Bulan ini kita teruskan dengan kajian kita terhadap ayat 34 surah al-Nisa’. Jika rangkap pertama ayat ini menetapkan ciri suami sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas isterinya, maka rangkap kedua ayat ini menerangkan ciri seorang isteri pula. Rangkap kedua yang dimaksudkan ialah firman Allah: Maka isteri-isteri yang soleh itu ialah yang taat dan yang memelihara (ketaatan tersebut) ketika suami tidak hadir bersama, dengan apa yang Allah pelihara. Marilah kita mengkaji ayat ini dengan lebih mendalam.

 

husbandwife.jpeg

Ciri Isteri Yang Soleh.

Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan tentang orang yang beriman dan beramal soleh. Salah satu di antaranya ialah firman Allah: Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. [al-Baqarah 2:25] Bahkan orang-orang yang soleh ini kedudukan mereka setaraf dengan para Nabi, Siddiqin dan yang mati syahid. Firman Allah: 

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqin (jujur dan benar), dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang Soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan. [al-Nisa’ 4:69]

Demikianlah besar dan hebatnya ganjaran isteri yang soleh. Apakah amalan seorang isteri yang membolehkan dia mencapai darjat seorang yang soleh? Soalan ini dijawab oleh rangkap kedua ayat 34 surah al-Nisa’, iaitu taat dan yang memelihara (ketaatan tersebut) ketika suami tidak hadir bersama, dengan apa yang Allah pelihara.

 

Ketaatan Seorang Isteri.

Dalam rangkap kedua ayat 34 surah al-Nisa’, Allah menggunakan perkataan “Qanitatun” yang berasal daripada perkataan “Qunut”, bererti berterusan dalam ketaatan. Seorang isteri tidak akan mencapai darjat soleh jika dia hanya mentaati suaminya secara sekali-sekala. Ini sebagaimana peranan seorang suami yang berterusan dalam bertanggungjawab ke atas isterinya, maka isterinya pula berterusan dalam mentaati suaminya. 

Di antara ahli ilmu ada yang berpendapat taat yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah ketaatan kepada Allah. Pun begitu, mereka meneruskan bahawa antara ketaatan kepada Allah ialah mentaati suami yang telah diberi tanggungjawab oleh Allah untuk mengurusi mereka. Dalam erti kata lain, ketaatan kepada Allah ialah dengan mentaati suami yang melaksanakan tanggungjawabnya.

Di sini terdapat satu pelajaran penting bahawa suami ialah jalan atau wasilah untuk seorang isteri beribadah kepada Allah dan menempah tiket ke syurga. Apabila seorang isteri taat kepada suami, dia sebenarnya taat kepada Allah, beribadah kepada Allah dan membuka pintu syurga Allah untuk dirinya sendiri. Berkenaan pintu syurga ini, Rasulullah bersabda: 

Apabila seorang wanita (isteri) mendirikan solat lima waktunya, berpuasa dalam bulan Ramadhannya, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, dikatakan kepadanya: “Masukilah syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu sukai”. [Musnad Ahmad, no: 1661 dengan sanad hasan]

 

Taat Depan Dan Belakang.

Apabila dikatakan berterusan mentaati suami, ia bukan sekadar apabila di hadapan suami tetapi meliputi juga di belakang suami. Maksud di belakang suami ialah ketika suami tidak hadir bersama atau di luar pengetahuan suami. Sebagai contoh, jika suami melarang daripada memakai solekan, maka hendaklah ditaati larangan ini. Jangan ketika hendak keluar rumah tidak memakai apa-apa solekan namun setibanya di pejabat, terus dikenakan pelbagai solekan. Kemudian apabila hendak pulang ke rumah, dibersihkan semua kesan solekan tersebut.

Berterusan mentaati suami meski pun di belakangnya, inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah: dan yang memelihara (ketaatan tersebut) ketika suami tidak hadir bersama.

 

Syarat Ketaatan.

Seterusnya Allah berfirman: … dengan apa yang Allah pelihara. Ertinya, ketaatan seorang isteri kepada suaminya hanya terhad kepada perkara-perkara yang dikehendaki oleh Allah. Dalam susun kata yang lain, ketaatan tersebut hendaklah selari dengan syari’at Islam. Tidak ada ketaatan dalam perkara-perkara mungkar, sebagaimana tegas Rasulullah: Diwajibkan mendengar dan taat ke atas setiap muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tiada wajib mendengar dan tidak wajib taat. [Shahih al-Bukhari, no: 7144]

Ringkasnya, ketaatan boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, dalam perkara-perkara yang selari dengan syari’at Islam, maka isteri hendaklah taat kepada suami. Ini seperti mentaati larangan suami agar tidak memakai solekan kerana ia termasuk berhias (tabarruj) yang dilarang oleh Islam. Kedua, dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan syari’at Islam, maka isteri tidak perlu taat kepada suami. Ini umpama suami yang menyuruh isteri untuk mendedahkan auratnya, maka tidak perlu mentaati suruhan tersebut kerana ia bertentangan dengan syari’at Islam.

Ketiga, dalam perkara-perkara yang harus atau mubah, maka ia terserah kepada budi bicara dan persefahaman di antara suami dan isteri. Pun begitu, adalah lebih baik jika isteri mengikuti kesukaan serta pilihan suami kerana yang sedemikian dapat menaikkan darjatnya ke tahap isteri yang terbaik. Ini merujuk kepada sebuah hadis di mana Rasulullah pernah ditanya tentang ciri-ciri isteri yang baik. Baginda menjawab: “Wanita yang membahagiakan (suaminya) jika dipandang, mentaatinya jika diperintahkan dan tidak menyelisihi berkenaan dirinya dan hartanya dengan apa yang tidak disukai (oleh suami).” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3231]

 

Susah Untuk Taat?

Apabila berbicara tentang ketaatan kepada suami, mungkin ada di antara para pembaca yang merasa tidak senang. Bahkan mungkin ada yang membacanya sambil mengeleng-geleng kepala, tanda mengingkarinya.

Sedarilah bahawa ketaatan ini bukanlah sesuatu yang merupakan adat kebiasaan manusia – sepertimana yang kerap dikatakan oleh kaum modenis dan pembela hak wanita kebaratan – namun ia adalah firman Allah di dalam al-Qur’an al-Karim dan sabda Rasulullah. Apabila kita merasa berat atau ingkar, hendaklah bersikap jujur kepada diri sendiri dan bertanya, adakah saya bersifat angkuh (ego) untuk taat kepada suami?