Alhamdulillah kita sudah sampai ke rangkap terakhir dalam menghuraikan sebuah surah yang agung dalam al-Qur’an, iaitu surah al-Fatihah. Rangkap terakhir ini merupakan sebahagian dari ayat terakhir, iaitu: “Ghairil maghdubi ‘alaihim wa laddhaallin” yang bermaksud “Bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”.

Rangkap terakhir ini merupakan pelengkap kepada doa yang kita baca dalam surah al-Fatihah: “Ihdinas shirathal mustaqim, shirathallazi na an’amta ‘alaihim, ghairil maghdubi ‘alaihim wa laddhaallin” yang bermaksud “Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”.

Demikianlah, setelah berdoa meminta perkara yang positif, kita berdoa dijauhkan perkara yang negatif. Setelah berdoa agar Allah menunjukkan kita jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Allah telah berikan nikmat kepada mereka, kita berdoa agar Allah menjauhkan kita dari jalan orang-orang yang dimurkai-Nya dan yang sesat dari jalan-Nya.

 ghairil.jpg

Orang Yang Dimurkai-Nya

Siapakah orang-orang yang dimurkai oleh Allah? Allah telah menjelaskannya dalam sebuah ayat yang lain: Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang (Yahudi) yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. [al-Maidah 5:60] 

Ayat di atas merujuk kepada orang-orang yang Yahudi. Allah melaknat dan murka kepada mereka di atas pelbagai penyimpangan yang mereka lakukan terhadap agama yang dibawa oleh para Rasul dan Nabi Allah. Disebabkan penyimpangan tersebut, di antara mereka ada yang Allah hukum sehingga bertukar dari manusia menjadi kera dan babi di dunia ini.

 

Orang Yang Sesat

Siapakah pula orang yang sesat dari jalan Allah? Mereka adalah orang-orang Nasrani sebagaimana firman Allah: Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum (sebelum zaman Muhammad) yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul. [al-Maidah 5:77]

Kaum sesat sebelum zaman diutus Muhammad sebagai rasul dalam ayat di atas merujuk kepada orang-orang Nasrani. Mereka juga telah melakukan pelbagai penyimpangan di atas agama tauhid yang asalnya diajar oleh Nabi Isa ‘alaihis salam.

 

Belajar Dari Penyimpangan Yahudi dan Nasrani

Merujuk kepada rangkap terakhir surah al-Fatihah ini, kita berdoa kepada Allah agar tidak menjadi dari kalangan orang-orang yang dimurkai-Nya (Yahudi) dan orang-orang yang sesat dari jalan-Nya (Nasrani). Walaubagaimana pun, sama-sama kita ketahui bahawa doa sahaja tidak cukup, ia hendaklah dilengkapkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Oleh itu, hendaklah kita mengambil iktibar dari penyimpangan yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Penyimpangan utama yang mereka lakukan ialah membuat perkara-perkara baru dalam agama mereka (bid’ah) dalam bab aqidah dan hukum fiqh, lalu menganggapnya sebagai sesuatu yang baik.

Atas dasar ini, hendaklah kita umat Islam sentiasa berwaspada dari membuat atau mengamalkan perkara-perkara baru dalam agama kita. Hendaklah kita kekal pada Islam tulen yang diajarkan oleh Rasulullah agar kita semua terpelihara daripada kemurkaan Allah dan sesat dari jalan-Nya. Hanya Islam tulen yang dapat menjamin kita berada di jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka.

Memandangkan ayat-ayat terakhir surah al-Fatihah merupakan sebuah doa, maka kita mengakhirinya dengan membaca “Amin” yang bererti “Semoga Allah memakbulkannya”.

 

Tiga Jenis Tauhid

Mutiara terindah surah al-Fatihah adalah ia mengandungi unsur-unsur tauhid di dalamnya. Tauhid merupakan intipati terpenting ajaran Islam dan surah al-Fatihah, sebagai surah paling baik dalam al-Qur’an, dipenuhi dengan intipati tauhid.

Jika dicermati keseluruhan surah al-Fatihah, dapat disimpulkan tiga jenis tauhid daripadanya. Pertama adalah Tauhid al-Rububiyyah, yang bererti hanya Allah sahaja yang mentadbir alam ini, dunia dan akhirat. Hanya Allah yang merupakan Rabb (pentadbir, pengurus) alam ini dan hanya Allah yang merupakan Malik (raja, penguasa, pemilik) hari akhirat kelak. Tidak ada sesiapa atau sesuatu yang bersama Allah dalam hal ini.

Kedua adalah Tauhid al-Uluhiyyah, yang bererti hanya kepada Allah kita beribadah dan hanya kepada Allah kita berdoa. Kita tidak beribadah kerana seseorang selain Allah dan kita tidak berdoa kepada seseorang bersama Allah.

Ketiga adalah Tauhid al-Asma wa al-Sifat, yang bererti hanya bagi Allah nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang sempurna. al-Rahman, al-Rahim, al-Malik adalah tiga nama Allah yang dinyatakan di dalam surah al-Fatihah ini. Hanya Allah yang memiliki nama-nama dan sifat-sifat tersebut, tidak ada makhluk lain yang bernama atau bersifat al-Rahman, al-Rahim, al-Malik melainkan Allah.