Waktu imsak?

Lazimnya umat Islam di M'sia mengamalkan waktu imsak, iaitu 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh.

Adakah pengamalan ini selari dengan al-Qur'an dan al-Sunnah?

Perhatikan firman Allah:

 

فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ.

Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu;

dan makanlah serta minumlah sehingga NYATA kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar.

Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).

(al-Baqarah 2:187)

 

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa dibolehkan makan, minum dan hubungan seks suami-isteri sehingga NYATA atau JELAS masuknya waktu fajar.

Tidak perlu waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu fajar atas alasan berhati-hati, lebih selamat, bimbang terlewat atau "margin" perbezaan waktu kiraan fajar.

Tidak mengapa jika ingin berhenti lebih awal dari makan, minum dan seks atas sebab ingin bersiap-siap pergi masjid atau surau untuk solat Subuh. Namun jika dalam perjalanan ke masjid atau surau, masih boleh minum air atau kunyah kurma.