Apabila Allah menurunkan kepada kita al-Qur’an, ia bukanlah sebuah kitab yang sukar difahami oleh masyarakat umum. Seandainya ia sukar, nescaya ia tidak akan dapat menjadi panduan dan hidayah kepada umat Islam. Pun begitu, al-Qur’an bukan juga sebuah kitab yang dapat difahami sesuka hati. Terdapat beberapa kaedah asas untuk memahami. Di sini saya ingin mengambil kesempatan berkongsi beberapa kaedah tersebut. 

Kaedah Pertama ialah memahami al-Qur’an dengan al-Qur’an. Maksudnya, sebahagian ayat menafsirkan dan memperincikan sebahagian yang lain. Ini kerana al-Qur’an adalah sebuah kitab yang kandungannya selari secara keseluruhan. Tidak ada percanggahan atau perselisihan. Ini ditekankan oleh Allah di dalam al-Qur’an: Patutkah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. [al-Nisa’ 4:82]

straight_lane.jpeg 

 

Kaedah pertama ini juga ditekankan oleh Rasulullah dalam hadis baginda: Sesungguhnya kitab yang diturunkan oleh Allah (al-Qur’an), sebahagian ayatnya membenarkan sebahagian ayat yang lain. Maka janganlah kamu mendustakan sebahagian ayatnya dengan sebahagian yang lain. [Musnad Ahmad, no: 6453/6741, sahih] Maksud sebahagian ayatnya membenarkan sebahagian ayat yang lain ialah ia saling menafsirkan dan memperincikan.

Kaedah Kedua ialah dengan merujuk kepada sunnah Rasulullah. Ini kerana antara peranan baginda ialah menjelaskan al-Qur’an. Peranan ini disebut oleh Allah dalam al-Qur’an melalui firman-Nya: Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya. [al-Nahl 16:44]

Perhatikan firman Allah: “…supaya engkau menerangkan kepada umat manusia…”. Ini jelas menunjukkan peranan Rasulullah terhadap al-Qur’an, iaitu menerangkannya atau menjelaskannya. Penerangan ini boleh jadi dalam bentuk lisan, perbuatan atau kedua-duanya sekali.

Di sini ingin saya tambah dua perkara penting. Pertama, akhir-akhir ini terdapat sebahagian umat Islam yang mendakwa mereka berpegang kepada al-Qur’an sahaja dan mengenepikan sunnah (hadis-hadis) Rasulullah. Sebenarnya mereka ini berdusta. Ini kerana orang yang berpegang kepada al-Qur’an akan juga berpegang kepada sunnah Rasulullah kerana al-Qur’an sendiri telah menjelaskan bahawa sunnah baginda adalah penjelas (penerang) baginya.

Kedua, dalam rangka kita berpegang kepada sunnah Rasulullah, hendaklah diperhatikan bahawa rujukan dan darjat kekuatan sunnah tersebut. Hadis-hadis hendaklah memiliki sumber rujukan dan diterangkan darjatnya berdasarkan penilaian ahli hadis yang muktabar. Jika membaca atau mendengar hadis yang tidak memiliki rujukan dan darjat, maka abaikan hadis tersebut. Ini kerana pada masa kini terdapat banyak hadis yang disandarkan secara dusta atau keliru kepada Rasulullah, meski pun dikemukakan oleh agamawan yang disukai ramai.

 

Maksud Jalan Yang Lurus

Seterusnya marilah kita mempraktikkan dua kaedah di atas untuk memahami ayat dalam surah al-Fatihah “Ihdinas shirathal mustaqim” yang bermaksud “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Apa dan bagaimana jalan yang lurus tersebut dijelaskan oleh rangkap seterusnya dalam surah al-Fatihah itu sendiri:

“Shirathallazi na an’amta ‘alaihim” yang bermaksud “Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka”

Siapa dan bagaimanakah sifat orang-orang yang telah Allah kurniakan nikmat kepada mereka, sehingga mereka itu berada pada jalan yang lurus? Persoalan ini Allah jelaskan dalam ayat yang lain pula: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Shalihin; dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan. [al-Nisa’ 4:69] 

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan siapakah orang-orang yang Allah telah kurniakan nikmat-Nya. Mereka itu ialah para Nabi, orang-orang yang jujur, orang-orang yang mati syahid menegakkan agama Allah dan orang-orang yang shalih. Sifat mereka pula ialah sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya, iaitu sentiasa mentaati firman Allah di dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah. Orang-orang seperti inilah yang berada di atas jalan yang lurus, jalan yang membawanya ke syurga.

Jalan yang lurus ini adalah jalan Allah, yang dipimpin dan ditunjuki oleh Rasulullah. Baginda menjelaskannya dalam hadis berikut: (Pada suatu ketika) Rasulullah menggariskan kepada kami satu garisan lalu bersabda: “Inilah jalan Allah.” Kemudian baginda menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: “Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.” [Musnad Ahmad, no: 3928/4142, hasan]

Kesimpulannya, apabila kita membaca surah al-Fatihah dan berdoa “Tunjukilah kami jalan yang lurus”, ia merujuk kepada jalan orang-orang yang telah Allah kurniakan nikmat-Nya ke atas mereka. Ia merupakan jalan yang dipilih oleh para nabi, siddiqin, syuhada’ dan shalihin. Agar kita berada di atas jalan ini, hendaklah kita mentaati Allah dan mentaati serta mengikuti sunnah Rasulullah. Jauhilah daripada melakukan atau mencenderungi apa-apa yang menyelisihi al-Qur’an dan al-Sunnah, meskipun seluruh masyarakat dan agamawan memandangnya baik.