Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian III   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

5 Menentukan Waktu Berbuka Dalam Penerbangan.

Penentuan waktu Berbuka (Iftar) dalam penerbangan juga tertakluk kepada beberapa faktor kesukaran yang seumpama sebagaimana juga penentuan waktu Imsak dalam penerbangan. Lebih dari itu waktu berbuka adakalanya lebih sukar untuk ditentukan berbanding dengan waktu Imsak kerana suasana cuaca yang selalunya berawan di lewat petang sering membuahkan tanda tanya kepada orang yang hendak berbuka – adakah matahari sebenarnya telah terbenar di ufuk Barat atau hanya berselindung di sebalik awan besar ?   Sebelum dihuraikan persoalan ini terlebih dahulu akan diterangkan ketetapan syara’ tentang ketentutan waktu berbuka dan sunnah-sunnahnya.

Waktu berbuka bagi ibadah puasa adalah apabila tibanya waktu Maghrib sebagaimana firman Allah Azza waJalla: Dan makan serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (cahaya malam), iaitu waktu fajar; kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (iaitu menjelma waktu Maghrib). [Maksud surah al-Baqarah 02 - 187]. Waktu ini lebih diperjelaskan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut: Apabila malam mendatang dari arah ini (sambil menunjuk ke Timur) dan siang menghilang ke arah ini (sambil menunjuk ke Barat) maka berbukalah orang yang berpuasa itu.[1]

Waktu yang dimaksudkan itu adalah bersamaan dengan masuknya waktu solat Maghrib, iaitu apabila sahaja terbenamnya keseluruhan bulatan matahari di bawah ufuk (horizon) Barat sekalipun di kala itu hari masih cerah. Hadith berikut dijadikan pedoman:

Abdullah bin Abi Awfaa radiallahu-anhu berkata, Kami pernah musafir bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam pada bulan Ramadan. Ketika matahari sudah mulai terbenam, baginda memerintahkan kepada seseorang dengan sabdanya: Wahai Si Fulan! Turun dan siapkanlah hidangan. Si Fulan itu berkata: Wahai Rasulullah! Hari masih siang. Baginda mengulangi lagi sabdanya sehingga kali ketiga: Turun dan siapkanlah hidangan. Si Fulan itupun turun menyiapkan hidangan serta membawanya kepada beliau lalu dinikmati hidangan tersebut. Kemudian Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda sambil memberi isyarat dengan kedua tangannya: Apabila matahari sudah mulai terbenam di arah sana dan malam pun telah datang dari arah sana, bolehlah berbuka bagi orang yang berpuasa.[2]

Dalam satu riwayat lain yang seumpama dengan di atas, setelah menikmati hidangan berbuka itu, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Jikalau seseorang kamu menaiki semula tunggangannya (unta) untuk melihat matahari, pasti dia akan dapat melihatnya.[3] Ini menunjukkan bahawa waktu berbuka itu adalah sebaik sahaja bulatan matahari terbenam di ufuk Barat sekalipun jikalau seseorang itu memanjat ke atas sesuatu yang tinggi sedikit, dia akan dapat melihat semula tinggalan terakhir bulatan matahari tersebut. Selain itu hadith di atas juga memberikan pengajaran bahawa waktu berbuka mengikut sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam adalah sebaik sahaja apabila matahari terbenam, tidak lebih lambat dari itu. Tegas Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam satu hadith berasingan: Manusia akan selalu mendapat kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka (iftar).[4]

Melambatkan makan minum bagi berbuka puasa sebenarnya adalah perbuatan agama kaum Yahudi dan Nasrani. Kedua kaum ini kebiasaannya menunggu hingga kelihatan bintang-bintang di malam hari sebagai tanda bolehnya makan minum untuk berbuka puasa. Justeru Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menganjurkan kepada umat Islam agar berlaku beza dari dua kaum tersebut, yakni dengan mengawalkan makan minum dalam etika berbuka puasa. Dua hadith berikut dijadikan renungan:

Sahal bin Sa'ad radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Umatku akan selalu setia kepada sunnah aku selagi waktu berbuka mereka tidak ditunggu oleh bintang-bintang.[5]

Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Agama (Islam) akan sentiasa menonjol selagi orang-orang segera berbuka puasa kerana orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka melewatkan waktu berbuka puasa.[6]

