Kaum lelaki sebagai orang yang diberi tanggungjawab oleh Allah ke atas hal-ehwal kaum wanita, ditegah daripada menyusahkan, memberatkan atau menzalimi kaum wanita. Ini termasuklah dalam kehidupan rumahtangga, di mana Allah berfirman kepada para suami:

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. [al-Nisa’ 4:19]

Perintah Allah kepada para suami: … Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik adalah berbentuk umum, bererti ia merujuk kepada semua suasana. Para suami hendaklah bergaul, berinteraksi dan bersikap dengan baik kepada isteri mereka dengan cara yang terbaik, sama ada ketika suka dan duka, senang dan susah, gembira dan marah, nusyuz dan taat. 

 

 muslim_couple_sun.jpeg

Ya! Meskipun isteri dalam keadaan nusyuz, suami hendaklah bergaul dengan mereka secara baik, yang akhirnya dapat mengembalikan isteri tersebut dari nusyuz kepada ketaatan. Oleh kerana itulah, suami disuruh agar prihatin kepada sikap isteri dan segera memberi nasihat sekiranya timbul tanda-tanda awal beliau akan nusyuz. Sebabnya, jika sikap nusyuz isteri dibiarkan begitu sahaja sehingga menjadi parah, sukar untuk suami untuk bersikap baik kepadanya. Tentu sahaja ini akan memburukkan suasana di antara suami dan isteri tersebut. Semua ini telah kita pelajari ketika mengupas ayat 34 surah al-Nisa’ dalam edisi yang lepas, ketika mengupas rangkap ayat: 

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan yang bertujuan mengajarnya).

 

Tatkala Isteri Kembali Taat.

Setelah Allah menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh suami apabila isteri menampakkan tanda-tanda awal untuk nusyuz, Allah berfirman: Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.

Ertinya, apabila isteri sudah insaf daripada sikap tinggi dirinya lalu kembali merendahkan diri kepada suami dan mentaati suami dalam perkara-perkara yang selari dengan agama, janganlah pula suami mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Di sini timbul soalan, kenapakah suami ingin menyusahkan isteri yang sudah kembali taat kepadanya? Ada beberapa sebab mengapa suami bertindak sedemikian:

  • Ego. Semua orang, baik lelaki dan wanita memiliki ego. Tidaklah benar apabila ada sebahagian isteri yang asyik menuduh suaminya sebagai ego. Apabila isteri nusyuz, ego suami tercabar lalu dia bertindak zalim ke atas isterinya, meski pun setelah isterinya kembali taat kepadanya.
  • Panas Baran. Ada lelaki yang menjadi marah apabila isterinya nusyuz. Kemarahan ini berlanjutan sekali pun isteri sudah insaf dari sikap nusyuznya.
  • Membalas Dendam. Apabila isteri nusyuz, suami merasakan dirinya tidak dihormati dan segala jasa baiknya tidak dihargai. Apabila isteri telah berhenti nusyuz dan kembali taat, suami berubah kepada ingin membalas dendam ke atas kesalahan isterinya itu. 

Seorang suami mungkin berhadapan dengan satu atau lebih situasi di atas apabila isterinya nusyuz, dan ia berterusan meski pun isterinya telah kembali taat kepadanya. Oleh itulah, Allah sebagai tuhan yang mencipta kaum lelaki amat memahami situasi ini, lalu memerintahkan: …maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka (isteri).

 

Kemarahan……

Kemarahan adalah satu cabaran yang dihadapi oleh semua orang, baik lelaki atau perempuan, baik suami atau isteri. Seorang Rasul dan Nabi juga boleh marah, sebagaimana kisah Nabi Musa yang diungkap oleh Allah dalam al-Qur’an. Nabi Musa menjadi marah kerana apabila beliau tidak ada, kaumnya telah membuat sebuah patung lembu dan menyembahnya. Nabi Musa marah kepada kaumnya dan marah kepada saudaranya Harun yang telah diamanahkan untuk menjaga kaumnya. Beliau begitu marah kepada saudaranya Harun sehingga memegang rambutnya dan menarik ke arahnya. Mari kita rujuk ayat al-Qur’an yang dimaksudkan:

Dan tatkala Musa telah kembali kepada kaumnya, dengan marah dan sedih hati berkatalah dia: “Alangkah buruknya perbuatan yang kamu kerjakan sesudah kepergianku! Apakah kamu hendak mendahului janji Tuhanmu?” Dan Musa pun melemparkan luh-luh (Taurat) itu dan memegang (rambut) kepala saudaranya (Harun) sambil menariknya ke arahnya... [al-A’raaf 7:150]

Namun beberapa ketika kemudian kemarahan Nabi Musa kembali reda dan beliau menyedari kesalahannya, lantas berdoa kepada Allah: “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmat Engkau, dan Engkau adalah Maha Penyayang di antara para penyayang”. [al-A’raaf 7:151]

Tujuan saya mengemukakan kisah ini bukanlah untuk membolehkan suami menarik rambut isteri ketika marah. Akan tetapi untuk memberi kesedaran kepada suami dan isteri bahawa kemarahan kadang-kala boleh terlepas dari kawalan kita sebagaimana ia juga boleh terlepas dari kawalan seorang Rasul yang mulia. Apa yang penting ialah masing-masing suami dan isteri segera berhenti marah, mengakui kesalahan masing-masing dan saling meminta maaf. Suami sebagai ketua keluarga dianjurkan berdoa umpama doa yang dibacakan oleh Nabi Musa. Berdoalah: 

“Ya Tuhanku, ampunilah aku dan isteriku dan masukkanlah kami ke dalam rahmat Engkau, dan Engkau adalah Maha Penyayang di antara para penyayang”.