Saya teringat beberapa ketika yang lalu apabila bersembang-sembang santai dengan seorang rakan. Perbincangan kami pada mulanya umum, namun kemudian rakan saya melencong ke arah politik tanah air.

Kawan: “Hafiz, apa pandangan engkau tentang pemerintah negara kita ni?”

Saya: “OK saja. Ada kebaikan dan adalah kelemahan.”

Kawan: “Huh! Mana ada OK?” Lalu beliau dengan bersemangat menceritakan kelemahan-kelemahan pemerintah sekarang ini dari aspek penyalahgunaan wang negara, kezaliman dan tidak melaksanakan hukum Islam.

Lalu saya menjawab: “Oh, semua kelemahan tersebut adalah satu kelaziman.”

rakyat_malaysia.jpeg

 

Kawan: “Maksudnya?” Saya: “Maksud saya, meski pun kita menukar pemerintah pada pilihanraya yang akan datang dan akan datang dan akan datang, pemerintah-pemerintah tersebut tetap akan memiliki kelemahan-kelemahan yang sama.”

Kawan: “Oh, saya sungguh tidak bersetuju!”

 

Saya: “Tak mengapa jika tidak bersetuju. Akan tetapi kamu kena sedar bahawa kelemahan yang sebenar terletak pada rakyat. Rakyat mahukan pemimpin yang sempurna namun mereka sendiri tidak sempurna. Rakyat mahukan pemimpin yang amanah dalam pengurusan harta negara, namun rakyat sendiri tidak amanah. Perhatikan betapa harta negara dan umum yang disalah guna dan dirosakkan oleh rakyat?

Rakyat mahukan pemimpin yang adil, namun rakyat sering kali zalim dalam menilai pemimpin. Rakyat mahukan perlaksanaan hukum Islam, namun rakyat sendiri tidak melaksanakannya dalam kehidupan harian mereka.”

Kawan: “Huh, pertama kali saya mendengar bahawa rakyat yang dipersalahkan dalam urusan pemerintahan negara!” 

Saya: “Bukan begitu. Apa yang benar ialah kita mahukan pemerintah dan rakyat, kedua-duanya memiliki sifat berilmu, amanah, bertanggungjawab, adil dan saling membantu. Lebih dari itu perhatikan bahawa pemerintah lahir daripada rakyat, dipilih oleh rakyat dan dibantu oleh rakyat. Siapa dan bagaimana pemerintah sesebuah negara sebenarnya adalah cerminan siapa dan bagaimana kebanyakan (majoriti) rakyat negara tersebut.”

Kawan: “Saya tetap tidak setuju. Saya yakin jika pemerintah adalah baik, maka rakyat akan gembira dan berpuas hati. Tiada bantahan, tiada rungutan, tiada demonstrasi.” 

Saya: “Baiklah. Setuju atau tidak jika saya katakan Rasulullah adalah seorang pemerintah yang terbaik?” Kawan: “Setuju. Oleh kerana itulah tidak siapa yang membantah pada zaman pemerintah baginda.”

Saya: “Baiklah, jika begitu perhatikan hadis berikut…” Lalu saya menyebut hadis berikut secara ringkas: Abu Sa’id al-Khudri berkata: Ketika kami berada di sisi Rasulullah yang sedang membahagikan (harta rampasan perang), tiba-tiba baginda didatangi seorang laki-laki dari Bani Tamim yang berkata: “Wahai Rasulullah! Berlaku adillah!” 

Rasulullah menjawab: “Celaka kamu, siapakah lagi yang akan berlaku adil kalau tidak aku yang berlaku adil. Sungguh, aku rugi (di sisi Allah) sekiranya aku tidak berlaku adil.”

Maka Umar bin al-Khaththab berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku untuk menebas lehernya.” Rasulullah menjawab: “Tinggalkanlah dia, sesungguhnya dia memiliki sahabat-sahabat di mana salah seorang daripada kalian akan memandang remeh solatnya jika dibanding dengan solat mereka, puasanya terhadap puasa mereka. Mereka pandai membaca al-Qur`an namun tidak sampai melewati tenggorok mereka (yakni tidak difahami dan diamalkan). [Sebahagian hadis Shahih Muslim, no: 1765/1064]

Saya melanjutkan: “Perhatikan bagaimana ada orang yang tidak mengetahui hikmah di sebalik pembahagian harta rampasan perang yang berbeza-beza, lalu meminta Rasulullah bersikap adil. Dalam erti kata lain, dia memandang Rasulullah zalim dalam pembahagian harta. Orang ini pula bukan calang-calang orang. Ibadahnya mengalahi ibadah para sahabat yang lain. Dia juga membaca al-Qur’an, hanya dia tidak memahami dan mengamalkan al-Qur’an.”

Kawan: “Kesimpulan yang cuba engkau buat dari hadis tersebut?”

Saya: “Manusia lazimnya ada sikap suka merungut, tidak adil dalam menilai, dengki pada kelebihan orang lain, menyebarkan gosip berbau fitnah dan jahil dalam urusan pemerintahan. Pemerintah sebaik mana sekalipun, rungutan, tuduhan, kedengkian, fitnah dan kejahilan tetap akan wujud di kalangan rakyat.

Justeru dalam rangka kita inginkan pemerintah terbaik, kita juga mesti menjadi rakyat terbaik. Mana-mana pemerintah jua, dia tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dengan baik jika rakyat tidak baik. 

Oleh itu usah sekadar fokus kepada mahukan pemerintah terbaik. Akan tetapi fokus juga kepada mahukan rakyat terbaik. Jangan asyik merungut Pemerintah oh pemerintah!, tetapi fokus juga kepada Rakyat oh rakyat!