Di antara kaedah rawatan yang digunakan oleh masyarakat kita bagi merawat penyakit atau mencegah penyakit ialah tangkal. Tangkal-tangkal ini dibacakan jampi-jampian ke atasnya, lalu dipakai atau diikat ke badan dengan keyakinan ia dapat menyembuhkan penyakit atau mencegah daripada ditimpa penyakit. Persoalannya, apakah hukum menggunakan tangkal di dalam Islam?

 

Tangkal Sebagai Rawatan

Jika dirujuk pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, terdapat amalan memakai tangkal bagi merawat penyakit. Dalam satu riwayat Rasulullah melihat seorang lelaki yang ada ikatan tali atau benang di tangannya, lalu baginda bertanya: “Apakah ini ?” Lelaki itu menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung daripada al-Wahinah”, iaitu sejenis penyakit yang menimpa bahu dan seluruh lengan. Lalu Rasulullah bersabda:

 “Tiadalah ia (tangkal tersebut) menambah bagi kamu kecuali kelemahan. Lemparkan ia daripadamu kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat).” [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5067 dengan sanad hasan]

tangkaltangan.jpeg 

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menafikan sebarang manfaat daripada penggunaan tangkal bagi merawat penyakit. Bahkan baginda menegaskan bahawa tangkal itu hanya akan menambah penyakit yang sedang dihadapi. Jika seseorang itu mati dengan keadaan masih menggunakan tangkal, maka ia akan membawa padah kepadanya di Hari Akhirat kelak. Ini kerana semua penyakit sebenarnya diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala, justeru hendaklah kita merawatnya dengan kaedah yang dihalalkan oleh Allah. Tangkal bukanlah kaedah yang halal di sisi Allah sehingga pengamalnya akan disoal dan diazab pada Hari Akhirat kelak.

Perintah Rasulullah: “Lemparkanlah ia daripadamu…” menunjukkan bahawa penggunaan tangkal sebagai rawatan penyakit adalah haram di dalam Islam. 

 

Tangkal Sebagai Pencegahan

Bagaimana pula hukum menggunakan tangkal bagi mencegah sesuatu penyakit? Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, masyarakat pernah menggunakan tangkal bagi mencegah penyakit ‘Ain daripada menimpa unta-unta mereka. Penyakit ‘Ain berlaku apabila seseorang itu memandang orang yang memiliki sesuatu kelebihan – seperti unta yang sihat dan banyak – dengan hati yang penuh kedengkian. Syaitan merebut peluang dengan menyakiti orang yang dipandang itu agar orang yang dengki merasa gembira melihatnya ditimpa dengan sesuatu musibah. Berbeza dengan orang yang selalu bersyukur kepada Allah dengan kelebihan-kelebihan yang dimilikinya, maka dia akan dipelihara oleh Allah daripada penyakit ‘Ain.

Kembali kepada penggunaan tangkal bagi mencegah penyakit ‘Ain, apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat unta-unta yang diikat kalung atau tali sebagai tangkal, baginda memerintahkan: Janganlah dibiarkan di leher unta kalung (yang diperbuat) daripada tali atau (apa-apa jenis) kalung kecuali dilepaskan. [Shahih Muslim, no: 3951/2115]

Perintah Rasulullah untuk melepaskan atau membuang tangkal-tangkal tersebut menunjukkan hukum menggunakannya bagi mencegah penyakit adalah haram juga.

 

Tangkal Secara Umum

Bagaimana pula hukum menggunakan tangkal untuk tujuan selain rawatan dan pencegahan? Jawapannya, ia tetap haram. Ringkasnya penggunaan adalah dilarang untuk apa tujuan sekalipun. Ini kerana, sebagaimana tegas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah (berbuat) syirik. [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5065 dengan sanad hasan] Dalam sebuah riwayat lain baginda menjelaskan hakikat tangkal: 

Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput (sejenis tangkal juga) maka Allah tidak akan mententeramkan baginya (dengan siput tersebut). [Riwayat Ahmad, al-Targhib wa al-Tarhib, no: 5064 dengan sanad hasan]

 

Tangkal Yang Dijampi Dengan al-Qur’an

Dalam edisi yang lepas (Jampi-Jampian Yang Dibolehkan) kita telah pelajari bahawa dibolehkan jampi-jampian dengan ayat-ayat al-Qur’an dan doa-doa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Di sini timbul persoalan, bolehkah menggunakan tangkal yang dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an dan doa-doa yang diajar oleh Rasulullah?

Jika kita menghalusi hadis-hadis di atas, akan didapati Rasulullah melarang penggunaan tangkal tanpa bertanya terlebih dahulu dengan apakah tangkal itu dijampi? Asalkan melihat tangkal, baginda dengan segera memerintahkan ia dibuang.

Ini kerana terdapat perbezaan di antara tangkal dan jampi-jampian al-Qur’an dan doa-doa Rasulullah. Jampi-jampian adalah memohon terus kepada Allah manakala tangkal berperanan sebagai “jalan tengah” antara seorang hamba dengan Allah. Seandainya seorang pengguna tangkal mendakwa bahawa yang sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah dan bukannya tangkal, maka bukankah pertolongan Allah itu dapat diperolehi secara terus, tanpa melalui “jalan tengah”?

Oleh itu, hukum menggunakan tangkal bagi semua tujuan adalah haram dan merupakan syirik kepada Allah tanpa membezakan dengan apakah tangkal itu dijampi. Ayuh, baik ketika sakit atau sihat, kita menjauhi tangkal sejauh-jauhnya berdasarkan pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah (berbuat) syirik.