Sebuah
hujah yang sangat masyhur di sisi Syi‘ah ialah hadis:
Perumpamaan Ahl al-Baitku adalah seperti bahtera Nabi Nuh,
sesiapa yang menaikinya akan selamat manakala sesiapa yang
tertinggal daripadanya akan tenggelam.
Syi‘ah
menjadikan hadis ini sebagai hujah seperti berikut:
HUJAH
SYI‘AH
Muhammad
Mari’i al-Amin menulis:
Wahai pembaca yang budiman, sesungguhnya hadith yang mulia ini
datangnya daripada Nabi SAWAW. Beliau telah menutup jalan-jalan
yang banyak. Justeru itu beliau tidak meninggalkan selain
daripada jalan Ahlu l-Bait yang terang seperti matahari di siang
hari. Beliau telah memimpin mereka ke jalan yang benar dengan
hujah yang terang yang akan membawa mereka ke syurga.
Dan perumpamaan Ahlu l-Baitnya dengan bahtera Nuh adalah jelas
menunjukkan bahawa mengikuti mereka, mematuhi kata-kata dan
perbuatan-perbuatan mereka adalah wajib. Dan untuk mendapat
kejayaan adalah dengan menaiki bahtera, nescaya mereka berjaya
daripada tenggelam kerana bahtera itu terselamat daripada
keaiban. Sekiranya terdapat kecacatan, nescaya binasalah orang
yang berada di dalamnya tanpa syak lagi.
JAWAPAN AHL AL-SUNNAH
DARJAT
HADIS AL-SAFINAH.
Ini adalah
sebuah hadis yang dha‘if. Ia memang diriwayatkan dalam banyak
kitab Ahl al-Sunnah, namun yang diambil kira dalam
menentukan sahih atau tidak sesebuah hadis ialah kedudukan sanad
dan matannya, bukan jumlah rujukan. Diulangi:
Oleh itu
sekalipun Hadis al-Safinah kelihatan masyhur dicatit
dalam banyak rujukan, dari sudut sanad ia hanya berpangkal
kepada lima orang sahabat: ‘Abd Allah ibn ‘Abbas, ‘Abd Allah bin
al-Zubair, Abu Zar, Abu Sa‘id al-Khudri dan Anas bin Malik
radhiallahu 'anhum. Setiap dari jalan periwayatan yang
berpangkal kepada para sahabat di atas memiliki kelemahan di
dalamnya. Kelemahan-kelemahan ini pula adalah berat sehingga
jalan-jalan periwayatan tersebut tidak boleh digunakan untuk
saling menguat antara satu sama lain.
Penulis tidak
akan menyenaraikan jalan-jalan periwayatan bersama penjelasan
tentang kelemahannya kerana ia akan mengambil ruang yang amat
besar. Para pembaca yang berminat boleh merujuk kepada
Silsilah al-Ahadits al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah oleh
al-Albani, hadis no: 4503.
Dalam rangka
cuba mensahihkan Hadis al-Safinah, Muhammad Mar’i al-Amin
telah melakukan dua pendustaan:
Pendustaan
pertama:
Muhammad
Mar’i al-Amin berkata:
Para ulama Islam telah bersepakat tentang kesahihan hadith ini.
Ianya telah diriwayatkan oleh para ulama Sunnah dan Syi'ah di
mana lebih seratus daripada para penghafal, ahli Hadith, Sirah,
Sejarah telah mencatatnya di dalam buku-buku mereka, mengakui
kepentingannya kerana kepatuhan kepada kebesaran Allah SWT.
Mereka menerimanya dengan senang hati.
Kenyataan di
atas adalah dusta kerana para ulama’ Islam tidak pernah
bersepakat di atas kesahihan Hadis al-Safinah. Tidak
sekadar itu, sejauh kajian penulis, hanya seorang ulama’ Islam
yang mensahihkan Hadis al-Safinah – iaitu al-Hakim
al-Naisaburi di dalam kitabnya al-Mustadrak. Sila rujuk
hadis no: 3312 (Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah Hud)
dan hadis no: 4720 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib
ahli keluarga Rasulullah). al-Hakim al-Naisaburi
rahimahullah dikenali bersikap mudah-mudahan (tasahul)
dalam mensahihkan sesuatu hadis sehingga pensahihannya tidak
diterima oleh para ahli hadis selepasnya.
Pendustaan
kedua:
Muhammad
Mar’i al-Amin berkata:
Di dalam riwayat Muslim: “Dan siapa yang membelakanginya akan
tenggelam. Sesungguhnya umpama Ahlul Baitku pada kalian
sepertilah pintu pengampunan bagi Bani Isra'il. Siapa yang
memasukinya akan diampun.” Dan dalam riwayat yang lain:
“Dosa-dosanya akan diampun.”
