Pernahkah kita, setelah membuat perancangan untuk bersukan di waktu petang, merungut kerana hujan lebat yang tiba-tiba turun? Pernahkah kita seolah-olah marah kerana cuaca yang amat panas atau amat sejuk? Pernahkah kita merasa tidak puas hati dengan wajah yang dirasakan tidak cukup cantik dan bentuk badan yang tidak seperti diharapkan? Apabila kita merungut, marah atau merasa tidak puas hati, adakah kita menujukannya kepada hujan, cuaca dan badan sendiri atau kepada Yang menurunkan hujan, menukar cuaca dan mencipta rekabentuk kita?

stop_complaining-thumb.jpeg

Saya bagi contoh lain. Apabila makan mee goreng di restoran dan kita merungut rasanya tak sedap, adakah ia salah mee atau salah tukang masak yang menggoreng mee tersebut? Tentulah tukang masak. Demikianlah juga, apabila kita merungut, marah, merasa tidak puas hati dan sebagainya kepada pelbagai urusan alam ini, termasuk diri kita sendiri, kita sebenarnya merungut, marah dan tidak puas hati kepada Allah.

Di sinilah letak kepentingan untuk memahami surah al-Fatihah yang lazim kita baca kerana dalam surah tersebut, kita sebenarnya memuji-muji Allah melalui ayat Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin yang bererti “Segala puji bagi Allah, Tuhan untuk mencipta, mengurus dan mengetahui segalanya berkenaan alam ini”.

 

Allah, Tuhan Alam Ini.

Sebagai umat Islam, kita tidak sekadar beriman bahawa Allah adalah Rabb alam ini, tetapi kita memuji Allah atas kesempurnaan dan keindahan Allah sebagai Rabb bagi alam ini. Rabb dari sudut bahasa bererti tuhan sementara dari sudut aqidah bererti tuhan yang mencipta, mengurus dan mengetahui segalanya berkenaan alam ini. Memandangkan kita juga hidup di dalam alam ini, maka kita juga termasuk penciptaan, pengurusan dan pengetahuan Allah.

Justeru melalui surah al-Fatihah, kita sebenarnya memuji-muji Allah sebagai Rabb alam ini. Kita memuji Allah atan penciptaan alam yang indah lagi menakjubkan ini. Kita memuji Allah atas peredaran matahari dan planet-planet, pertukaran siang dan malam serta cuaca yang berbeza-beza. Kita juga memuji Allah atas segala kurniaan Allah kepada kita merangkumi kehidupan, kesihatan, ilmu, kemampuan bergerak dan pelbagai lagi nikmat yang tidak dapat disenaraikan dalam penulisan ini.

Keimanan dan pujian kita kepada Allah sebagai Rabb alam ini menjadikan kita hanya berharap dan berdoa kepada Allah apabila menghadapi sesuatu kesulitan, dan memanjatkan kesyukuran atas apa-apa kebaikan. Ini kerana hanya Allah sebagai Rabb alam ini yang dapat mengabulkan doa dan membantu kita. Hanya Allah sebagai Rabb alam ini yang layak kita katakan “Terima kasih” yang sebenar-benarnya.

 

Semua Manusia Sebenarnya Percaya Kepada Tuhan

Sebenarnya semua manusia percaya kepada kewujudan tuhan yang mencipta dan mengurus alam ini. Pada zaman Rasulullah misalnya, kaum kafir ketika itu enggan mengikuti agama Islam yang didakwahkan oleh baginda. Namun apabila ditanya “Siapakah yang mencipta alam ini?”, mereka tetap akan menjawab “Allah”. Allah telah beberapa kali menerangkan hakikat ini dalam al-Qur’an, salah satu daripadanya ialah ayat berikut:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), namun kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). [al-Ankabut 29:63]

Meski pun ada satu kumpulan manusia yang mendakwa tidak percaya kepada kewujudan tuhan (atheis), mereka akhirnya akan tetap mencari tuhan, percaya kepadanya dan memohon bantuan kepadanya apabila terperangkap dalam suasana yang genting lagi membahayakan. Satu contoh ialah apabila berada dalam suasana kapal laut yang hampir karam. Allah menerangkan hakikat ini:

Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti bagi tiap-tiap (beriman) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur. Dan (orang-orang yang tidak beriman) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu (tiba-tiba) mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepada-Nya semata-mata. [Luqman 31:31-32]

Apabila manusia percaya kepada kewujudan Allah sebagai Rabb alam ini, ia tidak cukup untuk menjadikan mereka sebagai seorang muslim. Ini kerana seorang muslim bukan sahaja beriman kepada Allah sebagai Rabb tetapi juga tunduk patuh kepada segala perintah dan larangan Allah. Seorang muslim akan menjadikan seluruh hidupnya kepada Allah sahaja, sebagai bukti pengakuan bahawa Allah sahaja adalah Rabb alam ini:

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Rabb alam ini. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang pertama (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya). [al-An’aam 6:162-163]

 

Akan Tetapi…

Di sini mungkin ada yang tertanya, kenapakah berlaku beberapa fenomena “tidak sempurna” dalam alam yang diurus oleh Allah, seperti gempa bumi, angin ribut, tanah runtuh dan lain-lain tragedi alam? Jawapannya, semua fenomena tersebut masih termasuk dalam kesempurnaan pengurusan Allah. Allah menjadikan fenomena tersebut sebagai ujian kepada manusia, sebagaimana firman-Nya:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh)… [al-Baqarah 2:214]

Bahkan ia boleh jadi sebagai azab atas kesalahan yang telah dilakukan: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. [al-Syura 42:30]

Oleh itu tidak ada apa-apa yang tidak sempurna dalam alam ini. Semuanya masih berada dalam ciptaan, pengurusan dan pengetahuan Allah. Justeru kita tetap memuji Allah dengan berkata Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin.