hus_n_wif_back_to_back.jpeg

Nusyuz bererti tinggi. Apabila Allah berfirman: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang nusyuz…, ia bermaksud isteri-isteri yang tinggi diri terhadap suaminya. Tinggi diri di sini bermaksud melawan suami, biadap terhadap suami dan tidak mengendahkan suami. Oleh kerana itulah, perkataan nusyuz kerap kali diterjemah sebagai derhaka kepada suami. Dalam kolum bulan ini, kita akan meneruskan kupasan atau huraian ke atas ayat 34 surah al-Nisa’, kali ini merujuk kepada rangkap:

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan yang bertujuan mengajarnya).

 

Suami Perlu Sentiasa Prihatin

Dalam rangkap di atas Allah menggariskan tiga langkah bagi menangani isteri yang nusyuz. Namun perhatikan di permulaan ayat, di mana Allah berfirman … yang kamu bimbang nusyuz…. Di sini terdapat petunjuk yang amat penting, iaitu suami hendaklah sentiasa prihatin terhadap sikap isterinya dan mengambil langkah-langkah awal sebelum berlakunya nusyuz. 

Ini kerana jika suami leka, maka amatlah sukar untuk menangani isteri yang sudah nusyuz. Apatah jika sudah terlewat, maka tidak jarang suami akan terus melompat ke langkah memukul isteri tanpa terlebih dahulu menasihati beliau.

Oleh itu hendaklah seorang suami yang qawwamun ke atas isterinya sentiasa prihatin ke atas sikap isterinya dan mengambil langkah-langkah awal andai muncul tanda-tanda awal beliau akan nusyuz.

 

Langkah Pertama: Menasihati

Langkap pertama ialah memberi nasihat dan teguran yang berhikmah kepada isteri. Suami janganlah leka daripada memberi nasihat kepada isteri dan janganlah pula terlalu kasar dalam memberi nasihat. Sebaliknya hendaklah berada di pertengahan. Rasulullah memberi tunjuk ajar:

Sesungguhnya seorang wanita bagaikan tulang rusuk. Jika kamu meluruskannya (keras dalam menasihati) nescaya ia akan patah. Jika kamu membiarkannya (leka dalam menasihati) maka kamu dapat bersenang-senang dengannya namun ia tetap bengkok. [Shahih Muslim, no: 2669]

 

Langkah Kedua: Pulaukan Di Tempat Tidur.

Seandainya memberi nasihat serta teguran berhikmah telah diusahakan beberapa kali dan isteri tetap nusyuz, maka langkah kedua ialah memulaukannya di tempat tidur. 

Maksud memulaukannya ialah suami dan isteri tetap tidur di atas katil yang sama di dalam bilik yang sama, namun suami mengiring ke arah yang bertentangan dengan isteri. Ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada isteri, agar beliau sedar terhadap kesalahannya yang enggan mendengar nasihat suami.

Perlu dibezakan bahawa tidur dengan mengiring ke arah yang bertentangan terbahagi kepada dua suasana. Pertama dalam suasana damai di mana tidak timbul tanda-tanda awal nusyuz pada diri isteri. Maka tidak mengapa jika tidur mengiring ke arah yang berlainan kerana keselasaan posisi pilihan masing-masing.

Kedua dalam suasana isteri yang enggan mendengar nasihat suami, maka suami sengaja memilih untuk mengiring ke arah berlainan dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada isteri.

 

Langkah Ketiga: Memukul Isteri.

Jika langkah pertama dan kedua tetap tidak membuahkan hasil, maka langkah ketiga ialah memukul isteri. Erti memukul di sini ialah pukulan ringan yang dapat memberi pengajaran serta peringatan kepada isteri. Ia bukanlah pukulan yang memberikan kesan fizikal seperti lebam-lebam, patah tulang atau apa-apa lain yang seumpama.

Meskipun dibolehkan memukul isteri sebagai langkah ketiga dan terakhir, tidaklah dianjurkan kepada seorang suami untuk memilih langkah ini. Sebaliknya hendaklah dia merenung beberapa faktor terlebih dahulu, iaitu:

  • Sudahkah dirinya sebagai seorang suami menonjolkan contoh kepimpinan yang terbaik, sehingga dapat dijadikan teladan oleh isteri? Seorang isteri akan lebih menghormati dan tunduk kepada suami yang sejak awal melaksanakan peranannya sebagai seorang yang qawwamun.
  • Sudahkah dirinya memberi nasihat yang terbaik kepada isterinya? Boleh jadi dia terlalu keras dalam memberi nasihat, tidak memilih suasana yang sesuai untuk menyampaikannya atau salah dalam perkara yang ingin dinasihati itu.
  • Sudahkah dirinya memberi ruang masa kepada isteri untuk mendengar dan membetulkan dirinya? Tidak semua orang boleh berubah serta merta selepas diberi nasihat dan teguran. Maka bersabarlah dan bantulah isteri untuk bertahap-tahap membetulkan dirinya dari sikap nusyuz.

Tidak dilupakan, disarankan kepada para isteri agar mereka membantu suami dalam perkara ini. Ertinya, hargailah nasihat suami dan berilah perhatian kepada tegurannya. Janganlah sengaja mencabar suami untuk masuk ke langkah ketiga (memukul) kerana ia tidak membawa apa-apa hasil positif melainkan penyesalan atau pertengkaran yang lebih besar.