Soalan : 

Bagaimana untuk kita mengetahui Allah menerima taubat kita?

 

Jawapan:

Jika amal shalih dapat menghapuskan dosa-dosa kecil, maka taubat dapat menghapuskan dosa-dosa besar. Rukun taubat ada empat, iaitu (1) menyesali perbuatan salah yang dilakukan, (2) memohon keampunan Allah, (3) berazam untuk tidak mengulanginya dan (4) memperbanyakkan amal shalih. Sebesar mana sekalipun dosa seseorang, Allah tetap akan mengampuninya apabila dia bertaubat:

Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53-54]

Berdasarkan ayat di atas, yakinilah Allah akan menerima taubat kita dengan mengampunkan semua dosa kita, sebesar dan sebanyak mana sekalipun. Di sini orang yang bertaubat perlu waspada dengan bisikan syaitan yang sering meragukan dia, konon taubatnya tidak diterima. Atas keraguan ini, dia kembali melakukan dosa-dosa besar sepertimana sebelumnya.