ihdinasiratalmustakim.jpeg

Jika ditanya doa apakah yang biasa dipinta, nescaya ramai yang akan menjawab “Saya berdoa agar lulus peperiksaan”, “Kami berdoa agar dapat melanjutkan pengajian ke universiti terbaik”, “Ibubapa pesan agar selalu berdoa agar panjang umur”, “Saya memohon agar diketemukan dengan pasangan hidup yang sesuai”, “Aku berdoa agar menjadi kaya, ada rumah besar dan kereta canggih” dan pelbagai lagi.

Ringkasnya, kebanyakan kita kerap kali atau lebih memberi perhatian kepada mendoakan kebaikan dalam urusan kehidupan dunia ini. Sikap seperti ini perlu diperbetulkan sebagaimana firman Allah: Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia.” (Orang-orang ini akan diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat. [al-Baqarah 2:200]

Sikap yang benar ialah memberi perhatian yang sama rata di antara mendoakan kebaikan dunia dan akhirat, umpama berdoa “Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa ibubapaku”, “Ya Allah, bantulah aku agar sentiasa mensyukuri-Mu dan memperbaiki amal ibadahku kepada-Mu”, “Ya Allah, golongkanlah kami di kalangan orang-orang yang Kamu berikan rahmat dan keampunan”. 

Mendoakan urusan dunia dan akhirat selari dengan tunjuk ajar Allah di dalam al-Qur’an: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitunganNya.” [al-Baqarah 2:201-202]

 

Doa Yang Terbaik

Di antara doa-doa untuk kebaikan dunia dan akhirat, doa manakah yang terbaik? Jawapannya boleh kita dapati dalam surah yang terbaik di dalam al-Qur’an. Ia sememangnya doa yang terbaik sehingga kita membacanya berulang-ulang, minima tujuh belas kali sehari.

Surah yang dimaksudkan ialah al-Fatihah dan doa yang dimaksudkan ialah rangkap “Ihdinas shirathal mustaqim” yang bermaksud “Tunjukilah kami jalan yang lurus”.

Apakah yang dimaksudkan dengan jalan yang lurus? Maksud jalan di sini ialah satu cara atau metodologi dalam beragama. Jika kita perhatikan keseluruhan umat Islam masa kini, akan ditemui mereka menempuh pelbagai jalan, cara atau metodologi dalam beragama.

Ada yang menempuh jalan kerohanian (sufi/tasawuf) sehingga mereka hanya duduk berzikir di tempat-tempat terpencil. Ada yang memilih jalan politik, sehingga Islam itu tidak lain adalah politik sahaja. Ada yang mengambil jalan kekerasan, lalu mereka melakukan aksi-aksi menggerunkan orang ramai (terrorisme). Ada yang menerajui jalan kemodenan, mereka menafsir semula Islam agar sesuai dengan tamadun masa kini. Ada menempuh jalan menolak hadis, konon hanya cukup dengan al-Qur’an. Ada yang mencukupkan diri dalan jalan kebiasaan masyarakat sehingga mengutamakan Islam tradisi di atas al-Qur’an dan al-Sunnah.

Berkenaan pelbagai jalan agama ini, Allah sejak awal telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya: Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’am 6:153] 

Sehubungan dengan ayat di atas, Abdullah ibn Mas’ud menerangkan: (Pada suatu ketika) Rasulullah menggariskan kepada kami satu garisan lalu bersabda: “Inilah jalan Allah.” Kemudian baginda menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: “Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.” 

Kemudian baginda membacakan ayat: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.” [Musnad Ahmad, no: 4142, hasan]

Agar kita berada di jalan yang lurus, hendaklah kita sentiasa mengkaji al-Qur’an dan al-Sunnah serta mempraktikkan Islam secara keseluruhannya. Jalan-jalan yang saya sebutkan contohnya di atas, mereka mengambil Islam dalam bentuk pecahan-pecahan, lalu mengutamakan satu pecahan dan mengabaikan yang lain. 

 

Kepentingan Mendapat Hidayah Ke Jalan Yang Lurus

Dalam pelbagai perkara yang ingin kita doakan, baik untuk dunia mahu pun akhirat, yang terpenting ialah kita berdoa agar Allah sentiasa menunjuki kita ke jalan yang lurus. Kita berdoa agar Allah memberi kita hidayah agar mengenal jalan yang lurus, berada di atas jalan yang lurus dan tidak tersesat dari jalan yang lurus sehingga akhir hayat.

Apabila kita berada di atas jalan yang lurus, kita akan memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Jalan yang lurus tersebut akan menjadikan kita muslim yang cemerlang di dunia dan ahli syurga di akhirat. Doa apakah yang lebih baik daripada ini?

Oleh itu apabila membaca rangkap“Ihdinas shirathal mustaqim” yang bermaksud “Tunjukilah kami jalan yang lurus”, bersungguh-sungguhlah menghayatinya kerana ia adalah satu doa yang penting. Malah yang terpenting.