"Wahai orang-orang yang beriman...."

Tazkirah hari ini adalah ayat ayat al-Qur'an yang Allah mulakan dengan seruan, "Wahai orang-orang yang beriman...."

Contohnya,

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(al-Baqarah 2:183)

 

Apakah peranan seruan ini? Penjelasannya adalah seperti berikut:

(1) Seluruh al-Qur'an adalah untuk orang Islam yang beriman.

Namun dengan seruan "Wahai orang-orang yang beriman....", ia berperanan meminta perhatian khusus lagi istimewa tentang apa yang bakal disampaikan.

(2) Apa yang bakal disampaikan, ada kaitannya dengan kadar iman seseorang.

Sehingga orang yang bersemangat mengamalkannya adalah tinggi imannya sementara orang yang malas atau mengabaikannya adalah rendah imannya.

Ayat 183 surah al-Baqarah di atas misalnya, orang yang beriman akan bergembira untuk menyahut perintah berpuasa, suka berpuasa dan mengamalkan semua hukum dan adab yang berkaitan dengan puasa.

Sementara orang yang rendah imannya, akan malas berpuasa atau terasa berat berpuasa, padahal baginya tiada uzur yang dibenarkan syarak.

(3) Sesiapa yang mahu mengukur tahap imannya, hendaklah melihat ayat-ayat yang bermula dengan seruan ini dan melihat pada dirinya sendiri, apakah dia mengamalkannya atau tidak?

Apakah dia mengamalkannya dengan semangat dan kerelaan, atau malas dan bantahan?

(4) Antara cara bagi orang yang mahu meningkatkan keimanannya, adalah dengan mencari ayat-ayat yang bermula dengan seruan ini dan mengamalkannya sebaik mungkin.

Nota 1: Terdapat 89 buah ayat al-Quran yang bermula dengan seruan, "Wahai orang-orang yang beriman...."

Nota 2: Di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah, kadar iman seseorang itu boleh naik dan turun, bertambah dan berkurang.