Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.,

 

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ وَكَانَ اللَّهُ وَاسِعًا حَكِيمًا

Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurnia-Nya.

Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Bijaksana.

(al-Nisa' 4:130)

--------

Sebahagian orang apabila dengar kes perceraian, terus memandang serong atau rendah kepada pasangan yang melaluinya.

Sebenarnya jika pasangan telah mencuba dan mencuba namun akhirnya perceraian menjadi solusi terbaik, ia bukanlah sesuatu yang buruk.

Bahkan, sebagaimana ayat di atas, ia adalah sesuatu yang baik.

Imam Ibn Katsir menjelaskan, boleh jadi Allah berikan suami baharu yang lebih baik kepada isteri yang bercerai itu, boleh jadi Allah berikan isteri baharu yang lebih baik kepada suami yang bercerai itu.

Saya menambah, perkara yang baik itu tidak terhad kepada pasangan baharu yang lebih baik, tetapi meluas kepada pelbagai kemungkinan yang lain. Ini kerana limpah kurniaan Allah amatlah luas lagi tidak terhitung.

Tazkirah ini bukan bertujuan menggalakkan perceraian, tetapi bagi membersihkan pandangan serong tentang perceraian. Dan memberikan harapan positif kepada yang sudah bercerai.