Soalan

Adakah berdosa jika seseorang itu mencukur bulu kening sempena pernikahan dan juga menggunakan sejenis cecair kosmetik untuk menanggalkan bulu roma?

Norhafisah, Perlis.

Jawapan:

Dilarang mencukur buku kening berdasarkan hadis berikut: “Allah melaknat para wanita yang mentatu dan meminta ditatu, mencukur bulu kening dan meminta dicukur bulu kening dan yang menjarakkan gigi untuk kecantikan (yang sebenarnya semua itu bersifat) merubah ciptaan Allah.” [Shahih al-Bukhari, no: 4886] Berdasarkan kaedah analogi (qiyas), dilarang juga melakukan apa-apa perubahan pada tubuh badan atas alasan menambah kecantikan. Akan tetapi para ilmuan Islam membolehkan perubahan yang dilakukan atas sebab perubatan, kecacatan atau untuk mengelak daripada menyerupai lelaki. Maka tidak boleh membuang bulu roma kecuali jika ia amat lebat dan panjang sehingga menyerupai lelaki. Dalam kes sedemikian patut dibuang bulu roma yang lebat dan panjang itu kerana: “Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 5885]

Soalan

Saya memiliki kening yang agak tebal dan memandangkan saya akan menikah hujung tahun ini, rakan saya mencadangkan kening itu diperkemaskan. Apakah hukumnya?

Fatin, Ampang, Selangor.

Jawapan:

Jika anda bakal menikah, maka yang sepatutnya diambil kira ialah pandangan bakal suami, bukan sekian-sekian rakan. Siapa tahu, mungkin kening itulah yang menjadi daya tarikan utama bakal suami anda!