Soalan:
Saya suka menggunakan produk-produk kecantikan, termasuklah krim pemutih kulit memandangkan kulit saya agak gelap. Adakah penggunaan produk ini salah di sisi agama kerana cuba mengubah kejadian Allah?

Putri Rania, Permatang Pauh, Pulau Pinang.


Jawapan:

Menggunakan krim pemutih tidak termasuk dalam kategori “mengubah kejadian Allah” kerana keberkesanannya masih dipersoalkan. Ia hanya kelihatan berkesan kepada model-model yang mengiklankan produk itu, tidak kepada jutaan pengguna yang terikut-ikut dengan iklan tersebut. Namun di sebalik itu penggunaan produk krim pemutih memiliki kesan sampingan yang memudaratkan. Ini kerana kehitaman dalam kulit manusia berperanan menapis pancaran atau gelombang cahaya matahari yang merbahaya. Apabila kehitaman itu dihilangkan, kulit akan terdedah kepada cahaya yang merbahaya hingga akhirnya, dalam jangka masa yang dekat atau jauh, akan menyebabkan kanser kulit dan lain-lain penyakit kulit. Maka tidak dianjurkan mengguna krim pemutih kulit kerana Allah berfirman: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” [Surah al-Baqarah, ayat 195]