Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian 1     Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9

6 Menyapu Kasut Sebagai Ganti Membasuh Kaki Dikala Berwudhu'.

Salah satu kemudahan yang diberikan oleh Islam dalam etika berwudhu' ialah dibolehkan dengan hanya menyapu di atas kasut dengan tangan atau jari basah sebagai alternatif membasuh kaki. Kemudahan ini diberikan bagi memudahkan umat melaksanakan tuntutan wudhu' dan solatnya dalam suasana kesibukan tugas harian. Memandangkan kemudahan menyapu kasut sebagai satu alternatif ini tidak dipakari ramai, penulis akan menghuraikan satu persatu dalil-dalil serta syarat-syaratnya.

Dalil-dalil yang membolehkannya.

[01]  Hamman radiallahu-anhu menerangkan: Pada satu hari Jarir membuang air kecil sesudah itu dia berwudhu' semula. Maka beliau menyapu kedua belah kasutnya. Kerana itu orang yang menyaksikan berkata: Anda melakukan sebegini ? Jarir menjawab: Ya! Saya melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam membuang air kecil kemudian berwudhu' dan menyapu di atas kasut yang menutupi kedua mata kakinya. [1]

[02] Hudzaifah radiallahu-anhu berkata: Bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berwudhu' dan beliau mengusap kedua kasutnya. [2]

[03] Mughirah bin Syu'bah radiallahu-anhu berkata: Aku bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam suatu perjalan lalu dia buang air kemudian berwudhu' dan mengusap di atas kedua kasutnya. Aku bertanya: Ya Rasulullah apakah engkau lupa ? Beliau menjawab: Bahkan engkau yang lupa; Dengan inilah aku diperintah oleh Tuhanku Azza waJalla. [3]

            Tiga dalil di atas jelas membolehkan menyapu di atas kasut sebagai alternatif membasuh dengan air dikala berwudhu'. Hadith sedemikian diterima dari 13 orang sahabat dan riwayat perlakuannya diterima dari lebih 70 orang sahabat dan para tabien. Telah berkata Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: Para Mujtahid semuanya sepakat tentang kebolehan menyapu sebelah atas kasut baik di waktu perjalanan mahupun tidak, baik kerana ada keperluan atau tidak. Malahan dibolehkan juga bagi kaum wanita yang sentiasa berada di dalam rumahnya.

Atas apakah sapuan dibolehkan ?

            Hadith-hadith yang membolehkan penyapuan sebagaimana yang dikemukakan di atas tidaklah terhad kepada kasut sahaja. Sarung kaki yang dipakai bersama selipar adalah juga mencukupi syarat sebagaimana terang hadith berikut: Mughirah bin Syu'bah radiallahu-anhu berkata: Bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam berwudhu' dengan cara menyapu kedua sarung kaki dan selipar beliau. [4]

            Sesuatu yang menutup di atas kaki itu boleh juga berupa sarung kaki sahaja yang diperbuat dari kain atau fabrik kerana telah diperolehi hadith dari Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan sejumlah sahabat yang lain bahawa mereka menyapu di atas sarung kaki tanpa berkasut.[5] Dalam hal ini Imam Ibnu Qayyim telah menerangkan bahawa: Tidak ada perbezaan antara sarung kaki atau kasut yang boleh menyebabkan berlainan hukum di antaranya. [6]   Demikian juga tiada penetepan terhadap setebal manakah sarung kaki itu kecuali hanya jikalau sarung kaki tersebut terlalu nipis sehingga menampakkan kulit kaki di sebaliknya, seperti sarung kulit atau skin socks atau pantyhose yang dipakai oleh para wanita.[7] 

            Dibolehkan juga menyapu di atas sarung kaki atau kasut yang sudah koyak atau berlubang. Ini adalah kerana kebiasaan kasut-kasut yang dipakai oleh umat Islam di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam adalah dalam keadaan berlubang atau terkoyak, sebagaimana terang  Imam Sufyan at-Thauri, seorang tokoh ilmuan generasi awal Islam: Sapulah di atasnya (tutupan kaki) selagi ia dapat berada di atas kaki kamu. Apakah kasut yang dipakai oleh kaum Muhajirin dan Ansar melainkan ianya pasti terkoyak atau berlubang.[8]

Seandainya kasut yang berlubang atau terkoyak tidak boleh digunakan bagi tujuan sapuan di atasnya dalam etika berwudhu', sudah pasti Nabi sallallahu-alaihi-wasallam akan melarangnya, selaku tugas beliau sebagai seorang pembawa dan pengajar syari'at Allah. Akan tetapi yang jelas adalah beliau tidak melarangnya, sebagaimana terang Imam Abu at-Thawr, seorang ulama genarasi tabien: Jikalau tutupan kaki yang berlubang itu tidak membolehkan sapuan di atasnya, sudah tentu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam akan melarangnya.[9]

