Edisi Cahaya Rohani bulan ini akan meneruskan ulangkaji dalam bab kebersihan (Thaharah) dan fokus kita ialah berkenaan kenajisan darah, muntah dan alkohol. Kemungkinan besar ketika di bangku sekolah sebelum ini, kita diajar bahawa semua tiga bahan di atas adalah najis. Kini para pembaca sekalian sudah tidak lagi berada di bangku sekolah tetapi di pusat-pusat pengajian tinggi yang berteraskan hujah, fakta dan analisa. Ciri hujah, fakta dan analisa ini hendaklah diluaskan kepada bidang agama juga. Oleh itu marilah kita mengulangkaji semua hukum kenajisan darah, muntah dan alkohol berdasarkan hujah, fakta dan analisa.

          Sebelum bermula ingin saya tekankan satu perkara yang amat penting. Islam menetapkan asas bahawa semua bahan adalah suci melainkan terdapat dalil jelas yang menyatakan ia najis. Jika tidak ada dalil agama, atau dalil tersebut dalam keadaan meragukan, maka kita kembali kepada hukum asas bahawa semua bahan adalah suci lagi bersih.

          Demikian juga, setiap sesuatu asalnya adalah suci melainkan diketahui secara jelas melalui penglihatan, bau atau rasa bahawa ia najis. Kain telekung misalnya, ia adalah suci melainkan ternampak secara jelas terdapat najis cicak di atasnya. Jika tidak nampak atau ragu-ragu, maka ia tetap suci dan boleh digunakan untuk bersolat.

 

          Perkara amat penting untuk diketahui dan diyakini kerana syaitan suka mengganggu umat Islam dengan membisikkan rasa was-was bahawa itu najis dan ini tidak bersih. Gangguan ini menyebabkan sebahagian kita banyak membuang masa dan tenaga untuk membersihkan apa yang asalnya tidak najis. Kembali kepada contoh kain telekung, ada yang enggan solat semata-mata kerana was-was sama ada ia bersih daripada najis atau tidak. Apa yang benar, ia tetap bersih melainkan jelas kelihatan najis di atasnya.

 

Darah.

          Darah hanya dikategorikan sebagai najis apabila ia mengalir dengan banyak. Dalilnya adalah firman Allah: Katakanlah: Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor (najis). [al-An’aam 6:145]

          Perhatian kita dalam ayat di atas ditujukan kepada firman Allah: darah yang mengalir. Berdasarkan ayat

blood.jpeg

 145 surah al-An’aam di atas, darah yang mengalir dikategorikan sebagai najis. Di sini dapat juga difahami bahawa darah yang tidak mengalir atau darah yang sedikit tidak dikategorikan sebagai najis. 

          Contoh darah yang tidak mengalir adalah luka yang sudah kering sementara contoh darah yang sedikit ialah apa yang keluar dari jerawat atau bisul. Sesiapa yang mengalami pendarahan seperti ini tidak berada dalam keadaan najis sehingga dia boleh mendirikan solat seperti biasa. Contoh lain ialah kesan-kesan darah yang mungkin kelihatan pada tulang ayam atau daging stik (steak) yang hendak dimakan. Kesan darah seperti ini bukanlah najis kerana ia tidak menglair, maka boleh makan seperti biasa.

          Jika mengalami pendarahan yang mengalir dengan banyak, ia adalah najis yang hendaklah dibersihkan. Akan tetapi jika keadaan tidak mengizinkan seperti berada di medan perang, mudarat tidak boleh terkena air dan sebagainya, hendaklah tetap mendirikan solat. Darah yang mengalir dengan banyak tersebut dimaafkan kerana sudah dicuba sedaya upaya untuk menghentikannya dan membersihkannya, ditambah pula dengan suasana yang tidak mengizinkan. 

       Oleh kerana itulah kita dapati Rasulullah dan para sahabatnya tetap mendirikan solat sekali pun terdapat banyak darah yang mengalir pada diri mereka disebabkan kesan luka di medan perang. Mereka tetap mendirikan solat tanpa menangguhkannya atau mengqadhanya pada waktu yang lain. 

          Nanah termasuk dalam kategori darah, maka hukum kenajisan nanah sama seperti hukum kenajisan darah.

 

Muntah.

          Pendapat masyhur menyebut bahawa muntah adalah najis. Akan tetapi jika disemak, tidak ditemui sebarang dalil jelas bahawa muntah adalah najis. Paling dekat adalah sebuah hadis yang bermaksud: Nabi muntah, maka baginda berbuka puasa dan berwudhu’. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 87] Namun hadis ini bukanlah bukti bahawa muntah adalah najis, melainkan sekadar anjuran (sunat) untuk berwudhu’ apabila muntah. 

         Seandainya muntah adalah najis, nescaya Rasulullah akan mewajibkan membersihkan mulut dan apa jua yang terkena muntah itu sepertimana diwajibkan membersihkan kemaluan selepas membuang air kecil. Namun perintah tersebut tidak ada, menunjukkan bahawa muntah bukanlah najis.

 

Alkohol. 

        Arak secara umum dan alkohol secara khusus sering dikatakan sebagai najis. Pendapat ini disandarkan kepada firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. [al-Maidah 5:90]

         Ayat di atas menyebut arak sebagai sesuatu yang kotor, ertinya najis. Akan tetapi jika dirujuk kepada sejarah Rasulullah, baginda tidak menghukum arak sebagai najis. Apabila ayat di atas diturunkan berkenaan keharaman arak, para sahabat menumpahkan arak-arak yang ada dalam simpanan mereka [Shahih Muslim, no: 3663]. Rasulullah juga pernah berjalan-jalan di Kota Madinah lalu ternampak kantung yang mengandungi arak. Baginda mengambil pisau dan terus membelahnya, menumpahkan arak ke jalan [Musnad Ahmad, no: 5390]. 

          Seandainya arak adalah najis sepertimana air kencing, sudah tentu ia tidak akan ditumpahkan begitu saja di tempat lalu-lalang orang ramai. Ini menyebabkan para ahli ilmu mengkaji semula maksud perkataan “kotoran” dalam ayat 90 surah al-Maidah. Di dapati bahawa “kotoran” (dalam bahasa Arab rijs) memiliki banyak erti dan dalam ayat di atas, ia bererti perbuatan kotor yang disukai oleh syaitan. Ia bukanlah najis secara hakikat yang wajib dibersihkan dengan air.

         Oleh itu arak secara umum dan alkohol secara khusus yang terkandung di dalam arak adalah perbuatan kotor dan kita umat Islam diharamkan daripada meminumnya. Akan tetapi alkohol itu sendiri bukanlah najis. Jika kita menggunakan bahan pengelak bau badan yang mengandungi alkohol misalnya (deodarant), ia bukanlah najis yang wajib dijauhkan. Oleh itu boleh mendirikan solat jika memakai deodarant dan sebagainya, ia bukanlah najis yang wajib dibersihkan.