Soalan

Bagaimana cara sebaik-baiknya untuk kita mengingati Allah ketika sedang bekerja?

Amna Aulia, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Perkara ini ada disentuh dalam firman Allah berikut ini: Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang, lelaki-lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual-beli dari mengingat Allah, mendirikan sembahyang dan membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan pengelihatan menjadi goncang. (Mereka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan dan supaya Allah menambah kurniaan-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas. [al-Nur 24:36-38]

Meskipun ayat ini menyebut kaum lelaki, tetapi ia juga merangkumi kaum wanita. Ciri-ciri terpuji bagi lelaki dan wanita yang bekerja ialah mereka [1] bertasbih kepada Allah di dalam masjid-masjid pada waktu pagi (selepas Subuh) dan petang (selepas Asar), [2] perniagaan dan kerjaya mereka tidak melalaikan mereka daripada berzikir, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat.

Mereka juga [3] takut kepada Hari Akhirat di mana hati dan pengelihatan menjadi goncang kerana kedahsyatan hari tersebut. Perasaan takut ini mereka terjemahkan dengan bekerja secara amanah, jujur dan penuh tanggungjawab kerana sedar apa yang mereka lakukan diperhatikan oleh Allah dan akan dihitung pada Hari Akhirat kelak. Di sini penting untuk disedari bahawa termasuk dalam erti zikir ialah kesedaran dan ingatan yang berterusan di dalam hati bahawa Allah melihat kerja yang mereka lakukan. Atas zikir ini, mereka akan bekerja sebaik mungkin. 

Hakikat ini dijelaskan oleh Allah dalam sebuah ayat yang lain: Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. [al-Taubah 9:105]

Demikianlah petunjuk al-Qur’an tentang berzikir di tempat kerja.