Saya pernah membaca hujah LGBT bahawa perkahwinan sejantina dibolehkan dalam al-Qur'an berdasarkan ayat:

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan-Nya), bahawa Dia menciptakan untuk kamu, PASANGAN-PASANGAN dari JENIS kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir. (al-Rum 30:21)

 

Menurut LGBT, perkataan "Zauj" selalu diterjemahkan sebagai "isteri". Padahal terjemahan yang betul ialah "pasangan".

Maka LGBT berhujah, ayat di atas membolehkan pengambilan pasangan dari JENIS jantina yang sama untuk berkahwin.

---------

Saya jawab, bahawa hujah LGBT di atas dapat dibantah dari dua sudut:

(1) Perkataan "zauj" memang bermaksud pasangan, namun ia merujuk kepada pasangan berlainan jantina.

Perhatikan ayat berikut:

 

وَمِن كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Dan tiap-tiap sesuatu Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu dapat beringat (akan kehebatan Allah). (al-Dzariyat 51:49)

Maksud pasangan (zauj) di sini ialah berlainan jantina supaya kita dapat berfikir kehebatan Allah dalam mencipta.

Jika maksud pasangan ialah sama jantina, maka ayat ini menjadi sia-sia kerana masing-masing dapat berfikir terhadap dirinya sendiri.

 

Perhatikan pula ayat berikut:

 

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ اللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ

Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan, dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu rezeki yang baik lagi halal; maka patutkah mereka beriman kepada yang batil, dan kufur pula akan nikmat Allah? (al-Nahl 16:72)

Maksud pasangan (zauj) dalam ayat ini ialah berlainan jantina kerana hanya melalui perkahwinan berlainan jantina (lelaki + perempuan) kita akan memperolehi anak-anak sehinggalah ke cucu-cicit.

 

(2) Adapun maksud "sejenis" dalam ayat 21 surah al-Rum, maka ia bermaksud dari spesis yang sama.

Ertinya manusia berkahwin dengan manusia, jin dengan jin, gajah dengan gajah, lembu dengan lembu dan begitulah seterusnya.

Perkahwinan itu dengan jantina yang berlainan, kerana itulah maksud pasangan (zauj) seperti yang telah diterangkan di atas.

Hanya melalui perkahwinan dengan spesis yang sama namun berlainan jantina, akan tercapai sakinah, mawaddah dan rahmah yang dimaksudkan dalam ayat 21 surah al-Rum.