Mutiara Doa

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada menyekutukan Engkau padahal aku mengetahui dan aku memohon keampunan Engkau (daripada menyekutukan Engkau dengan sesuatu) yang tidak aku ketahui. [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 3731]

 

Beberapa pengajaran doa:

1.      Di atas ialah doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. untuk kita menghindari musuh ikhlas, iaitu riya’ dan sum’ah.

2.      Orang yang riya’ dan sum’ah sebenarnya menyekutukan Allah (syirik) kerana dia melaksanakan sesuatu ibadah untuk orang lain, selain Allah. Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan: “Mahukah aku khabarkan kepada kalian dengan sesuatu yang lebih aku bimbangi ke atas kalian daripada al-Masih al-Dajjal?” Para sahabat berkata: “Sudah tentu!” Maka Rasulullah menjawab: “(Ia adalah) syirik yang tersembunyi, yakni seseorang yang bersolat lalu dia memperkemaskan solatnya kerana mendapati ada orang yang memandangnya.” [Sunan Ibn Majah, no: 4204 dengan sanad yan hasan]

3.      Secara umum, doa ini baik dibaca setiap kali selepas solat fardhu. Secara khusus, ia baik dibaca apabila seseorang itu berada dalam situasi di mana wujud kemungkinan terlintas di hatinya perasaan riya’ atau sum’ah.