Imam Ibnu Taimiyah mengupas persoalan ini dengan lebih luas: Kebanyakkan para fuqaha membenarkan penyapuan di atas tutupan kaki (sekalipun ianya koyak atau berlubang). Kemudahan menyapu di atas tutupan kaki adalah bersifat umum dan perkataan khuff (kasut) adalah ia termasuk jikalau kasut itu berlubang sebagaimana juga jikalau kasut itu tidak berlubang, ia tetap digelar kasut juga. Selain itu para sahabat di ketika itu kebanyakkannya adalah dalam keadaan miskin dan kerap pula bermusafir. Justeru itu pasti di kalangan mereka ada yang kasutnya yang sudah terkoyak atau berlubang dan lubang-lubang ini adalah mustahil untuk diperbaiki di kala bermusafir. Oleh itu seandainya menyapu di atas kasut yang berlubang tidak dibenarkan maka tiada sebab kebolehan kemudahan ini diberikan pada asalnya. Kebolehan menyapu di atas kasut yang berlubang adalah tetap dibenarkan selagi ia berada dalam keadaan yang dinamai sebagai kasut dan ianya masih digunakan sebagai alat untuk berjalan.[10]

            Himpunan hujah-hujah dalam bab ini merumuskan bahawa dibolehkan menyapu di atas apa sahaja alat atau bahan yang fungsinya adalah penutup kaki samada sarung kaki atau kasut, tidak kira samada ia dalam keadaan sempurna atau tidak. Asal sahaja ia adalah kasut yang dipakai dan berfungsi sebagai alat tutupan kaki, maka sapuan di atasnya adalah dibolehkan dalam etika wudhu'.

Syarat sah sapuan atas kasut / sarung kaki.

            Syarat sah sapuan di atas kasut atau sarung kaki dengan tangan / jari basah ada 4 iaitu  Pertama berada di dalam keadaan berwudhu' dikala memakai kasut atau sarung kaki tersebut. Hadith berikut menerang akan syarat ini: Mughirah ibnu Syu'bah radiallahu-anhu berkata: Pada satu malam saya pernah berjalan bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Saya menuangkan air dari benjana lalu beliaupun berwudhu'……kemudian saya menawarkan diri untuk membuka kasutnya lalu beliau berkata: Janganlah dibuka, biarkan sahaja. Saya memakainya dalam keadaan kaki saya suci. Sesudah itu beliau menyapu bahagian atas kasutnya itu. [11]   Maksud perkataan …Saya memakainya dalam keadaan kaki saya suci… bererti setelah mengambil wudhu' yang selengkapnya sebagaimana yang difahami dari satu hadith yang lain: Apabila seseorang kamu telah melakukan wudhu' dan kemudian memakai kasut……[12]

            Kedua ialah jenis kasut yang dipakai. Para ahli fiqh berbeza pendapat dalam hal ini. Ada yang mengatakan bahawa kasut yang dipakai seseorang hendaklah berjenis kulit yang berukuran menutupi kedua mata kaki (angkle) kerana zahir perkataan khuff adalah sejenis kasut dalam masyarakat Arab yang menutupi kedua mata kaki. Pendapat lain yang lebih kuat menyatakan bahawa syarat yang perlu ialah seseorang itu memakai alat tutupan kaki samada berupa kasut atau sarung kaki atau keduanya, asalkan ia menutupi bahagian kaki yang wajib dibasuh dikala berwudhu' iaitu dari anak jari hadapan hinggalah ke kedua mata kaki. Tutupan kaki tersebut tidaklah terhad kepada kasut kulit atau kasut khuff sahaja. Apa sahaja bahan yang digunakan bagi binaan kasut adalah dibolehkan, seperti Nylon, PVC, getah, fabrik dan lain-lain. Jikalah kasut seseorang itu hanya menutup sehingga tumitnya sahaja maka adalah memadai jikalau dia memakai sarung kaki yang memanjang hingga ke mata kaki. Pendapat ini didasarkan kepada perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang pernah menyapu di atas seliparnya yang dipakai bersama sarung kaki.[13]

