Soalan:

Apakah hukumnya kita memohon kepada Allah agar dikembalikan kepada-Nya (mati) kerana tidak menyukai kehidupan kita di dunia ini?

Rohaiza, Temerloh, Pahang.

Jawapan:

Hukum doa sedemikian adalah ia dilarang berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Janganlah salah seorang di antara kalian mengharapkan kematian dan janganlah berdoa agar cepat mati sebelum kematian itu mendatanginya." [Shahih Muslim, no: 2682]

Soalan yang lebih penting ialah, kenapa anda tidak menyukai kehidupan di dunia ini? Semua orang, sekalipun yang kita lihat sebagai menyukai kehidupan ini, memiliki cabaran dan masalah. Bezanya, mereka menjadikan cabaran itu sebagai sesuatu yang memotivasikan kehidupan mereka, bukan sebaliknya.

Lebih dari itu, seandainya Allah mentakdirkan sesuatu cabaran yang tidak disukai, tidaklah bererti Allah mengkehendaki keburukan kepada orang itu. Bahkan Allah mengkehendaki kebaikan pada dirinya sebagaimana firman-Nya: "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya" [Surah al-Baqarah, ayat 216].

Justeru jika kehidupan anda memiliki banyak cabaran sehingga anda tidak menyukainya, ia adalah kerana anda tidak mahu menjadikan cabaran itu sebagai motivasi hidup dan mengubahnya menjadi sesuatu yang baik lagi disukai. Jangan memohon untuk kembali kepada Allah sebaliknya memohonlah agar Allah memberi anda kekuatan, bimbingan dan ilmu untuk mengatasi cabaran-cabaran itu. Bukankah Allah telah berjanji: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." [Surah al-Ra'd, ayat 11]

Pengecualian diberikan kepada orang yang menghadapi penyakit yang tenat atau parah dan berada diambang-ambang antara hidup dan mati. Bagi orang seperti ini dibolehkan baginya berdoa: "Ya Allah! Hidupkanlah aku selagi mana kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku selagi mana kematian itu baik bagiku." [Shahih Muslim, no: 2680]