Beliau juga
berkata:
Walaubagaimanapun
aku kemukakan sebahagian daripada nama-nama ulama Ahlul -Sunnah
yang meriwayatkan hadith al-Safinah di dalam buku-buku mereka:
Muslim di dalam Sahihnya, Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya……
Kedua-dua
kenyataan di atas adalah dusta kerana Hadis al-Safinah
tidak wujud di dalam Shahih Muslim dan Musnad Ahmad
bin Hanbal.
MAKSUD
HADIS AL-SAFINAH.
Hadis
al-Safinah
bukan sahaja lemah dari sudut sanad tetapi tertolak daripada
sudut matan. Sebabnya:
1.
Faktor penentu selamat atau tidak kaum Nabi Nuh
‘alahissalam bukanlah menaiki bahtera atau tertinggal
daripadanya. Namun yang menjadi penentu ialah beriman atau tidak
kepada risalah tauhid yang disampaikan oleh Nabi Nuh. Maka
demikian juga bagi umat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi
wasallam, faktor penentu selamat atau tidak bukanlah
Ahl al-Bait Rasulullah tetapi beriman atau tidak kepada
risalah Islam yang disampaikan oleh baginda.
2.
Faktor penentu selamat atau tidak para penumpang bahtera
Nabi Nuh ‘alahissalam bukanlah kuat atau lemah binaannya.
Namun yang menjadi penentu ialah doa para penumpangnya serta
pemeliharaan Allah ke atas mereka. Maka demikian juga bagi umat
Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, faktor penentu
selamat atau tidak bukanlah membai‘ah Ahl al-Bait
Rasulullah menjadi khalifah tetapi menjadikan Allah sumber utama
keselamatan.
Dua faktor di
atas akan dapat difahami dengan lebih baik apabila kita
menghalusi ayat-ayat al-Qur’an tentang Nabi Nuh ‘alahissalam
dan kaumnya:
Sebab
Pertama:
Faktor
penentu selamat atau tidak kaum Nabi Nuh ‘alahissalam
bukanlah menaiki bahtera atau tertinggal daripadanya. Namun yang
menjadi penentu ialah beriman atau tidak kepada risalah tauhid
yang disampaikan oleh Nabi Nuh. Firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala tentang risalah tauhid yang disampaikan oleh Nabi
Nuh:
Sesungguhnya
Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah
dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya)
tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku
bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat).”
[al-A’raaf
7:59]
Kemudian
Allah membezakan antara kaumnya yang selamat dan tidak selamat,
iaitu mereka yang beriman kepada risalah tauhid yang disampaikan
oleh Nabi Nuh dan mereka yang mendustakannya:
Mereka
terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang
yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum
yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran).
[al-A’raaf 7:64]
Maka demikian
juga bagi umat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam,
faktor penentu selamat atau tidak bukanlah Ahl al-Bait
Rasulullah tetapi beriman atau tidak kepada risalah Islam
yang disampaikan oleh baginda. Ini kerana mereka (Ahl
al-Bait) juga terikat kepada mentaati risalah Islam
yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Dalam sebuah
hadis yang dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya
– hadis no: 204 (Kitab al-Iman, Bab berkenaan firman Allah:
“Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang dekat”),
apabila turunnya ayat:
Dan
berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang
dekat.
[al-Syu‘ara’
26:214],
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
menyeru orang-orang Quraish dan memberi mereka peringatan yang
bersifat umum. Kemudian baginda menyeru secara khusus dengan
bersabda:
Wahai
Bani Ka‘b bin Luay! Peliharalah diri kalian daripada api neraka.
Wahai Bani Marrah bin Ka’b! Peliharalah diri kalian daripada api
neraka. Wahai Bani ‘Abd Syams! Peliharalah diri kalian daripada
api neraka.
Wahai
Bani ‘Abd Manaf! Peliharalah diri kalian daripada api neraka.
Wahai Bani Hasyim! Peliharalah diri kalian daripada api neraka.
Wahai Bani ‘Abd al-Muthalib! Peliharalah diri kalian daripada
api neraka. Wahai Fathimah! Peliharalah diri engkau daripada api
neraka.
Sesungguhnya aku tidak memiliki apa-apa kekuasaan di hadapan
Allah kecuali bahawa bagi kalian kekerabatan yang akan aku
sambung dengan kalian.
Dalam hadis
di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
menerangkan bahawa satu-satunya hubungan yang baginda miliki
dengan Ahl al-Baitnya ialah hubungan kekerabatan. Selain
itu baginda tidak memiliki apa-apa hubungan, apatah lagi
hubungan yang dapat membela mereka pada Hari Akhirat kelak
daripada api neraka. Oleh itu hendaklah setiap Ahl al-Bait
memelihara diri mereka daripada api neraka dengan mentaati
perintah larangan Allah dan Rasul-Nya. Ini selari dengan firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala seterusnya:
Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah:
“Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!”
[al-Syu‘ara’ 26:216]
Justeru
ditekankan semula bahawa keselamatan seluruh umat Islam,
termasuklah Ahl al-Bait Rasulullah, bergantung kepada
ketaatan mereka kepada risalah Islam yang diturunkan oleh Allah
dan Rasul-Nya. Ahl al-Bait tidak mampu menjamin
keselamatan umat Islam kerana mereka sendiri tidak terjamin
kedudukannya di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.
