KATA PENGHANTAR

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

Alhamdulillah, dengan izin-Nya dapat kita bertemu kembali dalam buku Siri Ketiga dalam rangka menjelaskan Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi’ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah. Buku Siri Ketiga ini akan membahas hadis-hadis yang masyhur dijadikan hujah oleh Syi‘ah al-Rafidhah (seterusnya diringkaskan sebagai Syi‘ah sahaja) untuk mendakwa bahawa khalifah yang layak selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh. Ini diikuti dengan jawapannya oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah (seterusnya diringkaskan sebagai Ahl al-Sunnah sahaja) yang mematahkan hujah-hujah Syi’ah tersebut.

Memang, sudah lebih setahun jaraknya antara buku Siri Ketiga ini dengan buku Siri Kedua. Terdapat dua sebab utama mengapa saya sengaja menangguhkan penerbitan buku Siri Ketiga ini:

Pertama:

Memberi tempoh kepada para pembaca sekalian untuk memberi apa-apa maklum balas daripada buku Siri Pertama dan Siri Kedua. Ini adalah penting supaya maklum balas tersebut dapat saya terapkan dalam buku Siri Ketiga ini.

Alhamdulillah saya menerima maklum balas yang baik daripada para pembaca sekalian daripada buku Siri Pertama dan Siri Kedua. Maklum balas yang saya maksudkan bukan dari sudut jumlah jualan tetapi dari sudut penilaian para pembaca yang menganalisa dan membandingkan antara hujah-hujah Syi’ah dan jawapannya oleh Ahl al-Sunnah.

Kedua:

Memberi tumpuan kepada menjawab hujah-hujah aliran Islam Liberal yang nampaknya semakin hangat di Malaysia. Setakat ini jawapan yang saya berikan ialah dalam bentuk risalah atau artikel yang diterbitkan dalam majalah-majalah agama dan secara terbuka di beberapa forum perbincangan di alam maya (internet). Alhamdulillah risalah-risalah tersebut kemudian saya himpunkan dan diterbitkan dalam bentuk buku dengan judul Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Jahabersa, Johor Bahru). Sehingga kini telah diterbitkan buku tersebut dalam tiga siri.

Secara umum boleh dikatakan terdapat dua arus yang sedang kuat melanggar umat Islam masa kini. Arus Pertama datang daripada aliran Syi’ah yang bijak mempergunakan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah untuk memberi pengaruh palsu kepada umat Islam, kononnya Islam yang sebenar berada pada pihak mereka. Arus ini bergerak melalui penerbitan buku-buku, laman-laman web di alam maya dan dakwah secara tersembunyi oleh wakil-wakil mereka. Arus ini paling deras bergerak di pusat-pusat pengajian tinggi.

Arus Kedua datang daripada aliran Islam Liberal yang bijak mengolah dalil-dalil akal untuk memberi solekan palsu kepada umat Islam, kononnya Islam yang sebenar adalah satu ruang vakum yang boleh diisi dengan apa sahaja yang dikehendaki oleh akal dan nafsu seseorang. Arus ini bergerak lancar melalui beberapa badan bebas (N.G.O.) yang menggunakan nama Islam dan memiliki sokongan kuat daripada akhbar-akhbar tempatan. Ramai yang terpengaruh dengan arus ini, khasnya mereka yang kononnya berpemikiran moden dan berpendidikan Barat.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi kemudahan dan kekuatan kepada saya dan umat Islam yang lainnya untuk menahan, menjawab dan mengubah haluan kedua-dua arus ini.

 

Hukum orang yang bermazhab Syi‘ah.

Flowchart: Document: Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, Mazhab Syi‘ah al-Rafidhah adalah mazhab yang sesat. Akan tetapi bukanlah menjadi manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah untuk menghukum setiap orang yang bermazhab Syi‘ah al-Rafidhah sebagai sesat.
Di antara maklum balas yang paling kerap saya perolehi daripada para pembaca yang budiman sekalian adalah hukum orang yang bermazhab Syi’ah. Mereka bertanya, sama ada bagi pihak diri mereka sendiri atau bagi pasangan hidup, ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan, apakah hukum bagi orang yang pada asalnya bermazhab Ahl al-Sunnah lalu kemudian beralih ke Mazhab Syi’ah setelah terpengaruh dengan dakwah mereka?