Setelah jelas kepada kita akan kaedah menentukan waktu berbuka dan anjuran sunnah agar menyegerakan makan minum sebagai adab berbuka, maka kembalilah kita kepada persoalan asal perbincangan ini, iaitu menentukan waktu berbuka ketika berada dalam pesawat terbang. Sebagaimana juga perbincangan yang lalu mengenai penentuan kaedah waktu Imsak, kaedah penentuan waktu berbuka juga tiada banyak perbezaannya. Seseorang itu perlu menggunakan kedudukan matahari sebagai penentuan waktu berbuka yang muktamad. Alat-alat kiraan elektronik yang sedia ada hanya mampu memberikan jangkaan serta pedoman waktu berbuka, tidak lebih dari itu kerana ia terbuka kepada berbagai unsur ketidak-tepatan yang bersangkutan dengan faktor penerbangan.

Tambahan lagi kedudukan matahari di lewat petang sering dilindungi oleh keadaan cuaca mendung serta awan-awan yang besar sehingga menimbulkan kesukaran bagi yang berpuasa menentukan waktu berbuka secara pasti. Maka dalam menghadapi suasana sebegini para ulama' telah mengijtihadkan bahawa seseorang itu wajib menentukan secara pasti lagi dengan penuh keyakinan bahawa waktu berbuka telah benar-benar masuk sebelum dia berbuka. Ini dapat dilakukan dengan benar-benar memerhatikan kadar terbenamnya matahari sejak dari awal, atau dengan mengenal warna-warna cahaya di ufuk Barat atau dengan membandingkan kecerahan antara Timur dan Barat, selari dengan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terdahulu: Apabila malam mendatang dari arah ini (sambil menunjuk ke Timur) dan siang menghilang ke arah ini (sambil menunjuk ke Barat) maka berbukalah orang yang berpuasa itu.[7] Seseorang itu juga dianjurkan untuk melewatkan sedikit waktu berbukanya sebagai pilihan kewaspadaan tetapi tidak pula terlalu lewat kerana mengingatkan pesanan-pesanan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang amat menekankan kesegeraan berbuka.[8]

Jikalau seseorang itu telah benar-benar yakin atau apabila keyakinannya melebihi sangkaan bahawa waktu berbuka telah tiba maka bolehlah dia makan dan minum untuk berbuka dan keseluruhan ibadah puasanya di hari itu dikira sah. Seterusnya, jikalau seseorang itu telah berbuka atas dasar keyakinan serta kepastian yang kukuh lalu seketika kemudian dia mendapati bahawa jangkaannya itu adalah salah, maka berbukanya yang awal tadi tidak dikira sebagai sesuatu yang membatalkan. Tetapi dia perlu menghentikan makan minumnya itu dan apabila telah pasti semula matahari telah terbenam, maka dia boleh kembali makan dan minum bagi tujuan berbuka. Jikalau dia hanya menyedari kesilapannya itu selepas waktu berbuka yang sebenar, seperti di esok harinya, dia tidak diharuskan untuk mengqadha semula puasa tersebut.

Apa yang diterangkan di atas adalah umpama seseorang yang berbuka puasa di hari yang mendung (overcast) atas dasar keyakinan, lalu tiba-tiba awan beralih dan jelas bahawa matahari masih belum terbenam sepenuhnya ; atau seseorang yang sedang dalam penerbangan lalu berbuka puasa atas dasar kepastian kerana kedudukan matahari yang berselindung di sebalik awan besar, lalu apabila pesawat melepasi awan tersebut nyata baginya bahawa matahari masih belum terbenam sepenuhnya ; atau seseorang yang berbuka puasa dalam penerbangan setelah pasti bahawa matahari telah terbenam lalu disebabkan oleh pertukaran arah penerbangan matahari seolah-olah kembali nampak semula ; dan lain-lain.

