Meski pun Ogos ialah bulan mulia sempena Ramadhan dan sambutan 1 Syawal, pengajian ilmu tidak kita hentikan. Oleh itu disamping beribadah dan bergembira, kita teruskan pengajian kita ke atas huraian surah al-Fatihah.

Setelah Allah berfirman ar-Rahmanir Rahim, Allah meneruskannya dengan Maliki Yaum Middin yang bererti “Raja pada hari pembalasan”. Ia juga boleh bererti “Yang memiliki hari pembalasan”. Kedua-dua pengertian ini saling melengkapi, kerana seorang raja seperti Allah tentu saja memiliki segala-galanya.

fatihah.jpeg 

 

Suatu Peringatan

Apabila Allah menerangkan bahawa Dialah “Yang memiliki hari pembalasan”, ia memberi kesedaran kepada kita semua pada Hari Akhirat kelak, Allah jualah yang memiliki segala-galanya. Ini kerena ketika kehidupan di dunia ini, kita sering lupa kepada Allah, lupa kepada pelbagai nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita, lupa kepada sifat ar-Rahman dan ar-Rahim yang Allah limpahkan kepada kita. 

Sebenarnya, baik di kehidupan dunia mahu pun akhirat, Allah jualah pemiliki segala-galanya. Pemilik apa yang kecil mahu pun besar, pemilik apa yang dapat kita lihat atau yang tersembunyi. Namun kehidupan dunia yang serba menyenangkan ini sering menyebabkan kita lupa kepada Allah, lupa kepada pemilikian-Nya.

Ada pun di Hari Akhirat, suasana yang dahsyat lagi menggerunkan di sana menyebabkan manusia tidak lagi lupa. Mereka akui tanpa ragu bahawa Allah adalah Raja yang memiliki segala sesuatu.

Di sini terdapat hikmah mengapa Allah menyusun ayat Maliki Yaum Middin selepas ayat ar-Rahmanir Rahim. Ia seolah-olah memberi peringatan kepada kita semua bahawa dalam suasana kemurahan dan kasih sayang-Nya di dunia ini, janganlah kita lupa atau menyalah-gunakannya kerana setiap seorang dari kita akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan pada Hari Akhirat kelak.

 

Hari Yang Tidak Ada Alasan

Pada Hari Pembalasan kelak, setiap seorang akan dibalas kebaikan dan kesalahan yang dilakukan ketika hidup di dunia. Ketika pengadilan baik atau buruk, kita tidak lagi diberikan kebebasan untuk berhujah, jauh sekali daripada membuat-buat alasan bagi membela diri sendiri. Pada Hari Pembalasan kelak, yang akan berhujah ialah lidah, tangan dan kaki kita sendiri. Anggota-anggota ini akan menerangkan apa yang pernah disebut, dilakukan dan di mana ia melakukannya, tanpa kita dapat mengawalnya.

Allah menerangkan hakikat ini dengan firman-Nya: Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. [al-Nur 24:24] 

Apabila kita membaca ayat-ayat di atas, hendaklah segera insaf tentang apa yang kita lakukan ketika di dunia ini. Tangan-tangan misalnya, hendaklah kita perhatikan apa yang kita taip dalam emel, SMS, Viber, WhatsApp, Facebook, Tweeter dan pelbagai lagi. Ini kerana tangan kita dengan sendirinya akan menerangkan apa yang kita taip di Hari Pembalasan kelak, khususnya jika ia merupakan sesuatu yang memburukkan orang lain, membuat fitnah dan menyebarkan gossip.

Apa yang kita cakap dan taip berkenaan orang lain bukan sahaja akan didedahkan pada Hari Pembalasan kelak, tetapi ia bakal menjadikan kita muflis. Perhatikan hadis berikut: Daripada Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah bertanya: “Tahukah kalian siapa orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Bagi kami muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta.”

Lalu (Rasulullah) menjelaskan: “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan (membawa pahala) solat, puasa, zakat, akan tetapi (semasa di kehidupan dunia) dia pernah mencaci seseorang, menuduh seseorang (tanpa bukti), memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang.

Maka akan diberikan kepada orang yang dia pernah zalimi itu dari pahala kebaikannya sendiri (pahala solat, puasa zakat) dan begitulah seterusnya kepada orang lain yang dia pernah zalimi itu. Jika telah habis pahala kebaikannya sementara masih berbaki kesalahannya kepada orang-orang yang pernah dia zalimi di dunia dahulu, maka akan diambil dosa kesalahan orang yang dia zalimi itu dan dibebankan ke atasnya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka. [Shahih Muslim, no: 2581]

 

Jangan Lupa Kepada Hari Pembalasan

Setiap kali kita membaca surah al-Fatihah, setiap kali kita sampai ke ayat Maliki Yaum Middin, janganlah kita lupa kepada Hari Pembalasan. Hendaklah kita fikir dan renung apa yang kita sediakan untuk hari tersebut sebagaimana firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. [al-Hasyr 59:19]