Pada peluang ini saya ingin berkongsi bersama para pembaca sekalian sebuah hadis qudsi, semoga ia menjadi tazkirah (peringatan) dan motivasi kepada kita semua. Hadis tersebut bersumber daripada Anas bin Malik, bahawa dia mendengar Rasulullah bersabda, Allah tabaraka wa ta'ala berfirman:
 
Wahai anak Adam, tidaklah engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku melainkan Aku ampuni dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Ku nescaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.
 
Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan beliau menilainya hasan gharib. Syaikh al-Albani pula menilainya sahih sebagaimana dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3463/3450.
 
langit_dan_bumi.jpeg 

 

Hadis ini menyentuh berkenaan dosa dan sifat Allah yang Maha Pengampun, setinggi mana atau sebesar mana dosa tersebut. Berbuat salah dan dosa adalah sifat kelaziman manusia, namun selagi mana manusia kembali merujuk kepada Allah, Allah akan mengampuni dosa-dosa tersebut.
 
 
Dua Etika Berdoa
 
Hadis ini dimulakan dengan dua etika dalam berdoa. Pertama, permohonan doa tersebut hendaklah ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak boleh menujukan doa kepada seseorang selain Allah, tidak boleh menujukan doa kepada seseorang bersama Allah. Doa merupakan salah satu urusan aqidah, maka hendaklah kita berhati-hati agar tidak melakukan syirik dalam rangka berdoa.
 
Kedua, permohonan doa hendaklah dengan hati yang sedar dan berharap. Usah berdoa dengan hati yang lalai, putus asa atau ragu-ragu. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah mengingatkan: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian meyakini ia akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa daripada hati yang lupa lagi lalai. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3401/3479]
 
Kedua-dua etika inilah yang dimaksudkan di awal hadis qudsi di atas: “…engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku”. Oleh itu apabila seseorang berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa-dosanya dan dia benar-benar berharap agar Allah mengampunkan dosa-dosa, maka sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam hadis qudsi di atas, Allah akan mengampuni dosa-dosa tersebut.
 
 
Dosa Setinggi Langit, Sebesar Bumi.
 
Bagaimana jika seseorang itu pernah melakukan maksiat dan kesalahan sehingga dosanya setinggi langit dan sebesar bumi? Jawapannya terdapat di dalam hadis qudsi tersebut: Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli.
 
Apa yang penting ialah jangan berputus asa daripada keampunan Allah. Allah berfirman di dalam al-Qur’an: Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53-54]
 
Jangan berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah. Berdoalah kepada Allah sahaja agar dosa-dosa tersebut diampuni-Nya dan berharaplah agar Allah memakbulkan doa agar diampuni dosa-dosa tersebut.
 
Seterusnya hendaklah berbaik sangka dan yakin kepada sifat Allah yang Maha Pengampun. Allah telah berjanji bahawa jika kita datang dengan dosa sebesar bumi, Allah akan menyambut kita dengan keampunan sebesar bumi juga. Firman Allah dalam hadis qudsi di atas: Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Ku nescaya aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.
 
Janganlah pula kita berburuk sangka kepada Allah dengan meragui keampunan-Nya dan menganggap Allah keberatan untuk memaafkan kita sebagaimana sebahagian manusia yang enggan memaafkan kesalahan manusia yang lain. Janganlah juga kita menganggap Allah umpama manusia yang sebahagiannya “memaafkan tetapi tidak melupakan”. Maha suci Allah dari sifat sedemikian.
 
 
Tauhid Kunci Keampunan
 
Semua janji Allah di atas adalah dengan syarat, kita tidak mati dalam keadaan melakukan syirik atau menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Perhatikan semula hadis qudsi tersebut: “…kemudian engkau menemui-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Ku …” Tauhid ialah kunci kepada keampunan, rahmat dan syurga Allah manakala syirik ialah penghalang bagi kunci tersebut.
 
Menyentuh berkenaan syirik dan keampunan Allah, ia terbahagi kepada dua fasa. Fasa Pertama ialah apabila seseorang itu pernah melakukan syirik dalam kehidupannya lalu dia memohon ampun atau bertaubat, maka Allah akan mengampunkannya. Fasa Kedua ialah apabila seseorang berterusan melakukan syirik sehingga ke saat sakratul maut lalu dia memohon ampun atau bertaubat, maka Allah tidak akan mengampunkannya. Sabda Rasulullah: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorok. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3460/3537]
 
Masalahnya, tiada siapa yang tahu bilakah malaikat maut akan datang untuk mengambil nyawanya. Oleh itu sebelum malaikat maut tiba-tiba muncul di hadapan, hendaklah kita menyemak agar diri kita bebas daripada apa-apa kepercayaan atau amalan syirik.