Memandangkan ini adalah persoalan yang masyhur di kalangan para pembaca, saya akan mengambil sedikit ruang dalam Kata Pengantar ini untuk menjelaskan jawapannya.

Di sisi Ahl al-Sunnah, Mazhab Syi‘ah al-Rafidhah adalah mazhab yang sesat. Akan tetapi bukanlah menjadi manhaj Ahl al-Sunnah untuk menghukum setiap orang yang bermazhab Syi‘ah sebagai sesat. Ini kerana Ahl al-Sunnah membezakan antara sesuatu mazhab dan orang yang mengikut mazhab tersebut. Sesuatu mazhab mungkin dinilai sesat berdasarkan doktrin-doktrinnya, akan tetapi orang yang mengikuti mazhab tersebut tidak semestinya sesat selagi mana belum ditegakkan hujah kepada mereka, diluruskan apa-apa kekeliruan yang dialami dan diperhatikan sama ada mereka melakukannya dengan sengaja atau terpaksa.

Flowchart: Document: “Fardhu Ain” adalah satu bentuk pengajian Islam yang memiliki banyak kelemahan dan kemudaratan. Disebab-kan pengajian seperti inilah ramai umat Islam tidak menghayati agama mereka, malah memilih untuk hidup bebas, hidup dalam agama lain (murtad) atau beralih ke mazhab lain seperti Islam Liberal dan Syi’ah.
Merujuk kepada orang-orang yang terpengaruh dengan Mazhab Syi‘ah, manhaj Ahl al-Sunnah dalam ini ialah menangguhkan apa-apa hukum kerana mereka asalnya adalah orang-orang yang tidak mengetahui sehingga akhirnya terkeliru.

Ini kerana umat Islam di Malaysia umumnya tidak didedahkan kepada ilmu-ilmu Islam secara mendalam, mahupun apa yang membentuk dasar-dasarnya. Mereka tidak kenal Islam kecuali melalui ilmu “Fardhu Ain”, iaitu satu bentuk pengajian Islam yang berbentuk menghafal beberapa poin demi lulus peperiksaan atau temuduga perkahwinan. Ini adalah satu bentuk pengajian Islam yang memiliki banyak kelemahan dan kemudaratan. Disebabkan pengajian seperti inilah ramai umat Islam tidak menghayati agama mereka, malah memilih untuk hidup bebas, hidup dalam agama lain (murtad) atau beralih ke mazhab lain seperti Islam Liberal dan Syi’ah.

Merujuk kepada umat Islam yang terpengaruh dengan dakwah Syi’ah, ia adalah sesuatu yang mudah terjadi kerana dakwah Syi’ah itu sendiri pada zahirnya kelihatan seolah-olah kuat, kemas dan ilmiah berlandaskan dalil-dalil daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan kisah-kisah sejarah. Dakwah Syi’ah yang bersifat sedemikian dengan mudah dapat mempengaruhi umat Islam tanah air yang sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada pengajian Islam yang bersifat hujah dan ilmiah, tidak pernah mengenali kaedah-kaedah tafsir, kaedah-kaedah menilai darjat kekuatan hadis dan manhaj menganalisa kisah-kisah sejarah. Dalam suasana kekosongan ilmu ini, sebahagian umat Islam mudah terpengaruh dengan sesuatu yang mereka temui yang disangkakan dapat memenuhi kekosongan tersebut. Antara yang mereka temui ialah Mazhab Syi’ah, lalu mereka memenuhi diri mereka dengan mazhab tersebut. Tanpa ilmu yang cukup untuk menilai benar atau salah Mazhab Syi’ah, mereka terus menerimanya dan memenuhi kokosongan yang mereka hadapi sebelum ini.

