Ruangan Cahaya Rohani bulan ini akan meneruskan ulangkaji berkenaan kebersihan wanita, khusus merujuk kepada cairan-cairan yang keluar dari vagina. Jika sebelum ini kita telah berbincang berkenaan Darah Haid (Jun 2011) dan Darah Istihadhah (Oktober 2011), kini akan berbincang berkenaan beberapa cairan lain yang bukan merupakan darah. Semua ini selari dengan prinsip Islam yang amat mementingkan kebersihan.

 

Air Wadi

Ia adalah sejenis cecair putih kental yang keluar selepas membuang air kecil (kencing). Memandangkan ia keluar selepas kencing, maka hukumnya seperti air kencing, yakni ia membatalkan wudhu dan dibersihkan dengan air.

 

Air Mazi

Ia adalah sejenis cecair yang nipis, jernih (clear) dan licin seperti pelincir. Ia keluar apabila timbulnya syahwat, seperti apabila suami-isteri memulakan hubungan seks, apabila seseorang itu melakukan onani atau berangan-angan sesuatu yang memberahikan.

Air mazi membatalkan wudhu’ dan hendaklah dibersihkan dengan cara membasuh vagina dengan air. [Shahih al-Bukhari, no: 261] Jika air mazi terkena pakaian, memadai dengan merenjis atau memercik dengan air. Rasulullah memberi tunjuk ajar: Cukuplah kamu mengambil air sepenuh telapak tanganmu, lalu percikkan pada bagian pakaian yang kamu ketahui terkena mazi. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 210]

Memandangkan air mazi adalah jernih, agak sukar untuk mengetahui di bahagian mana ia mengenai pakaian. Maka memadailah memercikkan air …pada bagian pakaian yang kamu ketahui terkena mazi… tanpa perlu membasuh keseluruhan pakaian.

 

Air Mani.

Ia adalah cecair berbau yang keluar tatkala berlakunya kemuncak syahwat (klimaks). Bagi lelaki ia agak pekat sementara bagi wanita ia agak cair. Air mani keluar apabila suami isteri melakukan hubungan seks, apabila seseorang itu melakukan onani atau bermimpi, lazim disebut sebagai mimpi basah. 

Berkenaan air mani, sebahagian orang berpendapat wanita tidak mengeluarkan air mani. Pendapat ini dijawab bahawa wanita juga mengeluarkan air mani, hanya air mani wanita tidak mengandungi sperma sebagaimana air mani lelaki. Dalilnya ialah hadis berikut, di mana Umm Sulaim telah bertanya kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu dalam perkara yang hak. Apakah bagi wanita wajib mandi jika dia bermimpi?” Rasulullah wasallam menjawab: “Ya, jika dia melihat air mani.” Umm Salamah (isteri Rasulullah yang turut hadir) menutupi wajahnya (kerana malu) seraya bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita itu bermimpi (basah)?” Baginda menjawab menjawab: “Ya.” [Sebahagian dari hadis Shahih al-Bukhari, no: 127]

Apabila seorang wanita mengeluarkan air mani, dia di dalam keadaan junub dan hendaklah membersihkan dirinya dengan Mandi Wajib. Tatacara mandi wajib telah kita bincang dalam ruangan Cahaya Rohani ini, edisi November 2010. Jika Air Mani terkena pakaian, maka ia dibasuh dengan air jika masih basah [Shahih Muslim, no: 436] atau dikerik (kikis dengan kuku) jika sudah kering [Shahih Muslim, no: 435].

Di antara tiga cecair yang keluar ini, hendaklah dibezakan bahawa untuk air wadi dan air mazi, memadai membasuh dengan air lalu berwudhu, sementara untuk air mani hendaklah melalui Mandi Wajib. Seperkara lain, apabila disebut onani (masturbate), ia hanyalah untuk pengetahuan umum. Ia tidak bererti Islam mahu pun penulis menganjurkan perbuatan tersebut.

 

Cairan Lain Daripada Diri Sendiri.

Kadangkala ada cairan yang keluar namun sudah dikenal pasti ia bukan darah haid, bukan cairan kuning, putih, coklat yang berkaitan dengan haid, bukan darah nifas, bukan darah istihadhah dan bukan juga air kencing, air wadi, air mazi mahu pun air mani. Lalu apakah hukum cairan ini?

Di antara ilmuan Islam, ada yang berpendapat cairan tersebut adalah najis. Ia membatalkan wudhu’ dan hendaklah vagina serta pakaian yang mengenainya dibasuh dengan air. Mereka berhujah bahawa semua yang keluar melalui qubul dan dubur adalah najis.

Ada juga yang berpendapat, cairan tersebut bukan najis dan tidak membatalkan wudhu’. Ini kerana manusia pada asalnya adalah suci dan apa yang dianggap sebagai najis dan/atau membatalkan wudhu’ hendaklah berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Memandangkan dalam hal ini tiada dalil, maka ia bukan najis dan tidak membatalkan wudhu’. Namun boleh saja bagi seseorang itu membersihkan vaginanya dan mengambil wudhu’ apabila hendak solat, sebagai langkah kebersihan tambahan. Saya mencenderungi pendapat kedua ini.

 

Cairan Dari Sumber Lain.

Adakalanya keluar cairan vagina dari sumber yang lain. Misalnya, air mani suami yang mengalir keluar dari vagina isterinya setelah mereka melakukan hubungan seks. Misal lain, setelah membasuh vagina daripada air mazi, darah haid atau lain-lain, ada air basuhan yang mengalir keluar. Dalam kes ini, memadai bagi wanita tersebut mengelap kering cairan tersebut tanpa perlu mengambil wudhu, mengulangi wudhu’ atau Mandi Wajib. 

 

Cairan Kerana Penyakit.

Dalam kes terpencil, ada wanita yang vaginanya sentiasa lembab dengan cairan, umpama air mazi. Sudah dipastikan oleh para doktor bahawa ia adalah sejenis penyakit dan bukan disengajakan oleh wanita tersebut. Dalam kes ini, ia diqiyaskan kepada darah istihadhah di mana cairan tersebut tidak membatalkan wudhu kerana ia adalah penyakit yang dimaafkan.