Soalan:

Bolehkah kita mengatakan si fulan masuk syurga kerana amalan sekian-sekian, si fulan masuk neraka kerana amalan sekian-sekian?

Aini, Pontian, Johor. 

Jawapan:

Tanggungjawab kita ialah memberi motivasi apabila seseorang itu melakukan amalan yang bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah serta memberi teguran apabila seseorang itu melakukan amalan yang menyelisihinya. Adapun syurga atau neraka, itu adalah hak Allah. Allah adalah satu-satunya hakim yang akan menentukan di Hari Akhirat kelak sama ada seseorang itu berdasarkan seluruhnya amalannya, zahir dan batin, akan masuk syurga atau neraka. 

Apabila kita menghukum seseorang itu ke syurga atau neraka, kita telah mengambil alih peranan Allah dan ini saja adalah satu kesalahan yang amat besar.Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Rasulullah pernah menerangkan tentang satu umat sebelum mereka yang di antaranya ada seorang yang bersungguh-sungguh beribadah sementara seorang lagi lazim berbuat dosa. Ahli ibadah itu kerap kali menegur yang berbuat dosa hingga pada satu ketika dia berkata: “Demi Allah! Allah tidak akan mengampunkan engkau atau Allah tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga.”

Apabila kedua-duanya meninggal dunia, Allah memasukkan orang yang banyak berbuat dosa itu ke dalam syurga disebabkan oleh Rahmat-Nya dan orang itu sendiri di akhir hayatnya telah bertaubat. Adapun ahli ibadah, Allah memasukkannya ke neraka dengan sebab: “Apakah engkau mengetahui tentang Aku atau apakah engkau berkuasa atas apa yang berada di tangan-Ku?” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4901]

Oleh itu jangan sekali-kali menentukan diri anda atau orang lain sebagai penghuni syurga atau neraka. Ia adalah hak Allah yang tidak ada campur tangan manusia sama sekali.