Oleh itu manhaj Ahl al-Sunnah dalam masalah seperti ini adalah menangguhkan hukum. Penangguhan ini berlaku sehingga ditegakkan kepada mereka hujah yang benar, diluruskan apa-apa kekeliruan yang mereka hadapi dan diperhatikan sama ada mereka melakukannya dengan sengaja atau terpaksa. Dalil Ahl al-Sunnah dalam masalah ini adalah seperti berikut:

Pertama:

Ditegakkan hujah untuk menerangkan apa yang benar dan apa yang salah, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).[al-Isra’ 17:15]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa seseorang itu tidak akan dihukum sehinggalah diutus seorang Rasul kepadanya yang menerangkan apa yang benar dan apa yang salah. Setelah kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tugas ini dipegang oleh para ilmuan yang mewarisi tugas Rasulullah dalam menerangkan apa yang benar dan salah kepada orang ramai.

Selagi mana seseorang individu atau kaum tidak sampai kepadanya hujah yang jelas yang menerangkan apa yang benar dan apa yang salah, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menjatuhkan apa-apa hukum ke atasnya. Malah kemungkinan besar dia dimaafkan berdasarkan sifat Allah yang Maha Pemaaf lagi Maha Pengasih.

Yang dimaksudkan dengan menegakkan atau menyampaikan hujah bukanlah dengan mengatakan “Itu salah, ini benar” atau “Itu halal, ini haram” atau “Saya betul, dia sesat” tetapi adalah dengan menegakkan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah serta dijelaskan bagaimana kefahaman yang sebenar terhadap dalil-dalil tersebut.

 

Kedua:

Meluruskan apa-apa salah faham dan kekeliruan yang mungkin wujud pada diri seseorang. Hal ini penting kerana seseorang itu mungkin sebelumnya telah terpengaruh dengan hujah-hujah yang ditegakkan secara batil. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 äSerulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. [al-Nahl 16:125]

Perhatikan bahawa Allah pada mulanya menyuruh kita menyeru secara hikmah dan nasihat pengajaran yang baik. Ini sinonim dengan menegak dan menyampaikan hujah. Seterusnya Allah menyuruh kita untuk berbahas, yakni berdialog dan bertukar-tukar hujah agar dengan itu orang yang kita seru dapat menyedari di mana letaknya kesalahan hujah yang mereka pegang sebelum itu.

Flowchart: Document: Perlu diluruskan apa-apa salah faham dan kekeliruan yang mungkin wujud pada diri seseorang. Hal ini penting kerana seseorang itu mungkin sebelumnya telah terpengaruh dengan hujah-hujah yang ditegakkan secara batil.
Ketiga:

Diperhatikan sama ada orang tersebut melakukan sesuatu kesalahan atas pilihan dirinya sendiri atau atas sebab tidak sengaja dan terpaksa. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menghukum seseorang yang melakukan kesalahan dengan tidak sengaja dan terpaksa:

}Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:05]

 

Sesiapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kafir) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman. [al-Nahl 16:106]

Flowchart: Document: Penghukuman juga ditang-guhkan kerana usaha me-negakkan hujah dan me-luruskan kekeliruan adalah sesuatu yang tidak memi-liki tempoh maksima. Ma-lah adakalanya seseorang itu tetap memilih Mazhab Syi’ah disebabkan hujah yang ditegakkan kepada-nya adalah tidak jelas dan dialog yang dihadapinya lebih bersifat tengkingan demi membezakan siapa yang lebih hebat dalam perdebatan.
Apabila seseorang itu tetap secara rela memilih Mazhab Syi’ah setelah ditegakkan kepadanya hujah yang benar dan diluruskan salah faham yang dihadapinya, maka barulah dijatuhkan hukuman sesat ke atasnya. Akan tetapi penghukuman ini ditangguhkan lagi kerana usaha menegakkan hujah dan meluruskan kekeliruan adalah sesuatu yang tidak memiliki tempoh minima dan maksima. Malah adakalanya seseorang itu tetap memilih Mazhab Syi’ah disebabkan hujah yang ditegakkan kepadanya adalah tidak jelas dan dialog yang dihadapinya bukan bersifat meluruskan kekeliruan tetapi bersifat tengkingan dengan bahasa yang kasar demi membezakan siapa yang lebih hebat dalam perdebatan.

