Anda sekarang sedang membaca majalah Dara.com. Anda memegangnya dengan tangan, membaca dengan mata dan memahaminya dengan akal fikiran. Anda mungkin sedang membacanya sambil duduk atau baring. Kulit anda dilindungi pakaian, diri anda dilindungi bumbung. Keadaan nyaman, sama ada kerana angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa atau kerana kipas angin yang berputar senyap. Semuanya indah dan baik. Sebegitu indah dan baik sehingga kita jarang-jarang memikirkannya, apatah lagi bersyukur tentangnya.

          Seterusnya perhatikan juga semua organ badan kita yang berfungsi secara automatic seperti degupan jantung, pernafasan, mata yang berkelip, sistem pencernaan makanan sehingga kulit yang tercalar lalu ia sembuh sendiri. Perhatikan juga alam yang berfungsi secara automatic seperti bumi yang sentiasa berputar sambil bergerak dipaksinya, matahari yang sentiasa bersinar, awan yang sentiasa terbentuk, angin yang sentiasa bertiup sehingga kepada hujan yang turun di sana sini. Kesemua fungsi automatic ini dan selainnya bukan berlaku secara kebetulan tetapi adalah nikmat Allah kepada kita.

          Memadailah sekadar dua perenggan kerana jika hendak disenaraikan semua nikmat Allah kepada kita, nescaya ia akan menjadi berjilid-jilid tebalnya. Itupun jika kita menyedari nikmat tersebut. Kebanyakan nikmat tidak kita sedari kewujudannya kerana sudah biasa kita nikmati. Atas dasar inilah Allah menerangkan hakikat: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.” [Surah Ibrahim, ayat 34]

         Sekalipun tidak dapat menghitung kesemua nikmat Allah kepada kita, dengan sedikit penghayatan dan pengamatan, kita akan sedar bahawa ia amat banyak lagi tidak bernilai. Kesedaran ini akan menyebabkan kita ingin bersyukur kerana dengan bersyukur, kenikmatan itu akan bertambah melimpah ruah. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu.” [Surah Ibrahim, ayat 7] 

          Sebaliknya jika kita “buat tak tahu saja”, yakni tidak mensyukurinya, nikmat tersebut akan ditarik balik dan diganti dengan kesukaran dan kekurangan: “Dan Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu (tidak bersyukur), maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” [Surah al-Nahl, ayat 112]

          Bagaimanakah cara bersyukur? Ia tidak memadai dengan mengucapkan “Alhamdulillah” sahaja. Bersyukur memiliki empat rukun yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin, iaitu:

 

Pertama: Beriktikad bahawa tiada yang memberi nikmat melainkan Allah.
            Ini berdasarkan firman Allah: “Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka ia adalah daripada Allah.” [Surah al-Nahl, ayat 53] Justeru tidak boleh menyandarkan nikmat kepada sesuatu selain Allah kerana ia melibatkan persoalan tauhid. Ini kerana apabila kita beriktikad “La ilaha illallah”, di antara maksudnya ialah tidak ada yang memberi nikmat kecuali Allah.
            Apabila kita menerima nikmat daripada seseorang selain Allah, maka hendaklah beriktikad bahawa ia hanyalah perantara yang Allah gunakan untuk memberi nikmat kepada kita. Kita tetap mengucapkan terima kasih kepada orang itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda:6 “Tidaklah bersyukur kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” [Shahih al-Adab al-Mufrad, no: 218]
            Oleh itu sebagai contoh, jika kita diberi jamuan makan secara percuma di dewan masjid, hendaklah kita tetap mencari orang yang membiayai jamuan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Tidak boleh sekadar makan, bersendawa “Burrp!”, mengucapkan “alhamdulillah” lalu terus balik kerana itu termasuk tindakan tidak bersyukur kepada Allah.

Kedua: Sentiasa mengingati nikmat-nikmat Allah. 
          Ini berdasarkan firman Allah: “Wahai manusia, ingatlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. [Surah Fatir, ayat 3] Mengingati nikmat Allah telah saya sentuh di permulaan artikel ini. Berdasarkan ingatan tersebut, hendaklah kita melazimkan diri mengucapkan “alhamdulillah”.

Ketiga: Menyebut-nyebut nikmat Allah. 
          Hendaklah kita terbuka menyebut-nyebut nikmat Allah, di pertengahan antara menyembunyikannya atau menunjuk-nunjukkannya. Allah berfirman: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkannya.” [Surah al-Dhuha, ayat 11] Maka jika ada kawan yang bertanya berapa elaun biasiswa anda, sebutkan ia secara terbuka: “Alhamdulillah, lima ratus ringgit sebulan”. Jangan menyembunyikannya seumpama: “Adalah sikit-sikit, cukuplah untuk nak makan” dan jangan pula menunjuk-nunjukkannya seumpama: “Aku dapat lima ratus sebulan. Engkau berapa…mesti tak sampai tiga ratus!”.

Keempat: Memanfaatkannya.
            Manfaatkan nikmat Allah demi kebaikan agama, manusia dan alam, bukan pula sebaliknya – iaitu merosakkan agama, manusia dan alam. Nikmat adalah satu bentuk perbuatan baik Allah kepada kita dan sebagai balasannya, hendaklah kita: “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah yang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” [Surah al-Qasas, ayat 77]
         Di samping itu hendaklah kita terbuka menunjukkan nikmat Allah kepada kita, di pertengahan antara merahsiakannya atau menjadi sombong dengannya. Satu contoh ialah dengan berpakaian kemas dan cantik. Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang sahabat baginda yang berpakaian lusuh. Baginda bertanya: “Apakah kamu mempunyai harta?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bertanya lagi: “Dari mana datangnya harta itu?” Dia menjawab: “Dari apa yang Allah kurniakan berupa (hasil ternakan) unta, kambing, kuda dan budak kerja.” Baginda melanjutkan: “Jika Allah telah memberikan harta kepadamu, hendaklah kamu menampakkan nikmat dan kemuliaan Allah kepada kamu (dengan pakaian yang kemas).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4063]