Alhamdulillah bulan Ramadhan menyusul kembali. Bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam. Bulan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi pengampun bagi dosa-dosa kecil dari Ramadhan yang sebelumnya, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan sehingga kita semua amat bermotivasi untuk beramal ibadah dan melakukan kebajikan. Dalam bulan ini pada sepuluh malam yang terakhir, terdapat satu malam yang lebih baik berbanding bulan yang lain.

     Akan tetapi sayang sekali ada sebahagian orang yang merosakkan kemuliaan bulan Ramadhan. Kerosakan yang dimaksudkan bukanlah mereka yang tidak berpuasa pada siang hari dan bukanlah mereka yang melakukan aktiviti maksiat pada malam hari. Akan tetapi ia merujuk kepada mereka yang suka menyampaikan hadis-hadis yang amat lemah lagi palsu berkaitan bulan Ramadhan.

Sekelumit Tentang Ilmu Hadis.

     Sebelum meneruskan, izinkan saya berkongsi sedikit berkenaan ilmu hadis. Hadis merujuk kepada ucapan dan tindakan Rasulullah s.a.w.. Umat Islam pada zaman kehidupan Rasulullah s.a.w., yang masyhur dikenali dengan gelaran “para sahabat”, sangat memerhatikan segala ucapan dan tindakan baginda. Mereka menghafalnya, mempraktikkannya dan menyampaikan kepada generasi umat Islam yang baru. Pada mulanya hadis-hadis tidak dicatit secara formal. Catitan tidak dianggap penting kerana sebutan dan praktik harian generasi demi generasi dapat menggantikan pena dan kertas. Hanya kira-kira seratus tahun selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., usaha membukukan hadis-hadis baginda dimulakan secara formal.

     Apabila disebut generasi demi generasi, di kalangan mereka ada yang baik agamanya, jujur lagi kuat ingatan. Mereka benar-benar telah bersemuka di antara satu generasi ke generasi yang lain. Hadis-hadis yang mereka amal dan sampaikan dibukukan secara rapi dan dikenali sebagai “hadis sahih”. Ada juga yang menepati ciri-ciri di atas tetapi memiliki daya ingatan yang sederhana. Hadis-hadis yang mereka amal dan sampaikan dikenali sebagai “hadis hasan”. Di antara generasi tersebut ada yang memiliki ingatan yang lemah atau diragui sama ada pernah bersemuka antara generasi ke generasi yang lain. Hadis-hadis mereka dikategorikan sebagai “hadis dhaif”.

     Perhatian kita ditumpukan kepada orang-orang yang menyampaikan hadis padahal mereka dikenali sebagai orang yang buruk agamanya. Mereka lazim mencipta hadis-hadis sendiri atau mengambilnya dari sumber yang tidak diiktiraf lalu mendakwa ia adalah sabda Rasulullah s.a.w. Hadis-hadis ini telah ditapis dan dikenal pasti oleh para ahli hadis dan mereka mengkategorikannya sebagai “hadis dhaif jiddan (hadis yang amat lemah)” atau “hadis maudhu’ (hadis palsu)”.

 

Beberapa Contoh Hadis Amat Lemah Dan Palsu.

     Pertama dan yang paling masyhur ialah hadis: “Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan pengakhirnya adalah kebebasan dari neraka.” Kedua ialah hadis: “Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.” Hadis lain yang berbeza menyebut: “Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan Allah” manakala yang lain menyebut: “Bulan Ramadhan adalah bulan Allah dan bulan Sya’ban adalah bulanku. Sya’ban menyucikan dan Ramadhan menghapuskan dosa.” Semua ini adalah hadis palsu atau yang amat lemah.

     Seterusnya ialah hadis: “Awasilah bulan Ramadhan kerana ia adalah bulan Allah. Allah menjadikan untuk kamu sebelas bulan untuk kamu mengenyangkan perut dan melepaskan dahaga. Bulan Ramadhan adalah bulan Allah, maka hendaklah kamu jaga diri kamu padanya.” Termasuklah juga hadis: “Sesiapa mengerjakan puasa bulan Ramadhan secara diam, tenang dan menahan pandangan dan anggota-anggota dari melakukan yang haram dan bohong, maka Allah mendekatinya pada Hari Kiamat sehingga lututnya bersentuh dengan lutut Nabi Ibrahim.” Kedua-dua hadis ini adalah palsu, ia dibuat-buat sendiri lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w..

     Termasuk hadis palsu ialah: “Ramadhan di Madinah lebih baik dari seribu Ramadhan di negeri-negeri lain dan Jumaat di Madinah lebih baik dari seribu Jumaat di negeri-negeri lain.” Juga hadis: “Apabila awal malam pertama bulan Ramadhan, Allah memandang kepada makhluk-Nya dan apabila Allah memandang kepada para hamba-Nya, nescaya Dia tidak akan mengazabnya untuk selama-lamanya. Dan pada tiap-tiap malam Allah mempunyai seribu orang yang dibebaskan dari neraka.”

     Demikian beberapa contoh hadis-hadis yang amat lemah lagi palsu yang sering dikemukakan secara bertulis atau lisan dalam majalah, akhbar dan ceramah agama. Terdapat banyak lagi hadis-hadis seperti ini berkaitan Ramadhan. Para pembaca dijemput mengkaji buku Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’, jilid 1 dan 2 susunan Drs. Abdul Ghani Azmi rahimahullah, terbitan al-Hidayah, Kuala Lumpur.

 

Hukum Menyampaikan Hadis Amat Lemah Dan Palsu.

     Sebahagian pembaca mungkin bertanya: “Apa salahnya menyampaikan hadis-hadis tersebut? Bukankah ia baik?” Jawapannya, baik atau buruk ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Agama Islam milik Allah dan hanya Dia yang berhak menentukan apa yang baik dan buruk melalui pesuruh-Nya, Muhammad bin Abdullah s.a.w.. Apabila kita berkata itu dan ini baik mengikut pertimbangan sendiri, seolah-olah agama Islam ini adalah milik kita dan kita adalah tuhan yang mensyari’atkannya. Sudah tentu ini adalah kesalahan besar yang masuk ke dalam bab syirik. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w. memberi amaran keras: “Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku maka dia akan memasuki neraka.” [al-Lu’ Lu’ wal Marjan, no: 1]

     Orang yang menyampaikan hadis yang amat lemah atau palsu termasuk dalam kategori orang berdusta atas nama Rasulullah. Tidak ketinggalan ialah orang yang menyampaikan hadis sesuka hati tanpa mengetahui sumber mahupun darjat, dia juga termasuk orang yang berdusta atas nama Rasulullah. Imam al-Thohawi rahimahullah (321H) menjelaskan:“Sesiapa yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah s.a.w. berdasarkan sangkaan, bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara batil. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadis. Mereka termasuk dalam sabdanya: “Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka.”  Kami berlindung daripada Allah Ta‘ala daripada yang sedemikian.” [Musykil al-Atsar (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld. 1, ms. 123]