Oleh itu nasihat saya kepada para pembaca yang bertanya ialah, jauhilah diri dari sikap ingin menghukum orang yang terpengaruh dengan dakwah Syi’ah. Sebaliknya berilah tumpuan kepada menegakkan hujah kepada mereka dan berdialog demi meluruskan kekeliruan mereka. Hendaklah proses penegakkan hujah dan meluruskan kekeliruan dilakukan secara bertahap-tahap dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Lakukanlah ia untuk membetulkan mereka, bukan untuk menyalahkan mereka. Jangan tergesa-gesa mengharapkan perubahan serta merta kerana merupakan satu kelaziman bagi manusia untuk merasa berat mengakui salah terhadap apa yang pada awalnya disangkakan benar.

Demikianlah penjelasan ringkas saya berkenaan apakah hukum orang-orang yang terpengaruh dengan Mazhab Syi‘ah.

 

Manhaj Perbahasan

Manhaj perbahasan dalam buku Siri Ketiga ini tidak jauh berbeza daripada buku Siri Kedua. Ringkasnya buku ini membahas dan menjawab tujuh hadis yang paling masyhur di sisi Syi‘ah yang mereka jadikan dalil dan hujah untuk mendakwa hak kekhalifahan ke atas ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu 'anhum. Perbahasan sengaja dihadkan kepada tujuh buah hadis kerana hadis-hadis tersebut adalah apa yang membentuk “asas” kepada doktrin mereka. Dengan terjawabnya tujuh hadis ini, ditambah dengan enam ayat al-Qur’an yang dijawab dalam buku Siri Kedua, maka runtuhlah doktrin Syi‘ah secara keseluruhannya.

Kepada para pembaca yang baru kepada Siri Ketiga ini, disyorkan agar memulakan kajian daripada buku Siri Pertama dan Siri Kedua demi menjamin kefahaman yang mantap.

Sedikit perbezaan dalam buku Siri Ketiga ini adalah saya tidak mengemukakan senarai rujukan di akhir buku sebagaimana buku Siri Pertama dan Siri Kedua. Ini kerana dirasakan memadai dengan rujukan-rujukan tersebut disebut sekali ketika mengemukakannya dalam perbahasan buku ini.

 

Penghargaan

Ribuan terima kasih diucapkan kepada para pembaca yang sekian lama menunggu penerbitan buku Siri Ketiga ini. Diharapkan perbahasan dalam buku ini menepati apa yang diharap-harapkan.

Pada waktu yang sama, terima kasih juga diucapkan kepada isteri dan rakan-rakan saya yang telah membantu menjayakan buku ini. Semoga Allah memberi mereka ganjaran yang lebih baik di dunia dan akhirat.

Dialu-alukan apa-apa pembetulan dan pembaikan daripada para pembaca sekalian. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel di alamat hafizfirdaus@yahoo.com, SMS di nombor 019-3848467 atau surat-menyurat yang dialamatkan kepada penerbit.

Wassalamu‘alaikum waRahmatullah waBarakatuh.

Hafiz Firdaus bin Abdullah.

March – July 2005

 

Kata Pengantar

 

Pertama:

Hadis al-Ghadir

 

Kedua:

Hadis al-Tsaqalain

 

Ketiga:

Hadis 12 Khalifah

 

Keempat:

Hadis al-Manzilah

 

Kelima:

Hadis al-Safinah

 

Keenam:

Hadis al-Dar

 

Ketujuh:

Hadis Madinah al-’Ilm

 

Kata Penutup

 

www.al-firdaus.com