Sebab
Kedua:
Faktor
penentu selamat atau tidak para penumpang bahtera Nabi Nuh
‘alahissalam bukanlah kuat atau lemah binaannya. Namun yang
menjadi penentu ialah doa para penumpangnya serta pemeliharaan
Allah ke atas mereka. Hal ini dikhabarkan oleh Allah
Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan
(ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya
yang beriman), naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata:
“Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya.
Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."
[Hud 11:41]
Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah
berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur
kepada Allah dengan) berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah
yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim.”
Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, turunkanlah daku
di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik
Pemberi tempat."
[al-Mu’minun
23:28-29]
Maka
Kami selamatkan dia (Nabi Nuh) dan orang-orang yang bersama-sama
dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan pelbagai
makhluk).
[al-Syu‘ara’
26:119]
Maka demikian
juga bagi umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam,
faktor penentu selamat atau tidak bukanlah membai‘ah Ahl
al-Bait Rasulullah menjadi khalifah tetapi menjadikan Allah
sumber utama keselamatan. Ini kerana Ahl al-Bait sendiri
tidak mampu menjaga keselamatan diri mereka sendiri, apatah lagi
untuk menjaga keselamatan orang lain. Hanya Allah yang mampu
menjaga keselamatan umat Islam secara mutlak. Oleh itu hendaklah
Ahl al-Bait secara khusus dan umat Islam secara umum
sentiasa meletakkan sumber keselamatan mereka kepada Allah
Subhanahu wa Ta‘ala.
Hadis
al-Safinah
bukan sahaja tertolak apabila dibandingkan dengan asas-asas
ajaran Islam, ia juga tertolak apabila dibanding dengan
hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang
menerangkan keutamaan Ahl al-Bait.
Terperanjat?
Ikutilah
penjelasan seterusnya. Sebelum itu marilah kita mengkaji semula
matan Hadis al-Safinah:
Perumpamaan Ahl al-Baitku adalah seperti bahtera Nabi Nuh,
sesiapa yang menaikinya akan selamat manakala sesiapa yang
tertinggal daripadanya akan tenggelam.
Berdasarkan
matan di atas, bererti Ahl al-Bait Rasulullah ialah
bahtera manakala umat Islam yang menaikinya menjadi para
penumpangnya. Jika ini diukur berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an,
yang diberi kedudukan yang utama ialah para penumpang bahtera,
bukan bahtera itu sendiri. Keutamaan tersebut wujud dalam dua
bentuk:
Keutamaan
Pertama:
Para
penumpang bahtera dikurniakan nikmat yang melimpah-limpah oleh
Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Mereka
itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah
nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan
Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa
(dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan
Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil – dan mereka itu
adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami
pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah)
Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
[Maryam
19:58]
Keutamaan
Kedua:
Para
penumpang bahtera dijadikan khalifah:
Lalu
mereka mendustakan Nuh, maka Kami selamatkan dia dan orang-orang
yang bersamanya di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka
pemegang kekuasaan dan Kami tenggelamkan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka perhatikanlah bagaimana
kesudahan orang-orang yang diberi peringatan itu.
[Yunus
10:73]
Kedua-dua
keutamaan di atas hanya diberikan kepada para penumpang bahtera,
bukan bahtera itu sendiri. Justeru Hadis al-Safinah
sebenarnya memberi keutamaan kepada umat Islam dan bukannya
Ahl al-Bait. Tidak sekadar itu, Hadis al-Safinah juga
memberikan kedudukan “khalifah” kepada umat Islam. Pada waktu
yang sama Hadis al-Safinah menafikan apa-apa keutamaan
daripada Ahl al-Bait, malah mengumpamakan mereka sebagai
sebuah benda yang dijadikan kenderaan oleh orang lain. Pasti ini
bukanlah satu keutamaan jika dinilai berdasarkan nas-nas yang
sahih dan pemikiran yang sihat.
Sungguh
menghairankan bagaimana tokoh-tokoh Syi‘ah boleh
mengemukakan Hadis al-Safinah sebagai hujah kekhalifahan
Ahl al-Bait padahal hadis itu sendiri menafikan
kekhalifahan tersebut, malah menyerahkannya kepada umat Islam.
Semua ini tidak lain menunjukkan bahawa tokoh-tokoh Syi‘ah
sebenarnya tidak memiliki apa-apa dalil yang jitu untuk
dijadikan hujah. Lalu mereka mencari apa sahaja dalil yang dapat
mereka permainkan untuk ditakwil dan dipaksa-paksa maksudnya ke
arah mendukung mazhab mereka. Sedangkan apabila dianalisa
betul-betul dalil tersebut, ternyata ia tidak mendukung mazhab
mereka, malah bertindak meruntuhkannya.
|