“Sedih aku, dah rancang awal-awal untuk membantu majlis di surau kolej kita. Saat akhir, aku demam panas yang teruk sehingga terbaring saja atas katil” Aisyah merungut kepada rakannya Munirah. 

“Rugi saja. Aku ini salah seorang ahli jawatankuasa penganjur, macam mana nak dapat pahala kalau terbaring saja atas katil” Aisyah meneruskan lagi.

“Aku juga terasa rugi. Kisah aku pula, ada empat pelajar yang ingin mengikuti program tetapi mereka kata

lillahi_taala.jpgtidak cukup duit untuk bayar yuran dua puluh lima ringgit tu. Maka aku pun konon nak membantu mereka, membayar bagi pihak mereka. Tengok-tengok ketika program, mereka asyik bermain handphone. Bukan yang murah-murah macam aku punya ni, tetapi smart phone yang pasti berharga lebih seribu ringgit sebuah” Munirah pula merungut kepada Aisyah. 

“Rugi saja aku keluarkan seratus ringgit untuk bayarkan yuran mereka berempat.”

“Hah! Itulah engkau. Lain kali sebelum nak sponsor orang siasat dulu sama ada mereka itu kaya atau miskin” pesan Aisyah kepada Munirah.

“Engkau pun, lain kali kalau nak buat sesuatu majlis jangan sungguh-sungguh sangat sehingga akhirnya demam” Munirah membalas kembali.

 

Allah Maha Pengasih

Demikian coretan dua orang sahabat, masing-masing dalam keadaan merasa rugi. Saya yakin apa yang dialami oleh Aisyah dan Munirah di atas pernah juga dialami oleh para pembaca yang lain. Meskipun suasana dan amal shalih itu berbeza-beza, dasarnya tetap sama.

Kes yang pertama, dasarnya adalah ingin melakukan sesuatu amal shalih akan tetapi ia terhalang oleh suatu sebab yang tidak dapat dielakkan. Beberapa contoh lain dalam kes ini ialah orang yang ingin ke masjid bersolat jamaah tetapi terhalang oleh hujan yang lebat, orang yang ingin berpuasa sunat akan tetapi terhalang oleh haid dan orang yang ingin balik kampung ziarah ibubapanya tetapi terhalang oleh ketiadaan tiket.

Dalam contoh-contoh di atas, kita tentu merasa rugi kerana tidak dapat melaksanakan amal shalih yang dirancang. Apatah lagi jika amal-amal itu bakal melahirkan ganjaran yang besar di dunia dan akhirat, tentu akan lebih terasa kerugiannya.

Sebenarnya orang yang menghadapi kes-kes seumpama di atas tidak berada dalam keadaan yang rugi. Allah yang Maha Pengasih tetap memberikan pahala kepada hamba-hamba-Nya yang terhalang daripada melakukan sesuatu amal shalih yang dirancangnya. Hal ini dapat kita pelajari daripada hadis berikut daripada Jabir bin Abdillah:

Kami pernah ikut berperang bersama Nabi dalam suatu peperangan, ketika itu baginda bersabda: “Ada beberapa orang lelaki di Madinah yang mereka tidak ikut serta dalam peperangan ini. Biasanya jika kalian pergi berperang sedangkan kalian melalui suatu lembah, mereka tetap turut bersama-sama kalian. Namun (kali ini) mereka terhalang karena sakit. Akan tetapi mereka juga mendapat pahala seperti kalian.” [Shahih Muslim, no: 3534]

Hadis di atas menerangkan kisah di mana beberapa sahabat tidak dapat ikut serta pasukan umat Islam untuk berperang kerana sakit. Seandainya mereka sihat, mereka akan turut serta merentas bukit dan lembah pergi dan balik dari medan perang. Sekali pun tidak ikut serta, Rasulullah menerangkan bahawa mereka tetap mendapat pahala kerana pada asalnya mereka akan turut serta dalam peperangan tersebut, hanya mereka terhalang oleh sesuatu yang tidak disengajakan.

Berdasarkan hadis ini, dapat diambil kesimpulan bahawa Allah akan tetap memberi ganjaran kepada para hamba-Nya yang merancang untuk membuat amal shalih, namun terhalang oleh sesuatu yang tidak mereka sengajakan. Tentu saja ini dengan syarat hamba tersebut redha dengan halangan yang dihadapinya. Jika dia merungut itu dan ini umpamanya “ruginya aku”, maka rungutan itu akan menggugurkan pahala yang sepatutnya tetap diperolehi.

 

Allah Maha Penyayang

Kes yang kedua, dasarnya adalah melakukan sesuatu amal shalih akan tetapi hasilnya tidak seperti yang kita harapkan. Selain contoh kes Munirah di atas, beberapa contoh lain ialah bersungguh-sunguh mengajar pelajar yang lemah tetapi dia tetap malas, dikhianati oleh orang yang kita percayai dan memberi sedekah kepada pihak yang dibimbangi menyalahgunakan duit tersebut.

Sekali lagi, orang-orang yang berada dalam suasana kes kedua ini tidak rugi. Allah yang Maha Penyayang memberi pahala bukan saja berdasarkan hasil yang dicapai tetapi juga berdasarkan niat untuk membuat amal shalih. Marilah kita mengkaji sebuah hadis yang berkaitan dengan kes kedua ini.

Ma’an bin Yazid menceritakan: Suatu hari ayahku – Yazid – mengeluarkan beberapa dinar untuk disedekahkan, lalu dia meletakkannya di samping seseorang yang berada di masjid. Kemudian aku datang, aku ambil dan aku bawa kepadanya. Lalu ayahku berkata: “Demi Allah, bukan kamu yang aku maksudkan (untuk disedekahkan).” Lalu masalah ini aku adukan kepada Rasulullah, maka baginda bersabda: “Bagimu apa yang sudah kamu niatkan wahai Yazid, sedangkan bagimu apa yang telah kamu ambil wahai Ma’an.” [Shahih al-Bukhari, no: 1333]

Dalam hadis di atas, seorang ayah memberi sedekah kepada orang miskin di masjid. Namun hasilnya tidaklah seperti yang beliau harapkan kerana duit sedekah itu diambil pula oleh anaknya. Akan tetapi Rasulullah menerangkan bahawa Allah yang Maha Penyayang tetap memberikan pahala kepada ayah tersebut berdasarkan niat mulianya untuk bersedekah.

Justeru berdasarkan hadis ini, dapat dirumuskan bahawa Allah tetap memberi ganjaran kepada para hamba-Nya yang ingin beramal shalih meskipun hasil amal shalih tersebut tidak seperti mana yang diharapkan. Asalkan orang yang beramal shalih tersebut sentiasa dalam keadaan redha dalam menerima apa jua hasil, sama ada berjaya atau gagal. Usah merungut “saya rugi” kerana rungutan seperti ini menghapuskan pahala yang diharap-harapkan.

 

Teruskan Beramal Shalih.

Hasil daripada kedua-dua kes di atas dan hadis yang menjadi penjelasannya, hendaklah kita dalam keadaan sentiasa ingin melakukan amal shalih dan terus melakukan amal shalih. Seandainya Allah mentaqdirkan sesuatu halangan atau hasil yang tidak seperti diharapkan, janganlah berputus asa atau merasa rugi. Ini kerana di sebalik halangan atau kegagalan tersebut, tetap terdapat ganjarannya daripada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.