Soalan:
Saya akan pergi melanjutkan pengajian di luar negara. Di sana sukar mendapat makanan muslim kecuali sembelihan orang Yahudi. Bolehkah saya memakannya?

Zahra, Bagan Datoh, Perak.

Jawapan:
Sembelihan Ahli Kitab, yakni kaum Yahudi (Jews) dan Nasrani (Christians), adalah halal hukumnya berdasarkan firman Allah: “Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu.” [Surah al-Maidah, ayat 5] Sebahagian orang meragui kemudahan ini yang Allah berikan kepada kita umat Islam dengan alasan Ahli Kitab masa kini tiada yang benar-benar berpegang kepada kitab suci mereka. Alasan ini ditolak, bahawa sikap Ahli Kitab yang menyeleweng itu sudah sedia ada pada zaman Rasulullah s.a.w., namun Allah tetap menurunkan ayat di atas.

Namun bezakan bahawa yang dihalalkan ialah sembelihan mereka. Adapun cara masakan, hendaklah diperhatikan sama ada mereka mencampurkan benda yang tidak dihalalkan bagi kita umat Islam.