Azlin di dalam dilemma. Ibunya yang mengerangkan kesakitan sejak beberapa minggu yang lepas disahkan menghadapi batu karang di dalam hempedunya. Doktor hendak melakukan pembedahan bagi membuang batu tersebut, namun ibunya ketakutan apabila sahaja mendengar perkataan “bedah”. Azlin pula menjadi runsing apabila memikirkan kos pembedahan yang agak tinggi.

Sedang Azlin dan ibunya berbincang-bincang tentang pembedahan tersebut, seorang pakcik mereka datang ziarah dari jauh. Beliau mencadangkan “Pembedahan Batin” yang biasa dilakukan oleh seorang ustaz di kampungnya. Melalui pembedahan ini, tidak ada pisau yang akan menakutkan ibu Azlin. Tidak ada kesan luka atau jahitan seperti mana pembedahan biasa. Bahkan keseluruhan kos hanya 10% daripada pembedahan di hospital.

 pembedahan_batin.jpeg

Tawaran itu memang menarik perhatian Azlin dan ibunya. Secara zahir kelihatan Pembedahan Batin adalah lebih baik berbanding pembedahan biasa. Namun Azlin dan ibunya tertanya-tanya, apa dan bagaimanakah Pembedahan Batin tersebut? Pakcik mereka diam seribu bahasa. Inilah yang menyebabkan Azlin berada di dalam dilemma.

 

Hakikat Pembedahan Batin

Pembedahan batin sebenarnya menggunakan khidmat jin. Jin yang dipelihara oleh ustaz atau “doktor” akan ditugaskan melakukan rawatan, umpama mengeluarkan batu karang dalam hempedu ibu Azlin. Ia akan masuk ke dalam tubuh badan pesakit, mencari batu karang dan kemudian keluar bersama batu itu. Jin tersebut telah dilatih dengan pelbagai rawatan lain, umpama membersihkan saluran darah yang tersumbat dan membuang sel-sel barah.

Hukum Pembedahan Batin adalah haram kerana ia menggunakan khidmat jin. Islam melarang kita menggunakan jin untuk apa jua tujuan, termasuklah tujuan yang baik seperti merawat orang yang sakit.

 

Tiga Makhluk Di Alam Ini

Terdapat tiga makhluk di alam ini iaitu malaikat, jin dan manusia. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.” [al-Hijr 15:26-28]

Dalam ayat di atas, dapat difahami bahawa bahawa jin dan malaikat dicipta sebelum manusia. Di antara jin dan malaikat, tidak ditemui keterangan siapakah yang Allah cipta terlebih dahulu. Allah mencipta jin daripada angin api yang amat panas. Di kalangan jin ada yang beriman kepada Allah, disebut sebagai jin muslim. Selain itu ada jin yang tidak beriman kepada Allah, disebut sebagai jin kafir. Di kalangan jin muslim, ada yang benar-benar soleh mengikuti petunjuk serta jalan al-Qur’an dan Rasulullah. Namun ada juga jin muslim yang tidak soleh, yang mengikuti selain petunjuk atau jalan yang lain. Perkara ini diterangkan sendiri oleh makhluk jin sebagaimana yang dirakam dalam al-Qur’an:

Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan (jin) yang shalih (jin muslim) dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. [al-Jin 72:11]

 

Hukum Menggunakan Khidmat Jin

Hukum menggunakan khidmat jin adalah haram dan orang yang memanfaatkan perkhidmatan mereka akan dihukum di dalam neraka pada Hari Akhirat kelak. Allah Subhanahu waTa'ala menerangkan hukum ini dengan firman-Nya:

Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah memiliki banyak pengikut-pengikut dari golongan manusia.” 

Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat perkhidmatan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan kami telah sampai kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami.” 

(Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya kecuali apa yang dikehendaki Allah.” Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. [al-An’aam 6:128]

 

Hukum Menggunakan Khidmat Jin Muslim

Di sini timbul persoalan, apakah hukum menggunakan khidmat jin muslim? Jawapannya diterangkan sendiri oleh para jin muslim sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Qur’an: Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka (manusia tersebut) dosa dan kesalahan. [al-Jin 72:06]

Jin adalah makhluk ghaib sehingga kita tidak tahu sama ada ia muslim atau tidak. Sekalipun ia seorang muslim, kita tidak tahu sama ada ia muslim yang soleh atau sebaliknya. Satu cara untuk mendapatkan kepastian ialah jin muslim yang benar-benar soleh tidak akan berkhidmat kepada manusia. Apabila diminta perkhidmatannya, ia akan membacakan ayat keenam surah al-Jin di atas. Adapun jin-jin yang kafir atau muslim tetapi tidak soleh, ia dengan senang hati akan menawarkan perkhidmatannya.

Oleh itu seorang ustaz yang bertaqwa kepada Allah lagi benar-benar berilmu tidak akan menawarkan Pembedahan Batin. Sebaliknya dia akan menasihatkan pesakit untuk melakukan pembedahan biasa di hospital sambil berdoa dan bertawakal kepada Allah.