Soalan: 

Bolehkah saya berubat dengan bomoh Siam untuk gangguan sihir yang saya hadapi?

Noraini, Masai, Johor.

 

 

Jawapan: 

Menggunakan sihir, sama ada untuk menyihir seseorang atau mengubati orang yang disihir hukumnya haram dan kafir. Ini kerana penggunaan sihir oleh semua pihak untuk apa jua tujuan hukumnya kafir sebagaimana firman Allah: Padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya). [al-Baqarah 2:102]

 

Ketahuilah sama ada menjadi atau tidak sesuatu buatan sihir, ia adalah kerana izin Allah: Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorangpun melainkan dengan izin Allah. [al-Baqarah 2:102] Demikianlah juga, apabila Allah mengizinkan – dengan sebab hikmah dan ujian yang diinginkan-Nya – perbuatan sihir menjadi ke atas diri anda, hendaklah anda memohon kepada Allah untuk menghilangkan perbuatan sihir tersebut. 

 

Apa jua cara pengubatan tidak akan bermanfaat jika anda sendiri tidak memiliki aqidah yang benar tentang Allah dan tidak melazimkan diri dengan kehidupan yang diredhai oleh Allah. Oleh itu berubatlah dengan orang yang menghubungkan anda dengan Allah, membetulkan aqidah anda kepada Allah dan menjadikan setiap saat kehidupan anda hampir kepada Allah.