Ketiga ialah tempoh lama pemakaian kasut atau sarung kaki tersebut. Bagi seseorang yang memakainya tetapi tetap berada dalam kawasan permastautinnya maka tempoh kebolehan menyapu adalah satu hari manakala seseorang yang berada dalam perjalanan maka tempohnya adalah tiga hari. Hadith berikut dijadikan hujah: Khuzaimah ibnu Tsabit radiallahu-anhu berkata: Sesungguhnya pernah ditanya kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tentang menyapu dua kasut. Maka Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: "Untuk musafir tiga hari tiga malam, untuk orang di kampung sehari semalam." [14]

            Keempat ialah bahagian kasut atau sarung kaki yang di sapu. Bahagian yang di sapu bagi mencukupi syarat sah ialah hanya bahagian atas tutupan kaki tersebut, bukan lain-lain. Hadith berikut dijadikan pedoman: Ali bin Abi Talib radiallahu-anhu menerangkan: Sekiranya agama itu menurut fikiran dan pendapat sudah tentu tapak kasut lebih patut di sapu daripada bahagian atasnya. (Akan tetapi) saya melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menyapu bahagian atas kasutnya. [15] Luas kawasan atas kasut yang disapu adalah terbuka kepada sebahagian atau keseluruhan. Ada yang berpendapat adalah memadai dengan jangkau tiga jari-jari tangan kerana itu adalah kebiasaan cara orang menyapu atas tutupan kaki.[16]

            Kelima ialah kemudahan menyapu atas tutupan kaki ini terbatal apabila seseorang itu telah berhadas besar atau terjatuh dalam keadaan yang memerlukan kepada Mandi Wajib.

Manakah lebih utama - Membasuh atau menyapu ?

Antara dua pilihan ini Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak memberikan sebarang pedoman kepada yang manakah yang lebih utama. Apabila sahaja Nabi sallallahu-alaihi-wasallam hendak berwudhu' dan dikala itu beliau tidak berkasut, maka beliau akan membasuh kakinya dengan air. Dan apabila beliau hendak berwudhu' dan dikala itu kakinya berkasut maka beliau menyapu sahaja di atasnya. Antara kedua-dua sunnah ini tidak disyaratkan suasana sulit atau sukar sebagai faktor penentu. Kedua-dua cara ini adalah merupakan sunnah beliau dan kedua-dua cara ini adalah yang terbaik untuk kita ikuti dan teladani.

Mengkhususkan kepada hanya satu dari dua cara ini atas pendapat salah satunya adalah lebih utama tidak mempunyai asas untuk diasaskan malah menjauhi pula dari sunnah yang seharusnya kita teladani. Perbuatan menyapu tutupan kaki adalah satu sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang bebas dilakukan bila-bila masa dalam apa jua suasana.

Kesimpulan

1.      Apabila seseorang itu berwudhu' dengan sempurna lalu kemudian terus memakai kasut dalam keadaan wudhu' maka apabila dia hendak mengulangi wudhu'nya di kemudian masa dia tidak perlu membasuh kaki dengan air tetapi mencukupi dengan menyapu di bahagian atas kasut tersebut.

2.      Syarat kasut yang dipakai adalah sesuatu yang menutupi dari jari-jari kaki sehingga ke buku lali (angkle). Jikalau kasut tersebut tidak mencapai hingga ke buku lali maka memadai dengan memakai sarung kaki yang menutupi buku lalinya itu.

3.      Kebolehan menyapu di atas kasut terhad kepada satu hari penuh bagi orang yang berada di kampung halaman atau 3 hari penuh bagi orang yang berada dalam perjalanan.


 

[1]               Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0155.

[2]               Maksud hadith dari Sunan Ibnu Majah - no: 0544.

[3]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0144.

[4]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0150 dan Sunan Tirmizi - no: 0099.

[5]               Lihat penerangan Imam an-Nawawi dalam kitabnya - Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 1/500.

[6]               Imam Ibnu Qayyim - Tadheeb as-Sunan, 1/122.

[7]               Shaikh Abdul Aziz bin Baz - Islamic Fatawa Regarding Women, pg 71.

[8]               Riwayat Imam AbdurRazzaq - al-Musannaf - no: 0753. Imam Sufyan at-Thauri meninggal dunia pada tahun 160 hijrah.

[9]               Riwayat Imam ath-Thabarani - al-Ausath, 1/450.

[10]             Imam Ibnu Taimiyah - Masaa'il al-Maardeeneeyah, ms 78.

[11]             Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0159.

[12]             Maksud hadith riwayat Imam adz-Dzahabi - Tanqeeh at-Tahqiq - no: 0256.

[13]             Kajian lanjut sila lihat - Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/144-147 ; Prof. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/303-310 ; Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/207-209 ; Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam: Fatwa al-Mua'shirah, ms 292-293.

[14]             Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0145.

[15]             Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0152.

[16]             Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/150-151.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan