Soalan : 

Adakah batal solat sekiranya najis cicak jatuh di atas kain sembahyang?

Nurul, Kangar, Perlis.

 

Jawapan:

Bagi soalan ini ada beberapa keadaan:

  • Kehadiran najis diketahui sebelum solat, hendaklah dibersihkan. 

  • Kehadiran najis diketahui ketika sedang solat, jika ia kering maka ditepis ke tepi dan teruskan solat. Pergerakan yang perlu untuk menjaga kemaslahatan solat, tidak membatalkan solat sekalipun melebih tiga kali. Jika ia basah atau tidak dapat ditepis, maka hentikan solat, bersihkannya dan mulakan solat dari awal semula.

  • Kehadiran najis diketahui selepas solat, maka tidak perlu mengulangi solat itu. Namun najis dibersihkan untuk solat yang akan datang.

Apabila dikatakan najis, ia merujuk kepada najis yang dikenali secara pasti (yakin). Jika ragu-ragu atau tiada bukti jelas, maka yang dikira ialah tiada najis. Semua keadaan di atas merujuk kepada  tindakan Rasulullah yang pernah solat sebagai imam dengan memakai kasut. Ketika solat, baginda diberitahu oleh malaikat Jibrail bahawa ada najis di kasutnya. Baginda lantas membuka kasutnya, meletaknya di tepi dan meneruskan solat. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 650] Baginda tidak mengulangi solat tersebut.