Huraian kita ke atas surah al-Fatihah dimulakan dengan ayat Basmalah iaitu “Bismillahir

fatihah_2.jpeg

 Rahmanir Rahim”. Sebagai pengenalan untuk para pembaca sekalian, terdapat beberapa nama atau panggilan bagi beberapa ayat atau kalimah yang masyhur. Ia seperti berikut:

  • Tasbih = “Subhanallah” yang bererti Maha Suci Allah.
  • Tahmid = “Alhamdulillah” yang bererti segala puji bagi Allah.
  • Takbir = “Allahu Akbar” yang bererti Allah Maha Besar.
  • Tahlil = “La ilaha illalLah” yang bererti tiada tuhan melainkan Allah.
  • Ta’awwuz = “A’uzubillahi minash syaitani rajim” yang bererti Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam.
  • Basmalah = “Bismillahir Rahmanir Rahim” yang bererti dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 

Mulakan Apa Jua Dengan Basmallah.

Sebagai umat Islam, kita sentiasa inginkan apa yang bakal dilakukan merupakan sesuatu yang dizinkan oleh Allah. Selain itu kita juga inginkan apa yang bakal dilakukan itu memperoleh rahmat (al-Rahman) dan kasih sayang (al-Rahim) daripada Allah agar ia berjaya dan selari dengan apa yang kita rancang.

Di sinilah ucapan Basmalah memiliki peranan yang penting. Apa saja yang kita akan lakukan, kita mulakannya dengan Basmalah. Sebagai contoh, apabila saya hendak mula menulis untuk ruangan ini, saya membaca Basmalah supaya dengan rahmat dan kasih sayang Allah, penulisan saya ini berjaya menyampaikan ilmu yang benar lagi bermanfaat kepada para pembaca sekalian. Apabila para pembaca sekalian hendak membaca ruangan ini pula, mulakanlah dengan Basmalah agar dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kalian dapat memahami dengan baik penulisan ini dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-harian.

Berdasarkan peranan serta hikmah inilah, terdapat kata-kata masyur yang menyatakan: “Setiap sesuatu yang dimulakan tanpa Basmalah maka ia terputus daripada rahmat Allah”. Maksudnya, apa jua yang kita lakukan tanpa dimulakan dengan Basmalah, maka perbuatan itu tidak mendapat rahmat daripada Allah. Tanpa rahmat Allah, apa yang kita lakukan itu akan menjadi sulit, timbul pelbagai halangan yang tidak diduga dan sukar mencapai hasil sepertimana yang dirancang.

Atas nota yang sama, kita tidak mengucapkan Basmalah apabila melakukan sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah. Misalnya, kita tidak membaca Basmalah apabila melihat majalah pornografi. Iman di dalam diri, meski pun sedikit, akan menentang ucapan Basmalah apabila kita terlintas untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah. Di sini Basmalah memainkan peranan sebagai satu kayu ukur sama ada apa yang bakal kita lakukan adalah selari atau bertentangan dengan syari’at Allah. Jika ia selari, kita dengan tenang akan dapat memulakannya dengan Basmalah. Jika ia bertentangan, kita akan resah untuk memulakannya dengan Basmalah.

 

Basmalah Untuk Surah al-Fatihah.

Atas peranan dan hikmah yang sama, kita memulakan surah al-Fatihah dengan ucapan Basmalah. Walau bagaimana pun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu sama ada Basmalah dibaca kuat atau perlahan oleh imam ketika solat berjamaah Subuh, Maghrib dan Isyak. Bagi kita yang bermazhab al-Syafi’e di Malaysia, Basmalah dibaca kuat oleh imam. Namun jika kita menjadi makmum kepada imam yang bermazhab lain, solat kita adalah tetap sah jika imam tersebut membaca Basmalah secara perlahan. Maksud membaca Basmalah secara perlahan ialah kita hanya mendengar imam memulakan surah al-Fatihah dengan bacaan Alhamdulillahi rabbil ‘alamin…hingga akhir. 

 

Rahsia Basmalah.

Selain mendapat rahmat dan kasih sayang Allah, Basmalah turut memiliki satu rahsia lain yang amat penting, iaitu ia merupakan benteng daripada gangguan syaitan. Perhatikan tunjuk ajar Rasulullah berikut ini: Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Basmalah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam. [Shahih Muslim, no: 2018] Oleh itu apabila kita memasuki rumah atau bilik dengan membaca Basmalah, tidak ada mana-mana makhluk halus yang akan ikut serta, yang akan menggganggu kita di kemudian masa.

Seterusnya Rasulullah juga bersabda: Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Basmalah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut Basmalah). Ikatlah kantong-kantong air kalian dan sebutlah nama Allah (Basmalah), tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah (basmalah), walaupun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian. [Shahih Muslim, no: 2012]

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana mungkin syaitan membuka pintu rumah? Jawapannya, syaitan membuka pintu rumah dengan cara menghasut orang jahat atau pencuri untuk cuba memasuki rumah yang pintunya ditutup tanpa Basmalah. Demikian juga, makanan serta minuman yang ditutup dengan Basmalah tidak akan diganggu oleh syaitan, khasnya syaitan yang diutus oleh tukang sihir untuk menyakiti seseorang.