Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.,

 

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maka tidaklah - demi Tuhanmu, tidaklah mereka beriman sehingga mereka menjadikan kamu (wahai Muhammad) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa apa-apa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, bahkan mereka menerima dengan (hati) yang tenang.

(al-Nisa' 4:65)

--------

(1) Ayat ini merupakan salah satu ayat yang amat tegas di dalam al-Qur'an.

Ini dapat difahami dengan pengulangan kata "tidak" sebanyak dua kali, diikuti dengan sumpah "demi Tuhanmu" di antaranya.

(2) Ayat ini menafikan keimanan bagi orang yang berasa berat menerima apa-apa keputusan Rasulullah s.a.w..

Ia tidak ditujukan kepada orang yang menolak keputusan Rasulullah, tetapi ditujukan kepada orang yang menerima tetapi dengan penerimaan yang berat atau tidak reda.

Orang seperti ini menerima keputusan Rasulullah, tetapi dengan hati yang benci, merungut atau membantah.

Berbeza dengan orang yang benar imannya, mereka menerima keputusan Rasulullah sepenuhnya, yakni dengan hati yang tenang, reda dan gembira.

(3) Ayat ini dapat dipraktikkan dalam banyak isu agama masa kini meskipun Rasulullah sudah lama wafat.

Contoh mudah ialah perselisihan tentang lafaz-lafaz zikir selepas solat, nak ikut lafaz zikir Rasulullah atau imam masjid?

Sesiapa yang benar imannya akan menjadikan Rasulullah hakim dalam perselisihan ini dan akan menerima lafaz-lafaz zikir yang diajar dan diamalkan oleh baginda dengan hati yang tenang, reda dan gembira.

(4) Ayat ini juga merupakan salah satu daripada sekian banyak ayat al-Qur'an yang memerintahkan kita mengikuti dan mentaati Rasulullah.

Maka sesiapa yang benar-benar mengikuti al-Qur'an, dia juga akan mengikuti serta mentaati Rasulullah.

Sebaliknya sesiapa yang mendakwa dirinya "mengikut al-Qur'an" sahaja tanpa Rasulullah, dia pada hakikatnya tidak mengikuti al-Qur'an.

Bahkan menyelisihi al-Qur'an.