Dikatakan bahawa makan minumnya seseorang itu dipandang sebagai sesuatu yang tidak membatalkan puasa apabila telah tersalah kira waktunya adalah kerana dia melakukan sedemikian setelah berusaha sekuat mampu serta setelah mencari keyakinan yang pasti. Dia dipandang sebagai seseorang yang tersilap serta telah melakukan satu kesalahan atas dasar tidak sengaja. Allah Azza waJalla telah berfirman terlebih awal di dalam al-Qur'anul Karim:

Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Maksud surah al-Ahzab 33 - 5]

Sepotong lagi firman Allah Ta'ala berbentuk doa yang diajar kepada kita: "Wahai Tuhan kami, Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah." [Maksud surah al-Baqarah 02 - 286].

Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda: Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.[9]

Daripada dalil-dalil di atas, jelas bahawa syari'at Islam tidak memandang salah atau menjatuhkan hukum atau mencatitkan dosa bagi seseorang yang melakukan sesuatu kerana tersilap, tidak sengaja atau lupa. Atas dasar inilah, seseorang yang berbuka atas dasar keyakinan serta kepastian lalu kemudian dia dapati keyakinannya itu adalah salah, dia tidak dipandang sebagai melakukan dosa atau membatalkan puasa atau perlu mengqadhakannya semula.[10]

Akan tetapi berbeza pula hukumnya bagi seseorang yang hendak berbuka puasa dalam keadaan ragu-ragu atau was-was, maka wajib dia menunggu hingga kepastian dan keyakinan bertapak di hati sebelum dia berbuka puasa. Para ahli fiqh menyatakan bahawa jikalau seseorang itu berbuka puasa dalam suasana ragu-ragu atau was-was atau sengaja enggan mencari kepastian maka puasanya itu dianggap batal kerana pada dasarnya dia dianggap telah berbuka puasa dalam suasana belum tiba waktu berbuka.[11] Demikian juga bagi seseorang yang berbuka puasa dengan tekaan yang samar-samar lalu kemudian didapati tekaannya adalah salah, maka dia dipandang sebagai telah membatalkan puasanya dan perlu diqadhakan semula di lain hari.

Kesimpulan

1.      Waktu berbuka puasa adalah bersamaan dengan masuknya waktu solat Maghrib dan seseorang itu amat dianjurkan untuk berbuka di ketika itu juga tanpa melengah-lengahkannya.

2.      Jikalau ketentuan waktu berbuka seseorang itu dihalangi dengan cuaca mendung atau apa-apa lain kesukaran maka hendaklah dia berusaha sekuat mampu untuk mencari waktu berbuka yang setepat mungkin lagi meyakinkan.

3.      Seseorang yang telah berbuka puasa dengan yakin lagi pasti lalu kemudian dia tersilap maka dia tidak dipandang sebagai telah terbatal puasanya dan dia tidak perlu mengqadhanya semula.


 

[1]               Maksud hadith dari Umar al-Khattab radiallahu-anhu, riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu’ Lu’ wal Marjan – no: 0668.

[2]               Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu’ Lu’ wal Marjan – no: 0669.

[3]               Maksud hadith dari Musannaf Abdurrazzaq, 4/226. Lihat juga penjelasan Shaikh Saleem al-Hilalee dan Shaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid - Fasting in Ramadhan as Observed by The Prophet sallallahu-alaihi-wasallam, pg 38.

[4]               Maksud hadith dari Sahal bin Sa'ad radiallahu-anhu, riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu’ Lu’ wal Marjan – no: 0667.

[5]               Maksud hadith riwayat Imam Ibnu Hibban dan al-Hakim, Nail-ul-Authar, 4/505.

[6]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 2252.

[7]               Maksud hadith dari Umar al-Khattab radiallahu-anhu, riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu’ Lu’ wal Marjan – no: 0668.

[8]               Lebih jauh,  lihat penjelasan Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/705 dan mana-mana lain kitab fiqh muktabar.

[9]               Maksud hadith dari Abu Dzarr al-Ghaifiri dan Abdullah ibnu Abbas, diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim, at-Thabrani dan ad-Daruquthni; dinilai sebagai hadith hasan oleh Imam an-Nawawi sebagaimana dinyatakan oleh Imam as-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazha'ir, ms 166.

[10]             Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 2/288-292 dan ini beliau dasarkan kepada hujah penganalisaan Shaikh-ul-Islam Imam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya - Majmu al-Fatawa, 25/263-264.

[11]             Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 3/137. Lihat juga penjelasan Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam Ensaiklopedia Fiqh, 2/292.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan