertentangan dengan ayat 18 surah al-Jinn, di mana umat Islam telah dilarang daripada menyeru sesuatu selain Allah dalam masjid-masjid. Firman Allah:

Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru sesiapapun bersama-sama Allah. [al-Jinn 72:18]

Penjelasan:

Azan merupakan sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang telah disyari’atkan selepas umat Islam berhijrah ke Kota Madinah. Sebelum berhijrah ke Kota Madinah, ibadah solat hanyalah sunat hukumnya dan ia dilaksanakan secara rambang tanpa adanya pembahagian waktu. Hanya selepas hijrah ibadah solat difardhukan lima kali sehari dan bagi menandakan masuknya waktu solat, Rasulullah mensyari’atkan azan sepertimana yang kita amalkan hari ini. Azan dan susunan kalimah-kalimahnya memang tidak berasal dari al-Qur’an tetapi azan adalah satu amalan yang diiktiraf dan diakui oleh al-Qur’an. Antara dalilnya adalah dua ayat berikut:

Pertama:

Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan solat, mereka menjadikan solat itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. [al-Maidah 5:58]

Perhatikan bahawa dalam ayat ini al-Qur’an mengungkap sikap Ahli Kitab yang apabila diseru kepada mendirikan solat, mereka menjadikannya sebagai satu bahan ejekan dan permainan. Ayat … menyeru untuk mengerjakan solat … merujuk kepada azan[1] yang berasal dari sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Al-Qur’an tidak memberi sebarang ulasan terhadap azan tersebut tetapi sebaliknya mengkritik orang yang meremehkannya. Ini menandakan pengiktirafan dan pengakuan al-Qur’an terhadap azan.

Kedua:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan (azan) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). [al-Jumu’ah 62:09]

Melalui ayat ini Allah Subhanahu waTa’ala memerintahkan umat Islam supaya segera pergi ke masjid untuk mengerjakan solat Jumaat apabila “diseru”. Yang dimaksudkan dengan “diseru” adalah azan[2] yang berasal dari sunnah Rasulullah. Sungguhpun lafaz ayat yang terkandung dalam azan itu tidak diperincikan oleh al-Qur’an namun ianya menjadi peringatan kepada umat Islam untuk segera ke masjid dan menangguhkan urusan dunia dan perniagaan. Ini menunjukkan pengiktirafan dan pengakuan al-Qur’an terhadap azan.

Azan yang berasal dari sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidaklah bertentangan dengan ayat ke 18 surah al-Jinn di atas kerana ayat tersebut sebenarnya merujuk kepada ibadah yang dipraktikkan dalam tempat-tempat peribadatan. Perkataan al-Masajid (al-masajid) adalah jamak (plural) dari perkataan masjid. Kalimah alif-lam di awalnya menunjukkan erti segala tempat-tempat peribadatan. Sepertimana keterangan Fakh-ur-Razi, al-Masajid merujuk kepada semua tempat dan binaan yang di dalamnya manusia beribadah (bersolat) dan mengingati Allah. Termasuk dalam definasi al-Masajid ini adalah biara-biara, gereja-gereja dan masjid-masjid orang Islam. Golongan Yahudi dan Nasrani, apabila mereka mendirikan solat dalam gereja dan biara, mereka mencampur adukkan beberapa amalan syirik. Maka Allah memerintahkan orang Islam agar beribadah (bersolat) dengan penuh keikhlasan dengan mentauhidkan Allah sahaja.[3]

Perkataan (tad`u) bukanlah bererti menyeru atau azan sepertimana lazimnya, tetapi ia bermaksud beribadah, iaitu janganlah kamu beribadah kepada sesiapapun bersama-sama Allah atau di samping Allah. Beribadahlah kepada Allah dengan ikhlas kepadaNya sahaja dengan mentauhidkanNya sahaja.[4] Perlu dibezakan bahawa ajaran Islam tidak sekali-kali menyuruh umatnya beribadah kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Jika Golongan Anti Hadis ingin mengekalkan perkataan (tad`u) sebagai menyeru sebagaimana ertinya yang lazim, ia tetap tidak tepat untuk dijadikan hujah ke atas azan, kerana perbuatan menyeru jauh berbeza dari perbuatan bersaksi. Menyeru adalah meminta, memanggil dan berdoa manakala bersaksi adalah berikrar, mengesah, membenar dan membuktikan; sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini (lihat penjelasan bagi percanggahan pertama).

 

Percanggahan 3: Rukun Iman 6 atau 5 perkara ?

 



[1]               al-Alusi – Ruh ul-Ma’ani, jld 3, ms 339 dan lain-lain.

[2]               al-Alusi – Ruh ul-Ma’ani, jld 14, ms 293 dan lain-lain.

[3]               Fakh-ur-Razi dalam Tafsir al-Kabir, jld 10, ms 673. Lihat juga Abu Hafs Umar bin Ali – al-Bab fi Ulum al-Kitab, jld 19, ms 431-434 dan Tafsir Ibnu Katsir, jld 4, ms 400.

[4]               Selain rujukan di atas, lihat al-Alusi – Ruh al-Ma’ani, jld 15, ms 102; Ibnu Jarir at-Tabari – Jamii al-Bayan, jld 14, bhg 2, ms 144; al-Mawardi – an-Nukatu wa al-‘Uyun, jld 6, ms 119; al-Qurtubi – Jamii al-Ahkam, jld 10, ms 18; as-Suyuti – Tafsir Jalalain, jld 4, ms 2564; al-Qasimi – Mahasin at-Ta’wil, jld 9, ms 334; al-Maraghi – jld 30, ms 177 dan lain-lain.

 

          

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian